Saturday, May 31, 2014

Kisah pagi di muka buku

Aku masih tak punya kefahaman
Tentang peri sesetengah golongan
Di muka buku kan mereka paparkan
Seolah punca pada sesuatu kejadian

Punca sesuatu ini terjadi
Punca sesuatu itu berlaku

Tulisan mereka akan menarik
Orang ramai terpanggil menilik
Apa yang dipaparkan di sebalik
Tajuk yang diletakkan semacam pelik

Bila saja paparan dibuka
Sebelum sempat artikel dibaca
Rupanya LIKE yang kau minta
Bukan ikhlas berkongsi cerita

Adakah LIKE yang kau buru
Mengapa begitu jadi hidupmu
Berita kau kongsi sahihnya belum tentu
Tapi kemasyhuran jadi niatmu

Dunia oh dunia.....
Sampai bila manusia menggila..........

Jalan Kamaruddin, 31 Mei 2014


Tujuh tujuh enam

Tujuh tujuh enam
Bila matahari makin terbenam
Bila penglihatan makin berbalam
Ia muncul menongkah alam

Tujuh tujuh enam
Kau muncul menjelang malam
Ketika waktu semakin kelam
Sebelum ini dimanakah kau diam

Tujuh tujuh enam masih misteri
Dimanakah punca harus dicari
Bagaimana ia menghadirkan diri
Dalam diam ia menjadi duri

Tujuh tujuh enam itu
Adakah hadir dengan restu
Untuk kekal menjadi penipu
Atau kerja di balik lampu

Tujuh tujuh enam ini
Menjadi tandatanya yang tak pasti
Menjadi persoalan yang dinanti
Bilamana tersedar sedari mimpi

Tujuh tujuh enam
Hebatnya permainan si khadam………

Pantai Batu Buruk, 1 Jun 2014

Maafkan kami........

Maafkan kami anak-anak muda
Kami lupa tentang agama
Tentang hakikat dan juga makna
Semua itu kami terlupa
Kerna kami mengejar kuasa

Maafkan kami duhai pewaris
Bukan kami tak cuba menggaris
Duduk dan bangun kami berbaris
Bukan sedikit hati terguris
Namun keangkuhan tak banyak terhakis

Maafkan kami pemuda-pemudi
Sudah banyak kami berdiskusi
Cuma hasilnya tak banyak menjadi
Lebih banyak menjadi notasi
Sedikit sahaja menjadi polisi

Maafkan kami aduhai anak
Bukan kami tidak berkehendak
Untuk keadilan kukuh tertegak
Cuma ramai yang banyak bertekak
Hanya mencari mana yang enak

Maafkan kami aduhai aduh
Bukan kami tidak bersungguh
Bukan usaha kami tak utuh
Cuma sebahagian yakin tak teguh
Diumpan ringgit maruahnya jatuh

Maafkan kami duhai warisan
Untuk kalian kami tinggalkan
Dan pinta kalian untuk teruskan
Semangat kami dalam perjuangan
Takkan akan padam ditelan zaman

Gong Badak, 31 Mei 2014

Friday, May 30, 2014

Aku melihat (bahagian 2)

Aku melihat pada kehidupan
Kebobrokan dunia kerna kebejatan insan
Adab dan nilai murni semakin dilupakan
Seolah ianya dah luput ditelan dek zaman

Aku melihat pada kemiskinan
Merayu simpati mengharapkan ihsan
Tiada yang kukuh hanyalah seribu alasan
Memberi janji palsu bukannya mencari jalan

Aku melihat pada dunia politik
Cakap berdegar kebanyakannya plastik
Diampu dijanji akhirnya berdolak dalik
Sungguh mudahnya untuk jadi munafik

Aku melihat pada resam yang angkuh
Mendabik dada pada pegangan yang utuh
Mengangkat muka dengan raut yang ampuh
Mengimpi kuasa agar semua orang patuh

Aku melihat pada nama pembangunan
Sekian banyak alam menjadi korban
Namun bukan semua merasai kemanisan
Berlegar antara mereka-mereka sebagai habuan

Aku melihat pada akal manusia
Meracun minda dengan segala nista
Mengharap manis pada pangkat kuasa
Walau akhinya tak habis ke mana

Aku melihat pada mata alam
Merenung dunia yang semakin kelam
Impikan untuk kembali pada masa silam
Tapi tak mampu untuk mengubah semalam

Aku melihat dan aku menyaksi
Untuk kusedar dan aku pelajari
Mencari makna dan maksud hakiki
Ada kehidupan yang perlu diisi

Aku melihat dan aku percaya
Dunia makin lara akibat helah manusia…………….


