Monday, June 2, 2014

Getaran Rasa

Oh malam engkau datang
Meneman daku yang sedang walang
Merisik sepi bila bertandang
Berlagu sepi sebelum kau pulang

Oh angin engkau berlalu
Membawa desir membelai kalbu
Menyejuk hati yang sedang pilu 
Membawa irama pada yang berlagu

Oh cahaya kemana kau pergi
Gelap gulita malam ku ini
Lantas membidik rasa nan sepi 
Menggengam lara hati nan sunyi

Oh rembulan dikau berbalam
Menambah pada gelapnya malam
Membisu mergastua semua pun diam
Menarik hati pada memori silam

Oh hati jangan kau bermula
Untuk mengingat segala sengsara
Biarkanlah semua menjadi lupa
Pada lampau yang penuh derita

Oh ombak teruslah hadir
Menemaniku yang duduk di pasir
Mengasyikkan lagu dari semilir
Hingga semuanya akan berakhir

Oh diri haruskan begini
Aku sendiri pun tidak pasti.......


Pantai Batu Buruk, 3 Jun 2014

Memori Natrah

Telahpun berlaku suatu kisah
Menjadi naskhah dalam sejarah
Telah membangkit keluh dan kesah
Malangnya nasibmu aduhai Natrah

Gadis dilahir keturunan Belanda
Asal duduknya di Pulau Jawa
Kerna penentangan bermaharajalela
Natrah diserah pada penjaga

Che Aminah membawa harapan
Melarikan Natrah hingga Kemaman
Membesarlah dia di dalam aman
Hingga mekar umpama bunga di taman

Akhirnya Natrah mereka terjumpa
Kerna pedaya dibawa ke Singapura
Rupanya menjadi permainan mereka
Natrah dipisah dari penjaganya

Che Aminah menuntut dari mahkamah
Akhirnya berjaya mendapat perintah
Untuk Natrah pulang kepada Che Aminah
Namun belum berakhirnya kisah

Tujuan untuk selamatkan akidah
Dengan Mansor Adabi, Natrah dinikah
Walaupun gantung dikira sudah
Hiduplah Natrah di dalam indah

Namun tak lama hukum pun datang
Perlulah tunduk pada undang-undang
Kerna usia dikira tak matang
Kepada ibubapanya harus dipulang

Pulanglah Natrah ke negeri Belanda
Membawa hati yang amat lara
Tinggalkan kasih tinggalkan cinta
Entah bilakah akan berjumpa semula

Setelah pulang masih berutus
Suratlah bukti kasih tak putus
Namun akhirnya kasih makin haus
Hati yang mekar pecah beratus

Hidup Natrah tak pernah senang
Satu persatu nasibnya malang
Ada sahaja masalah yang datang
Hingga ke sudah jiwanya menentang

Semakin lama resam terhakis
Tiada mampu ingatan dikais
Hiduplah Natrah umpama tertulis
Mungkin hatinya sudahpun kalis

Akhir kata dalam cerita
Natrah merantau ke Amerika
Namun hidupnya tidaklah cerita
Kerna sering mengharung derita

Inilah kisah hampir seabad
Natrah yang Muslim menjadi murtad
Walaupun nyata telah diakad
Namun berakhir dek sifat hasad

Jambatan Sultan Mahmud, 3 Jun 214

Mereka sudah lupa

Ah....mereka masih lupa
Pada sejarah lampau bangsa
Bagaimana kesan adu domba
Dan hukuman tanpa usul periksa

Mereka kata ambil iktibar
Tapi fitnah yang mereka sebar
Umpama juga sejarah Mendeliar
Dusta benci bertumbuh segar

Mereka bilang sudah berakhir
Cerita lama haruslah diusir
Namun dihati kuat terukir
Sifat kedekut, bakhil dan kikir

Mereka sanggah penuh bersungguh
Bila bercerita tentang yang angkuh
Tapi mereka tetap menuduh
Tanpa melawan semua patuh

Mereka kata tak pernah terjadi
Apa dicerita tiada bukti
Tapi semua ini dari mereka sendiri
Tanpa mengira jasad dan hati

Mereka mudah lupa
Akan sejarah bangsa mereka......

Kuala Ibai, 3 Jun 2014

Seketika di pelabuhan udara

Seawal pagi telah ku tiba
Di satu tempat pelabuhan udara
Ada seseorang perlu kujumpa
Dibawa ke pejabat bermesyuarat dengannya

Manusia hadir berbagai rupa
Ada yang tampak sudah biasa
Ada juga seolah tertanya
Mencari apa yang dikatakan antarabangsa

Ku duduk di satu sudut
Nasi lemak bilis dan air ku sedut
Sekadar mengisi mengalas perut
Pabila tengok bilnya aku sendiri pun terkejut

Enam ringgit lebih harganya
Nasi lemak bilis dan teh tarik cuma
Kalau di luar pasti murah sahaja
Terfikir, mungkin ini harga sebab antarabangsa

