Sunday, August 16, 2015

Dua Ribu enam Ratus Juta

Kerna dua ribu nam ratus juta
Ramai sanggup jadi hamba
Tukang sokong bawa berita
Sedang sikitpun mereka tak rasa
Kalau ada pun mungkin sisa-sisa
Mula-mula bila timbul fakta
Ada yang pertahan kata mana ada
Bila lobang pecah tanpa diduga
Dari mulut bekas orang nombor dua
Maka hujah baru pun direka-reka
Dari tiada kini ada tapi orang derma
Semua kerna dua ribu nam ratus juta

Dua ribu enam ratus juta ceritanya
Dua ribu enam ratus juta kisahnya

Kerna dua ribu nam ratus juta
Ada sanggup jadi lembu hitam kepala
Suruh makan rumput makan saja
Suruh balik kandang lajunya menghala
Semua pelaksana terus jadi kuda
Tunggang kiri kanan sini juga sana
Dilapor tapi pelapor jadi mangsa
Disiasat tapi penyiasat yang kena
Sedikit pun tak sentuh si maling celaka
Masih segar bugar bermaharajalela
Pagar-pagar loceng dah jadi balacinya
Semua kerna dua ribu enam ratus juta

Dua ribu enam ratus juta ceritanya
Dua ribu enam ratus juta kisahnya

Kerna dua ribu nam ratus juta
Lakon pentas bukan di bumi yang nyata
Walau salah nampak sudah besar raksaksa
Walau jelas pincang sumbang depan mata
Masih ramai yang tak nampak macam buta
Sebab masih ramai yang kaki ampu dan puja
Pelaksana sudah terbelit jadi bersengketa
Aku tuduh kau dan kau menuduh aku pula
Sedang si maling senang lenang tiada rasa
Itulah hikayat generasi akan datang kan tertawa
Sejarah negara ini umpama sejarah yang gila
Semua kerna dua ribu enam ratus juta

Dua ribu enam ratus juta ceritanya
Dua ribu enam ratus juta kisahnya......

Jalan Teluk Sisek, 5 Ogos 2015

Warkah Buat Pejuang

Kita sering terlupa
Dalam sela-sela waktu yang ada
Bahawa hadhir kita ke dunia
Bukan sekadar wujud semata

Duhai pejuang-pejuang
Kalian bangkit dan terus menjulang
Segala panji dan gendang perang
Setiap yang bathil pasti ditentang

Duhai sekalian wira-wira
Mungkin masanya kita bersama
Dan ada masa kami hanya berdoa
Agar kalian terus kan berjaya

Mereka-mereka yang berkuasa
Pastikan lakukan apa saja
Demi selamatkan darjat dan harta
Bukan menegakkan keadilan yang mulia

Tapi jangan lupa kawan
Mereka berjuang, juang bertuan
Kita berjuang, juang bertuhan
Kerna kita harus tegak kebenaran

Percayalah,
Kerana selagi ada percaya dan iman
Selagi itu pasti ada harapan......

Sungai Isap Perdana, 5 Ogos 2015

Pelaksana Yang Durjana

Kau bertanggungjawab melaksanakan akta
Tapi kau seringkali mengakal berbalik cerita
Yang bersalah tak pernah dihukum penjara
Yang menuntut kau siksa dan ugut segala jiwa

Kau pelaksana yang amat dzalim durjana
Demi kepentingan pangkat dan harta dunia
Kau hukum yang terzalim dan yang membela
Demi menjilat punggung-punggung penguasa

Kau yang sepatutnya menegakkan keadilan
Tapi semuanya telah lama kau korbankan
Demi pangkat, kuasa dan semua imbalan
Kau tidak pernah peduli dan tiada belas kasihan

Duhai pelaksana durjana, untukmu sebaris kata
KALIAN MEMANG CELAKA!!!!!!!!!!!!!!

Seri Inderapura, 5 Ogos 2015

Sesal Nan Kelabu

Kau tidur berbumbung batu
Bantal yang lembut bukannya satu
Hawa nan dingin selembut bayu
Tanpa serangga yang sumbang lagu
Tapi lenakah tidurmu?

Kau hadap mungkin berpuluh pinggan
Laukmu daging, ayam dan ikan
Disulam kuih dan serba buahan
Dibilas segala rasa minuman
Tapi kenyangkah kau makan?