Kediaman Rasmi, Batu Buruk, 31 Mei 2014

Wednesday, May 28, 2014

Cakap tentang sukan


Hilang piala kerana menteri bodoh
Kata seseorang mengaku raja bomoh
Apa dibuat pun nampak hodoh
Buat baik pun jahat ditudoh

Rakyat Malaysia sanggup terima
Kalah dan menang perkara biasa
Cuma terkilan bila ada gila kuasa
Semua dibuat bukan sepatutnya

Sukan dan menteri apa kaitan
Tugas menteri jaga jabatan
Ahli politik dalam persatuan
Tu yang perlu dielakkan

Bukan niat nak majukan sukan
Cuma sekadar batu loncatan
Untuk menggapai pangkat dan jawatan
Dalam parti atau kerajaan

Bila persatuan ramai orang atasan
Cakap menteri pun tak dihiraukan
Tak buat pun projek pembangunan
Sentiasa harap pada yang veteran

Cakap lantang tentang akademi
Tapi yang masuk sanak saudara sendiri
Atau peluang kepada anak krooni
Yang betul berbakat ditolak ke tepi

Mana pergi semua gemilang
Dulu kitalah hero terbilang
Semua pesaing hatinya walang
Bila Malaysia jadi penentang

Kini semua satu sejarah
Dengan Jepun pun kita boleh kalah
Mana hilang segala maruah
Nama negara dicampak ke tanah

Wahai pemimpin, berubahlah
Demi negara, berundurlah
Yang lepas tu lepaslah sudah
Strategi baru kan kita gubah

Biarkan urusan pada yang pakar
Ramai yang pandai dan berbakat besar
Supaya kita tak lagi gusar
Dan dapat capai apa yang disasar

Kompleks Sukan Gong Badak, 28 Mei 2014

Kangkung-kangkung itu

Bila muncul kangkung-kankung
Bercakap kung kali kung
Menjerit jerit umpama jerangkung
Bagai minta lalat menghurung

Kangkung itu bersuara
Kononnya berlandas ilmu segala
Dan atas ijazah-ijazah yang ada
Bercakap bagai mendabik dada

Bersuara si kangkung menipu
Letak  pangkatnya untuk mengampu
Bukan bercakap merujuk ilmu
Hanya tafsiran sendiri yang diaju

Kangkung-kangkung itu terus
Bersuara tanpa tekak haus
Janji segala permohonan lulus
Dan semua pangkat dibungkus

Duhai kangkung-kangkung
Kan lebih baik kau jadi jerangkung........

Kedai Roti Canai Jalan Budiman, 29 Mei 2014

Apakah nilai kami

Apakah nilai kami
Bila kau perlu kau kan mencari
Bila kau perlu kau kan berjanji
Tapi akhirnya kami yang rugi
Semua janjimu engkau mungkiri

Nilai kami umpama apa
Bila saja engkau berkuasa
Semua katamu tak pernah kau kota
Semua yang kau kata kau pun lupa
Ternyata kau memang gilakan takhta

Apalah kami ini bagimu
Setiap masa kau janji palsu
Umpama kamu ini tiada malu
Tak ditegur walau pun kau lalu
Pandang kami pun kau tak mahu

Apakah nilai nya rakyat
Bila perlu engkau berhikayat
Kau tunjuk semua sujud dan tahiyyat
Tapi engkau penuh muslihat
Semua benda kau tunjuk hebat

Apakah nilai kami yang diukur
Bila perlu katamu subur
Engkau mencari nama yang masyhur
Tapi sikapmu amat takabbur
Semoga akhirnya kau kan tersungkur

Duhai ahli politik
Kalian semua berdolak dalik
Semua katamu kadang berbalik
Kamu bertingkah yang pelik-pelik
Kerna kamu sememangnya plastik


Jalan masuk ke istana syarqiyyah, 29 Mei 2014

Tetingkap tujuhku

Tetingkap tujuhku
Hari ini membikin onar
Hingga terpaksa ku format
Dan hilang semua benda

Tetingkap tujuhku
Yang dipasang kerana  terpaksa
Bilamana ekspi kehabisan sokongan
Terpaksalah ku ikut aliran

Tika orang berbicara
Tentang tetingkap lapan
Aku masih bertatih dengan
Tetingkap tujuhku ini

Mungkin bagi sesetengah lain
Mac menjadi pilihan
Tapi aku terpaksa guna tetingkap
Kerana pi-si ku tidaklah mahal

Tetingkap tujuhku ini
Bukanlah aku pengguna yang mahir
Hanya digerodek sana dan sini
Sehingga aku tahu serba sedikit

Tetingkap tujuhku
Tidak kutahu berapa lama ku kan menggunakannya…………

Jalan masuk ke istana syarqiyyah, 29 Mei 2014

Nukilan untuk Akhil

Ku tak tahan melihat keadaanmu
Hatiku rasa bagai dipalu
Sungguh sedih dan sungguh pilu
Sakit ditanggung tubuh kecilmu

Tak dapat aku bayangkan
Bagaimana kau meraung kesakitan
Sedang tangismu tak memberi kesan
Tidak menimbul rasa kasihan

Aku tak pasti kerana apa
Dan juga sebabnya mengapa
Kau diperlakukan sedemikian rupa
Hingga sebegini engkau merana

