Sunday, June 1, 2014

Seorang lelaki di tepi jalan

Seorang lelaki itu di tepi jalan
Tanpa segala hiruk pikuk dihiraukan
Dalam dunianya yang jelas berasingan
Orang lain memandangnya sebagai kurang siuman

Lelaki itu masih ada di situ
Tanpa mengira perubahan masa dan waktu
Tanpa mengira apa yang hadir dan berlalu
Setia di tepi jalan ini dia menunggu

Kadang terlihat ada seorang dua insan
Memberinya sesuatu untuk diminum dan dimakan
Diambilnya tanpa rasa silu dan segan
Lalu terus dia di situ seolah tanpa perasaan

Lelaki itu masih berada dalam dunianya
Mungkin ada yang tertanya siapakah dia
Dan apakah cerita yang hadir disebaliknya
Atau mungkin memandang sambil lewa sahaja

Sampai bilakah dia akan berada di situ
Satu persoalan yang sesetengah orang ingin tahu
Mungkinkah akan ada hingga hujung waktu
Atau tiba masanya dia akan berlalu

Seorang lelaki itu di tepi jalan
Masih ku tertanya siapakah gerangan
Dan hidup ku ini perlu diteruskan
Ada kerja yang perlu diselesaikan

Jalan Banggol, 2 Jun 2014

No comments:

Post a Comment