Hatiku terfikir juga
Kenapa harganya sedemikian rupa
Bukanlah semua yang hadir itu kaya
Mungkin hadir kerna menghantar orang sahaja

Adakah kerana harga modalnya
Ataukah kerna mahal sewanya
Bukan semua dah dikira segala
Ataukah memang kerna status antarabangsanya

Tiba masanya beredar dari situ
Kerna sudah sampainya waktu
Untuk mereka itu ku temu
Dan ku bawa bersama pulang ke pejabatku

Dalam perjalanan masih terfikir
Kenapa sedemikian perlu dibazir
Sedangkan hanya seketika hadir
Lebih baik ku bawa mereka sarapan di Seberang Takir………

Pelabuhan Udara Antarabangsa Sultan Mahmud, 2 Jun 2014

Sunday, June 1, 2014

Seorang lelaki di tepi jalan

Seorang lelaki itu di tepi jalan
Tanpa segala hiruk pikuk dihiraukan
Dalam dunianya yang jelas berasingan
Orang lain memandangnya sebagai kurang siuman

Lelaki itu masih ada di situ
Tanpa mengira perubahan masa dan waktu
Tanpa mengira apa yang hadir dan berlalu
Setia di tepi jalan ini dia menunggu

Kadang terlihat ada seorang dua insan
Memberinya sesuatu untuk diminum dan dimakan
Diambilnya tanpa rasa silu dan segan
Lalu terus dia di situ seolah tanpa perasaan

Lelaki itu masih berada dalam dunianya
Mungkin ada yang tertanya siapakah dia
Dan apakah cerita yang hadir disebaliknya
Atau mungkin memandang sambil lewa sahaja

Sampai bilakah dia akan berada di situ
Satu persoalan yang sesetengah orang ingin tahu
Mungkinkah akan ada hingga hujung waktu
Atau tiba masanya dia akan berlalu

Seorang lelaki itu di tepi jalan
Masih ku tertanya siapakah gerangan
Dan hidup ku ini perlu diteruskan
Ada kerja yang perlu diselesaikan

Jalan Banggol, 2 Jun 2014

Maleficent..........

Meluang masa bersama keluarga
Menonton cerita mencari makna
Apa tersirat di sebalik yang ada
Sebagai pedoman menempuh masa

Melihat pada cinta dikhianati
Hanya kerna takhta yang diimpi
Sanggup baginya teman disakiti
Agar tercapai maksud peribadi

Begitulah yang ada pada Stefan
Bila takhta menjadi rebutan
Sanggup Maleficent menjadi korban
Diracun khayal, kepak dilarikan

Hati sayang seribu gurindam
Kerna percaya ditipu dalam diam
Jasadnya luka hatinya remuk rendam
Dari kasih menjadi pendendam

Hati raja menjadi tak senang
Takhta dimiliki tapi tak girang
Sepanjang masa kesalahan dikenang
Nasib si anak menjadi galang

Anak membesar dengan harapan
Namun terikat banyak larangan
Maleficent memandang sepanjang perjalanan
Dari dendam menjadi kesayangan

Namun begitu hatinya gundah
Kerna anak comel masih disumpah
Itulah bahana bertindak marah
Kata terpatri tak bisa diubah

Cerita lara yang ada pengajaran
Cinta yang suci tak mestinya pasangan
Mungkin hasil dari satu kemaafan
Atau kasih sayang yang memberi kesan

Dalam benak berbagai pendapat
Dari cerita apa yang dapat
Semoga ada yang aku kan ingat
Teruskan hidup mencapai matlamat

Mesra Mall, Kerteh, 1 Jun 2014

Beringat sebelum kena

Disuatu petang membeli belah
Jauh tempatnya lebih marhalah
Bila dah banyak ku cari helah
Duduk di bangku melepas lelah

Sedang aku menikmati rehat
Di hadapanku aku melihat
Kanak-kanak bermain bersahabat
Sedang ibubapanya tak nampak kelibat

Hatiku memandang semakin gusar
Seakan mereka tak ambil iktibar
Tentang berita saban hari dipapar
Di media elektronik, juga di akhbar

Resmi kanak-kanak mencari keriangan
Hatinya tak pernah fikirkan keselamatan
Kepada ibubapa telah dipertanggungjawabkan
Untuk menjaga bukan hanya memerhatikan

Sampai bilakah aduhai insan
Keselamatan anak kita abaikan
Berapa nyawa nak jadi korban
Sebelum kita mengambil kesan

Wahai ibubapa inginku ingatkan
Kita tak tahu bila gerangan
Akan terjadi yang tidak dijangkakan
Tanpa sedar ada yang intai kesempatan

Sebelum semua ini berlaku
Fikirkan semula ingat di kalbu
Kerna kita semua pun tahu
Sememangnya malang itu tidak berbau

Mesra Mall, Kerteh 1 Jun 2014