Aku tak tahu apa mendorong
Mereka siksamu sampai kau melolong
Mereka yang dengar pun hanya melopong
Tidak cuba untuk menolong

Mungkin kemanusiaan sudah hilang
Mungkin sudah tak wujud kasih sayang
Manusia lebih binatang dari binatang
Manusia dah hilang iman yang dipegang

Maafkan kami duhai anak
Kerna masih ada yang tiada berotak
Hanya memandang waktu yang enak
Hatinya kosong mindanya senak

Maafkan kami duhai Akhil
Kesakitan ditanggung tubuhmu yang kecil
InsyaAllah di sana kau takkan terpencil
Bersama Tuhan Rabbul-Jalil

Duhai anak....
Semoga aman engkau di sana
Semoga di jannah kau bersinggahsana.............

Al-Fatihah untukmu anak.......

Lapangan Terbang Sultan Mahmud, 28 Mei 2014

Tuesday, May 27, 2014

Antara bodoh dan kebodohan

Walaupun pelik
Bila Harvey Specter tetap untuk merekrut
Mike Ross yang tiada sijil undang-undang
Pasti dia ada sebabnya tersendiri
Pasti dia tahu risiko yang diambilnya

Bukan semestinya
Sijil menjamin seseorang itu pandai
Lama bekerja pasti orang itu berpengalaman
Mungkin sekadar tahu cara untuk lulus
Dan tahu cara untuk kekal lama bekerja

Pabila mula bekerja
Sijil umpama dicampak ke tong sampah
Kerna prestasi seseorang itu
Dinilai atas bagaimana dia menyempurnakan kerjanya
Bukan diukur apa sijilnya dan berapa markahnya

Kerna sesungguhnya
Ada yang tiga perpuluhan lapan lima
Tapi kebodohannya terserlah bila berkata
Ada yang lulus sekadar cukup makan
Tapi mampu untuk memberi idea yang bernas

Dalam dunia sekarang
Orang berkata kenapa harus diberi peluang
Sedangkan orang itu tiada pengalaman
Bagaimana mahu ada pengalaman
Kalau tak diberikan peluang untuk bermula

Biar bodoh dalam pelajaran
Jangan bodoh dalam kehidupan...............

Jambatan Sultan Mahmud, 28 Mei 2014


Selepas lapan puluh hari

Selepas lapan puluh hari
Kau masih tampak tercari-cari
Apa jawapan kau pun tak pasti
Hingga semua ternanti-nanti

Dulu kau kata begini begitu
Sekarang kau pun mati kutu
Nampak sangat kau pun celaru
Kau pun tak tau betulnya mana satu

Dulu kau bersungguh-sungguh
Katamu ini maklumat yang utuh
Bila lepas hari ke lapan puluh
Nak kata betul pun kau berpeluh

Apa lagi kau nak bohong
Segala katamu ini hanya kosong
Kau menjerit terpekik terlolong
Tiada fakta tapi sekadar omong

Apa lagi kau nak sembunyi
Mesti ada sesuatu yang terjadi
Masih lagi kau cuba lari
Dari mendedahkan segala realiti

Sudah hampir tiga bulan
Dah ramai yang lupakan
Namun bagiku masih di ingatan
Kerna ku masih tunggu kepulangan

Sudah-sudahlah
Ini bukan permainan mudah
Bukan mencari menang atau kalah
Jangan terus membikin orang gundah

Sedang sesetengah hati merana
Kalu duk gila berselfie segala............

Jalan Sultan Zainal Abidin, 27 Mei 2014

Monday, May 26, 2014

Jangan jadi bodoh

Telah berkata seorang rakan
Biar bodoh dalam pelajaran
Jangan bodoh dalam kehidupan
Sungguh dalam apa dimaksudkan

Bukan maksudnya bodoh tak mengapa
Cuma kadang peluang tiada
Untuk sesetengah dari kita
Mendapat ilmu secara sempurna

Sudah menjadi satu matlamat
Menggenggam ijazah satu azimat
Namun bukan semua orang dapat
Peluang, wang ringgit dan juga tempat

Ada yang tak habis bersekolah
Bagi mereka hidup tak mudah
Namun dalam bersusah payah
Iman di hati tak pernah goyah

Ada yang banyak peluang
Kejayaan dicapai dengan senang
Namun di hati tak pernah tenang
Walau sijil ditulis cemerlang

Kerna itu kenalah pandai
Bukan bercakap sekadar mengandai
Kalau tidak senanglah dibantai
Hujah dipijak hingga ke lantai

Limau purut tiga serangkai
Buta perut takdak akai............

