Monday, June 2, 2014

Politikus-politikus itu

Politikus-politikus itu
Hadirnya sejajar waktu
Pelbagai corak dan laku
Pelbagai bentuk dan kelaku
Ada yang lantang ada yang kelu

Politikus-politikus berprinsip
Tak lalai walau duit disisip
Tak relai walau umpan dititip
Sepanjang masa ilmu dan hujah dikutip
Pegangan utuh niat kemas dikacip

Politikus-politikus oportunis
Sebahagiannya adalah kapitalis
Pantang peluang cuba dikais
Poketnya penuh jiwanya muflis
Mencari pasti nasibnya tertulis

Politikus-politikus kritis
Andai pincang pasti disinis
Pantang salah mesti dikuis
Bukan menyusun anak dan waris
Kerna korupsi perlu digilis

Politikus-politikus usang
Wujud untuk memenuhkan ruang
Hadir mereka tiada yang mengundang
Wujud pun tiada yang memandang
Pergi pun tiada yang menghalang

Politikus-politikus sempit
Hadir bingar bak kaki rempit
Dengan kedudukan gadis dihimpit
Kiri dan kanan cuba nak dikepit
Niat satu cuma nak memipit

Politikus-politikus keperluan
Hadir cuma mengintai kesempatan
Kalau tak berhasil jadi tak keruan
Tapi kalau dah dapat habuan
Masuk ke selut liciknya macam haruan

Politikus-politikus usai
Hakikatnya waktu telah selesai
Namun belum cukup khazanah dicapai
Hantarkan warisan menjadi pencacai
Asal kuasa masih boleh digapai

Duhai politikus-politikus
Fikirkan dengan akal yang tulus
Di lobang manakah akan kau menikus
Baik sudahnya jika niatmu kudus
Buruk padahnya jika kau tak telus

Jalan Raja Laut, 17 Mei 2014

No comments:

Post a Comment