Tuesday, June 17, 2014

Ayah

Ayahku bukanlah orang yang kaya
Bukanlah seorang yang tinggi pangkatnya
Tapi dalam kehidupannya dia berjaya
Mendidik kami sehingga dewasa

Ayahku bukanlah orang senang
Bukanlah kemewahan yang dia sayang
Bukanlah kekayaan yang dia tatang
Carilah hakikat yang perlu dipandang

Semasa hidupnya dia disenangi
Ramainya kawan ke sana ke mari
Saudara mara sering menanti
Mendengar lawaknya tertawa gelihati

Pada kami pernah dia berkisah
Tentang permulaan hidupnya yang amat susah
Bagaimana sedari kecil tanpa berayah
Meneruskan hidup  walaupun payah

Dengan keringat dia berusaha
Melalui pengalaman segala kerja dan usaha
Niatnya kehidupan perlu dibina
Untuk bekalan di hari tua

Sedari kecil kami diasuh
Ada adab dan peraturan yang perlu dipatuh
Jikalau berjaya, janganlah angkuh
Pegangan agama mestilah kukuh

Dihujung hayatnya terbaring sedih
Jarinya bergerak umpama bertasbih
Bibirnya menyebut nama Allah yang dikasih
Dimatanya ada titisan-titisan jernih

Ahad 20 Mac 2011 sampailah masa
Dia pergi meninggalkan dunia
Tinggalkan kami untuk selamanya
Hanya yang ada nisan di pusara

Kini ayah telah pergi
Satu perjalanan yang takkan kembali
Kupanjatkan doa pada Ilahi
Semoga rohnya senantiasa dirahmati

Ya Allah Ampunkanlah dosa-dosanya
Ya Allah Tinggikanlah darjatnya
Ya Allah Kurniakan dia segala rahmah dan berkahmu
Ya Allah Masukkanlah dia ke syurgaMu

Buat Bak Allahyarham Hj. Wan Zahid bin Chik, PJK (2 Sep 1947 - 20 Mac 2011)

No comments:

Post a Comment