Jalan Tok Adis, Kuala Ibai. 26 Mei 2014

Sunday, May 25, 2014

Maaf

Maaf…………..
Suatu yang senang diucapkan
Salah mungkin senang diampunkan
Namun cukup sukar untuk dilupakan
Kerna seharusnya ia meninggalkan kesan

Maaf………..
Dipinta untuk sesuatu perkara
Atau dipohon untuk sekujur masa
Menjadi isi di akhir bicara
Atau bertamu di hari raya

Maaf………..
Lahir dari hati yang kenang
Kisah lama tak mau dikenang
Ikhlas atau tidak payah diterang
Mungkin terima tanpa dihalang

Maaf……..
Antara aku dan dia
Antara kamu dan mereka
Antara kami dan semua
Antara sesama umat manusia

Maafkan aku
Aku ini bukannya maksum
Maafkan aku
Kerna kemaafan itu adalah dendam yang terindah..........

Chendering, 26 Mei 2014

Sami dan kucing

Aku pernah membaca
Tentang seorang sami tua
Ada kucing yang beliau bela
Kucing ini mesra dengannya

Tapi ada satu maslahat
Kerna bila dia ingin beribadat
Kucing ini belakangnya dipanjat
Lalu sudahnya kucing ditambat

Bertahun perkara jadi biasa
Setiap kali upacara bermula
Kucing itu akan diikatnya
Supaya tidak mengganggu segala

Murid sami semakin ramai
Murid-muridnya menjadi pandai
Ikut segala angguk dan lambai
Tiada pelik apa diandai

Hingga sami tua itu mangkat
Murid yang kanan dinaikkan pangkat
Dan ritual terus kekal dibuat
Sebelum upacara kucing ditambat

Akhirnya kucing itupun mati
Kecohlah sangka ritual tak jadi
Kucing baru pun terus dibeli
Sebelum upacara ditambat tali

Sebenarnya itulah suatu yang biasa
Ada perkara jadi ikutan saja
Tanpa memahami apa dan kenapa
Tanpa disoal bagaimana caranya

Jambatan Kuala Ibai, 26 Mei 2014

Aku melihat

Aku melihat dari mata manusia
Pada hari-hari yang masih bersisa
Pada kebobrokan dan kebejatan yang ada
Pada keresahan yang makin melanda

Pada mata kanak-kanak yang riang
Tiada resah gelisah hanyalah girang
Tiada tugas dan tanggungjawab ditatang
Hanya ada kebebasan terhalang

Aku melihat dari mata helang
Mencari ruang dan juga peluang
Menilai muslihat yang sering dijulang
Dan mencari maruah yang makin hilang

Pada mata katak di bawah tempurung
Menilai dari akal yang terkurung
Mencari maksud adil yang dijunjung
Memahami kedzaliman yang disanjung

Aku melihat dari dalam kotak
Melihat keluar dan menilai dengan otak
Melihat antagonis-antagonis memberontak
Pada penindasan yang membentak

Aku harus akur dan yakin bahawa
Setiap pandangan berbeza nilainya
Setiap tingkah berlainan hakikatnya
Dan setiap yang memandang akan percaya...............

Sekolah Rendah Seri Budiman 2, 25 Mei 2014

Mesyuarat hutan

Dan mesyuarat diadakan
Hadirnya semua binatang di hutan
Dibentang semua kemusykilan
Diajukan semua yang bermain di fikiran

Ini tidak adil, kata Sang Kancil
Seharusnya kita yang dipanggil
Kita tentang, kata Sang Beruang,
Sebetulnya kita yang diberi peluang

Tak sudah-sudah, kata Sang Gajah
Tak cara kasar, cara halus kita dijajah
Sampai bila ?, tanya Sang Rusa
Nak tunggu bila baru kita nak merasa?

Mengapa mereka yang jadi pilihan
Sedang kitalah yang jadi warisan
Kita inikan anak tempatan
Mereka kata , kita yang nak didulukan

Dahlah pupus segala hutan
Kata mereka inilah pembangunan
Tamak dan haloba mencari habuan
Kita yang jadi mangsa keadaan

Persidangan berakhir tanpa keputusan
Namun semua ada kesimpulan
Manusia adalah lebih berkebinatangan
Dari binatang yang tinggal di hutan………….

Kediaman Rasmi, Batu Buruk, 26 Mei 2014


Antara hukum dan ikutan

Bagi sesetengah orang Islam
Makan babi itu haram
Tapi makan rasuah itu “halam”
Halal jika tak ditangkap masuk ke dalam

Bagi sesetengah yang lain pula
Sentuh anjing seolah berdosa
Tapi pegang tangan bukan muhrim tak apa
Seolah semua itu ringan saja

Ada juga pendapat
Judi kasino itu melawan syariat
Tapi kalau nombor ekor yang empat
Tepuk dahi kalau tak dapat

Dalam lain pandangan
Mencuri itu tidak dihalalkan
Tapi kalau harta rakyat dimakan
Itu namanya untuk pembangunan

Manusia-manusia ini
Mungkin iman tiada dihati
Kerna rukun untuk diyakini
Dalam diam mereka tak mengerti

Manusia diberikan panduan
Tetapi sering tersasar laluan
Bila diminta ke pangkal jalan
Mereka kata itu bukan kau punya urusan

Berbahagialah selama kau di sini
Sedang bila di Mahsyar nanti
Berdepan terus dengan Ilahi
Apakah helah yang nak kau bagi…………..

