Monday, June 2, 2014

Memori Natrah

Telahpun berlaku suatu kisah
Menjadi naskhah dalam sejarah
Telah membangkit keluh dan kesah
Malangnya nasibmu aduhai Natrah

Gadis dilahir keturunan Belanda
Asal duduknya di Pulau Jawa
Kerna penentangan bermaharajalela
Natrah diserah pada penjaga

Che Aminah membawa harapan
Melarikan Natrah hingga Kemaman
Membesarlah dia di dalam aman
Hingga mekar umpama bunga di taman

Akhirnya Natrah mereka terjumpa
Kerna pedaya dibawa ke Singapura
Rupanya menjadi permainan mereka
Natrah dipisah dari penjaganya

Che Aminah menuntut dari mahkamah
Akhirnya berjaya mendapat perintah
Untuk Natrah pulang kepada Che Aminah
Namun belum berakhirnya kisah

Tujuan untuk selamatkan akidah
Dengan Mansor Adabi, Natrah dinikah
Walaupun gantung dikira sudah
Hiduplah Natrah di dalam indah

Namun tak lama hukum pun datang
Perlulah tunduk pada undang-undang
Kerna usia dikira tak matang
Kepada ibubapanya harus dipulang

Pulanglah Natrah ke negeri Belanda
Membawa hati yang amat lara
Tinggalkan kasih tinggalkan cinta
Entah bilakah akan berjumpa semula

Setelah pulang masih berutus
Suratlah bukti kasih tak putus
Namun akhirnya kasih makin haus
Hati yang mekar pecah beratus

Hidup Natrah tak pernah senang
Satu persatu nasibnya malang
Ada sahaja masalah yang datang
Hingga ke sudah jiwanya menentang

Semakin lama resam terhakis
Tiada mampu ingatan dikais
Hiduplah Natrah umpama tertulis
Mungkin hatinya sudahpun kalis

Akhir kata dalam cerita
Natrah merantau ke Amerika
Namun hidupnya tidaklah cerita
Kerna sering mengharung derita

Inilah kisah hampir seabad
Natrah yang Muslim menjadi murtad
Walaupun nyata telah diakad
Namun berakhir dek sifat hasad

Jambatan Sultan Mahmud, 3 Jun 214

No comments:

Post a Comment