Kau punya segala harta yang mewah
Segalanya lengkap atas dan bawah
Itu dan ini hanya perlu kau arah
Tanpa perlu keringatmu tumpah
Tapi hidupmu tenteramkah?

Sesalan itu pasti kan mengekori
Berjalan pun diapit kanan dan kiri
Seramai itu pun takut tak terperi
Apatah lagi bila kau bersendiri
Adakah yang memerhati?

Cakapmu lantang umpama kuat
Tak mampu kau lari dari hakikat
Kau dalam ketakutan tak dibuat-buat
Terasa dirimu sedang laju dihambat
Nafasmu tersekat-sekat?

Hanya satu jalan iaitu beralah
Kau akui bahawa dirimu bersalah
Apa kau terima haruslah kau pasrah
Pohon kemaafan dan kau undurlah
Tiada jalan lain yang lebih mudah

Sementara pintu taubat masih terbuka
Gunalah peluang yang masih ada....

Gambang, 4 ogos 2015

Manusia-Manusia Durjana

Wahai jalang-jalang gilakan darjat
Kau gadai kehormatanmu demi pangkat
Supaya di dunia kau terlihat hebat
Walau jiwamu kosong muflis melarat

Wahai pondan-pondan pemegang amanah
Wajahmu polos punggungmu bernanah
Tunggangan penguasa tiada bermaruah
Kau lagak suci walau martabatmu punah

Wahai pelacur-pelacur beralas agama
Kau gadai akidahmu demi harta dunia
Pemimpin korup kau kelu tak berkata
Senyap bererti kau sokong mereka

Wahai abdi-abdi belenggu tak terikat
Kau jadi hamba dek kerna muslihat
Sedarlah engkau bangkit dan lihat
Merekalah sebenarnya segala musibat

Wahai pandir-pandir menyangka bijak
Kau sorong kepalamu untuk dipijak
Semakin tinggi mereka kan bertapak
Kau hanya tenggelam tak tinggal jejak

Mungkin hari ini kau bermegah
Tunggulah masanya kau pasti rebah...

Seri Inderapura, 4 Ogos 2014

Tiga Juta Itu

Katanya tiga juta itu
Masih setia dan kekal restu
Tiada marah dan tiada keliru
Tiada asing dan semua bersatu

Katanya tiga juta itu
Tetap angkat telunjuk satu
Telah fikir tiada yang terburu
Telah selidik tiada yang ragu

Katanya tiga juta itu
Teguh sokong bukannya ampu
Bukan sekadar harapan kelabu
Bukan sekadar angan yang palsu

Tiga juta itu
Mungkin melawan tetapi bisu.....

Jalan Pulang

Dulu kamilah yang teguh mendukung kalian
Sewaktu kita tiada jumpa apa selain kekalahan
Sekarang Allah uji kita dengan sedikit kemenangan
Kalian sudah lupa antara realiti dan angan-angan

Kami tahan menyarung jubah yang carik
Kalian bermegah dengan jubah bersulam manik
Kalian suap kami dengan janji-janji menarik
Terdiam kami walau hakikatnya cuma cakap politik

Kalian bercerita pada kami tentang walak
Tapi kalian tak bercerita sedikit pun tentang balak
Bila geruh melanda, kalian kata doa kami ditolak
Tapi belakang kami, dalam selesa kalian bergelak

Bukan kami menyalak-nyalak umpama anjing
Walau kadang suara kami jadi tegas dan nyaring
Kerna hakikatnya tiada yang tetap semuanya pusing
Tiada yang menambah yakin, semuanya kalut dan pening

Bukan kami orang yang senang tinggalkan kabilah
Tapi sekarang kabilah seperti sudah hilang arah
Mana mungkin kami sekadar menunggu dalam pasrah
Demi nyata, lebih baik kami usaha untuk bertukar wadah

Bukan kami orang yang tinggalkan kapal di lautan
Tapi kini kapal sudah seumpama hilang haluan
Ditegur salah, seperti tiada siapa pun yang perasan
Mungkin lebih baik kami tumpang kapal lain ke daratan

Kalian ini,
Hidup dengan menggunakan agama
Atau hidup mempergunakan agama ?

Jalan Rompin Lama,
13 Julai 2015