Kediaman Rasmi, Batu Buruk, 26 Mei 2014


Semalam

Terima kasih semalam
Kerna hadir dalam hidupku
Mengajar aku tentang sesuatu
Merubah hati yang sedang celaru
Menyedarkan diri pada waktu yang berlalu

Terima kasih semalam
Atas sejarah yang telah kau cipta
Atas pedoman yang telahku terima
Atas suka duka yang aku rasa
Dan segala pengalaman yang menjadikanku dewasa

Maafkan aku semalam
Andai menjadi kenangan silam
Andai sejarah sedih terakam
Andai sahihnya berbalam-balam
Dan kesan luka yang makin dalam

Maafkan aku semalam
Andai kasih yang kita impi
Tapi sedih yang kita pasti
Kerna yang setiap kita perolehi
Pasti ada kebaikannya nanti

Terima kasih semalam
Maafkan aku andai aku bersalah…………..

Kediaman Rasmi, Batu Buruk, 26 Mei 2014

Hebat dan tangkas

Kemahiran bagimu adalah segala
Kau tak perlu presiden raja
Walau lawanmu bagaimana dan apa
Kau akan senantiasa bersedia

Kau tak perlu orang politik
Untuk mencongak dan menilik
Strategimu hebat walaupun pelik
Lawanmu kalah tidak berkutik

Engkau cepat dan juga tangkas
Lawan menyerang senang kau pintas
Dan kau kan tentang dengan pantas
Segala halangan cekap kan cantas

Dalam perhitungan sering kau menang
Tewas pun ada tapi tak bilang
Walau tertinggal hebat kau juang
Membujur lalu, patah yang lintang

Kau hebat di segala pentas
Kerna engkaulah Superstrikas.................

Kediaman Rasmi, Batu Buruk, 25 Mei 2014

Firaun-firaun moden

Di zaman sekarang moden segala
Tak siapa sangka masih ada
Firaun-firaun yang berkuasa
Cuma berbeza tampak dan rupa
Cuma lain bangsa dan bahasa

Begitu juga adanya Hamman
Mengampu Firaun umpama tuhan
Janji peroleh segala habuan
Bentuk dan nilai berbeza zaman
Yang penting hasilnya lumayan

Firaun moden lebihlah licik
Caknanya palsu maknanya plastik
Mainan utamanya orang politik
Senang untuk diperkotak katik
Kalau tak suka senang dijentik

Bila didepan dialah zahid
Amal segala umpama abid
Sebagai ketua dialah hadid
Memimpin ummah membina tajdid
Dibelakang semua balak difaraid

Nampak hebat, tutur semangat
Dialah kudrat, dialah azimat
Memegang amanat seluruh rakyat
Namun dilihat pada hakikat
Dialah sebenarnya musibat

Rakyat meminta sesuap nasi
Mereka masih cerita konsesi………

Kediaman Rasmi, Batu Buruk, 26 Mei 2014

Saturday, May 24, 2014

Suatu pagi di persimpangan

Dipagi ini..........
Kala manusia bertebaran di muka bumi
Mencari kehidupan dalam mencari rezeki
Dari persimpangan ini aku merenungi
Pada maksud dan makna yang hakiki

Kulihat pelbagai ragam dan corak
Kulihat pelbagai irama dan rentak
Setiapnya punya perlu dan punya hak
Menentukan mana penting dan mustahak

Terlihat pada kesempitan yang mengongkong
Umpama nasi dagang di dalam kelongsong
Membentuk paksa bukan hanya omong
Terikat bagai pisau dihunus di kerongkong

Terlihat manusia dalam persimpangan
Meemahami antara erti kasih dan kasihan
Mengenali antara erti hidup dan kehidupan
Dalam menilai simpati atau hanya sekadar keluhan

Terlihat bilamana ternampak peluang
Menggapai impi yang sekian lama hilang
Perlu waspada bila yakin menjulang
Kena tahu pada hakikat dalam membilang

Terlihat mungkinkah mereka kan bangga
Apabila antara pilihan dipilih mereka
Atau sekadar sesuatu yang tiada apa
Terus berlalu seolah tiada makna

Dari persimpangan ini
Adakah aku pantas mencari erti
Atau sekadar khayalan umpama mimpi
Atau hanya ilusi menipu diri sendiri
Kerna aku sendiri pun tak pasti.....

Warong Atak Nipoh , 25 Mei 2014
Bersama segelas teh tarik dan sekelongsong nasi dagang.

Friday, May 23, 2014

Hadir yang tak diundang

Kau tiba kala kabut melanda
Mungkin hadirmu membuat nya reda
Namun hadirmu membangkit seribu rasa
Cemburu bagi mereka yang sedia melara

Hadirmu disambut ribuan tanya
Sedang kau tak faham apa maksudnya
Hadirmu membongkar sikap alpa
Letakkan perlu pada bukan tempatnya

Kau takkan tau semua itu
Segalanya telah sedia untukmu
Kau hanya perlu tayang wajahmu
Gedikmu akan menyambut hadir tetamu

Sedang diruang sana marhain merempat
Dalam perkongsian ini mereka tak punya tempat
Sekadar pemanis mulut yang mereka dapat
Dan terus terpaksa mengerah kudrat

Bersyukurlah Fu Wa dan Feng Yi
Kau jauh lagi beruntung dari marhain di sini..........

Kediaman Rasmi, Batu Buruk 21 Mei 2014

Bangku batu di tepi pantai

Ku menyusuri pantai itu
Hingga aku duduk di bangku batu
Merenung pada ombak laut yang membiru
Merenung pada garis laut yang kelabu

Bangku batu itu menyimpan banyak sejarah
Bangku batu itu mendengar keluh kesah
Bangku batu itu merakam ribuan gundah
Namun bangku batu itu tak pernah berubah

Bangku batu itu melihat ke arah laut
Nelayan mencari nafkah mengisi perut
Bukan banyak hasil yang dapat dikaut
Tetap gigih mencari rezeki walau bimbang dan takut

Bangku batu itu melihat penjaja-penjaja
Berdagang jualan pagi hingga senja
Namun hasil mereka tidak seberapa
Dengan segala peraturan dan undang-undangnya

Bangku batu itu tempat mereka bercinta
Melahirkan hasrat hati untuk gembira
Juga ada kekeliruan perlu bersemuka
Melihat rasa kasih, benci, suka dan duka

Setelah lama aku beredar dari situ
Bangku batu akan terus begitu
Ribu manusia hadir dan berlalu
Tiada yang pernah berterima kasih pada bangku itu

Bangku batu mungkin imbasan kita
Tetap dan terus akan setia
Walau hujungnya tiada apa-apa untuk dibangga
Hanya mengisi ruang waktu yang masih tersisa……….

Pantai Batu Buruk, 30 April 2014

Oscar's Oasis

Tertawa dan geram
Bilamana melihat Oscar melarikan makanan
Tapi tidak memakannya
Geram dengan sikap tamaknya

Sedangkan dia tahu
Harchi, Popy dan Buck akan bersaing dengannya
Merampas makanannya atau mendahuluinya
Dan akhirnya mereka sama-sama hampa

Entah apa pengajarannya
Tapi aku sering tertawa bila anakku menonton kartun ini
Mungkin ada sedikit iaitu jangan tamak
Atau jangan berebut dalam memperolehi sesuatu

Mungkin akhirnya dalam persaingan ini
Tiada yang menang atau kalah
Semua yang bersaing akan kecewa
Menang jadi arang, kalah jadi abu

Oscar, si cicak di gurun
Popy, si musang
Buck, si helang
Dan Harchi, hyena yang akur

Kalau diletakkan watak kita
Siapa kita sebenarnya ?

Adakah cicak yang tamak dan malang
Atau musang kecil yang gemar memberi arahan
Atau helang yang mensia-siakan ilmu terbangnya
Atau hyena yang tampak garang tapi akur menolak troli

Setiap perkara kalau direnung
Pasti ada pengajarannya………………………….

Chendering, 23 Mei 2014

Thursday, May 22, 2014

Gulai ayam kampung

Sebentar tadi aku pulang
Untuk menjemput anak-anakku solat
Isteriku berpesan,
Nanti sebelum masuk kerja, balik makan dulu ya…

Seusai solat kami pun pulang
Di atas meja sudah pun tersedia
Nasi putih, ayam kampung goreng dan gulai
Serta ulam dan sambal tempoyak

Nasib baik, sebelum solat
Isteriku tak bilang apa dimasak
Jika tidak mungkin tak kusyuk
Teringat hidangan gulai ayam kampung

Sesuap demi sesuap
Tidak ku sedar habis sepinggan
Dan tanpa kusedar juga
Tangan ku mencapai senduk nasi tambah

Akhirnya ,
Dua pinggan nasi sudah selesai
Bersama semangkuk gulai ayam kampung
Menjadi juadah di tengah hari

Terima kasih Tuhan
Kerna mengurniakan kami rezeki
Terima kasih Tuhan
Kami bersyukur di dalam hati.

Kediaman Rasmi, Batu Buruk 23 Mei 2014

Jumaat yang tenang

Setelah seminggu ianya berlalu
Jumaat kembali lagi seperti selalu
Menggamit jemaah ke rumah Allah untuk bertamu
Menikmati santapan-santapan ilmu

Jumaat kembali lagi
Sebagai satu signal untuk insani
Memberi ruang seketika dari duniawi
Mencari makna dalam mengejar ukhrawi

Jumaat mungkin akan terus menyapa
Memberi peringatan kepada yang alpa
Untuk menyedari diri kita ini siapa
Dan kemana kita akan kembali bila masanya tiba

Tapi adakah peluang untuk kita lagi bersua
Adakah akan ada Jumaat lagi untuk kita
Atau kita tergolong dalam golongan sia-sia
Melepaskannya untuk pergi begitu saja

Jumaat mungkin akan datang kembali
Cuma adakah kita masih ada di sini?............

Chendering , 23 Mei 2014

Lapan belas jenis tofu di Sasanoyuki

Malam itu aku dan Ikeda mau dibelanja makan malam
Oleh pemilik perusahaan dimana aku membeli peralatan
Katanya aku akan dibawa ke satu tempat istimewa
Satu tempat yang agak dalam sejarahnya

Kami berlima menyusuri jalan yang sibuk
Hingga bertemu satu kedai kayu bernama Sasanoyuki
Aku tak pasti bagaimana kedai ini boleh wujud
Dalam kesibukan kota Tokyo yang hirup pikuk

Masuk diiringi pelayan umpama geisha
Meletakkan kasut dalam kotak kayu seumpama almari kecil
Dan kuncinya adalah sekeping kayu yang dilorek
Dilekuk dibentuk ada lurah-lurahnya sangat seni

“San byaku nen mai” jelas Tsukido seraya menunjuk ke lantai
Menjelaskan padaku bahawa restoran ini telah lama
Lebih kurang tiga ratus tahun bertapak disitu
Entah berapa generasi telah bertukar saling ganti

Mereka meminta bir-bir di dalam botol
Sedangkan aku cuma meminta ocha (teh hijau)
Sementara menunggu apakah menunya
Kami berbual tentang kerja, tentang segala

Sejurus pelayan itu datang dengan mangkuk-mangkuk kecil
Dihidang di meja seraya dibuka tutupnya
Terlihat sekeping tofu dan secubit keju
Itadakimasu”, lalu kami memakannya

Setelah itu pelayan datang silih berganti
Dan pelbagai jenis tofu menjadi juadah untuk kami
Tofu dengan ikan, tofu dengan minyak, tofu dengan susu
Satu persatu hadir sehingga yang ke lapan belas

Kukira begitu seksa kerna tak biasa
Itupun ada yang tak kumakan kerana dihidang bersama daging
“O-niku o’ tabemasen” kataku pinta mereka faham
Mereka angguk ku tak pasti mereka faham atau tidak

Setiap hidangan kujolok ke kerongkong
Lalu kubilas dengan teh hijau itu
Kerna agak sukar untuk tekakku menerima menu sebegini
Hingga ke menu lapan belas, terpaksa kusabar

Akhir sekali hadir semangkuk kecil nasi dan tsukemono
Kulahap dalam sekejap terus habis
Kerna terlalu lapar, nasi dan tsukemono itu sedap sekali
Hingga terasa seperti nak tambah lagi

Seusai hidangan mereka membayar harga
Kulihat semua harganya hampir seratus ribu yen
Kucongak lebih kurang 600 ringgit seorang
Aku dan Ikeda berpandangan hairan

Enam ratus ringgit seorang
Untuk lapan belas jenis tofu
Dan minuman bir-bir dan teh hijau
Adakah harga makanan atau harga tiga ratus tahun ?

Aku dan Ikeda singgah di Sebun Irebun untuk membeli roti. Lapar lagi.


Lungwood Hotel, Higashi Nippori, Arakawa-ku Februari 1998

*Nukilan santai lebih kurang 16 tahun dulu, disimpan kemas dalam buku coretan.


Wednesday, May 21, 2014

Kami, kubu dan bemban

Sekumpulan kanak-kanak itu
Mengorek lubang membina kubu
Kepingin bermain senapang peluru
Sekadar permainan membuang waktu

Bemban pun ditakik dari paya
Dibelah diandas menjadi senjata
Diikat getah jadi pembidiknya
Bemban yang kecil jadi pelurunya

Dua pasukan merangka strategi
Pasukan diatur setiap posisi
Kubu diasak lawan diperangi
Menang dan kalah tidaklah pasti

Kini semua menjadi ingatan
Tiada lagi paya dan bemban
Juga kubu tempat permainan
Tersergam hotel agam dan aman

Hanya mengimbau sekadar kenangan
Satu sejarah di suatu zaman
Antara kita, kubu dan bemban
Dalam kalbu kukuh tersimpan


Belakang Permai Hotel, 21 Mei 2014

Istiqomah itu...........

Dalam hidup aku belajar sesuatu
Bahawa air dapat melekukkan batu
Bukan kerna kuatnya aliran air itu
Tapi kerna seringnya ia ke situ

Seakan Thomas Edison yang tak pernah bosan
Saban waktu ujian demi ujian
Hingga menjadi tuli akibat letupan
Namun dia terus ada harapan

Ianya bukan sekadar satu kisah
Ianya contoh amal yang istiqamah
Walau pelbagai rintangan perlu diredah
Perlu diteruskan hingga sampai sudah

Kerna itu Edison berkata
Aku tak pernah gagal sebenarnya
Sebetulnya aku kerap berjumpa
Kaedah yang tidak betul cara

Kisah ini menjadi teladan
Kata ini jadikan pedoman
Ada hidup yang perlu diteruskan
Ada perkara perlu diselesaikan

Kediaman Rasmi, Batu Buruk 22 Mei 2014

Tuesday, May 20, 2014

Manusia dan Kemanusiaan (Bahagian 2)

Mereka berbicara tentang manusia dan kemanusiaan
Sedang ditangan mereka darah-darah berlumuran
Mereka lagi berhujah tentang merdeka dan kebebasan
Sedang ditangan mereka ada kunci-kunci rantai yang menyakitkan

Mereka masih bisa berbicara tentang tamadun
Sedang kebobrokan itu mereka warisi turun temurun
Mereka masih saling sanggah pendapat tentang Firaun
Sedang mereka pembodek yang gila harta umpama Qarun

Mereka masih tak malu bertutur tentang bumi
Sedangkan segala kerosakan telah mereka mulai
Mereka tampak seolah memperjuangkan tradisi
Sedang mereka angkat kemodenan sebagai paksi

Manusia dan kemanusiaan bertambah kucar kacir
Kerna manusia itu sendiri tidak pernah berfikir
Akan kebejatan yang makin hari makin sering hadir
Lantas membuat hati mereka gundah dan khawatir

Manusia semakin jelas menjadi gila
Tentang dunia dan segala yang ada
Manusia bercakap seolah mereka lupa
Yang semua ini hadir kerana sikap mereka

Dan manusia-manusia itu terus gila…………..

Kediaman Rasmi, Batu Buruk 21 Mei 2014

Sepohon jambu laut itu

Sepohon jambu laut ditepi kubur
Ada sejarah yang pernah subur
Sejarah lama yang tak pernah ditutur
Kerna hanya segelintir kami yang akur

Pohon jambu laut itu
Hanya berdiri tegak dan kaku
Tanpa memberi janji-janji palsu
Tanpa memberi harapan kelabu

Setiap musim raya sampai
Akan ada saudara melambai
Daun-daun jambu laut dicapai
Untuk guna membungkus tapai

Sepohon jambu laut itu
Sekarang sudah tiada disitu
Memberi ruang untuk sesuatu
Terpaksa ditebang biarpun perlu

Pohon jambu laut dalam sejarah
Kuingat kembali sebagai kisah
Kerna jasanya tak pernah sudah
Hadirnya sebagai satu anugerah

Pohon jambu laut itu
Akan kukenang ke akhir waktu……

Kediaman Rasmi, Batu Buruk, 21 Mei 2014

Suara resah

Oh bulan jangan pergi
kerna mentari belum pasti
oh angin bawakan rindu
agar erat hati bersatu

cahaya jangan kau berlalu
dalam gelap resah jiwaku
suara jangan menjadi sepi
pasti rasa hiba dan sunyi

mampukah aku yakinkah aku
dalam gundah berlagu sendu......


Kediaman Rasmi, Batu Buruk 25 April 2014

Antara aku, murtabak dan teh o peng

TIka itu, aku masih punya waktu
untuk sebiji murtabak dan segelas teh o peng
bersama mereka yang ku panggil sahabat
meluangkan masa melepaskan lelah
tanpa sedar masa berlalu

Kini aku ditinggalkan waktu
mengejar antara hidup dan kehidupan
antara kehendak dan keperluan
Lantas murtabak aku tinggalkan
menyusuri masa mencapai tujuan

Entah bila aku punya masa
untuk kembali ke situ
menikmati murtabak itu
dan teh o peng yang semakin mencair
menjadi tawar seusai waktu......

Chendering, 2 Mei 2014

Apakah kami pada kamu

Apakah kami pada kamu
Dijanji manis bila kau mahu
Diangkat disanjung pabila perlu
Hujung-hujungnya kami ditipu

Di satu penjuru bermadah dusta
Di satu penjuru mengadu domba
Di satu penjuru berhujah nista
Di satu penjuru mencipta berita

Tersepit kami tanpa bicara
Kerna kamu bergaduh kuasa
Masing-masing gilakan takhta
Hingga janji-janji kalian lupa

Dimanakah keadilan yang kamu sembah
Dimanakah kebatilan yang kamu sanggah
Tekad hatimu katakan mengubah
Tapi juangmu berbeda langkah

Andai dunia yang kamu cari
Pasti binasa kan kau miliki...............

Kediaman Rasmi, Batu Buruk, 5 Mei 2014

Engkaukah perawan itu

Engkaukah perawan itu
Hadir di pagi dingin
Bersama deru angin
Membikin hatiku ingin

Engkaukah perawan itu
Hadir di tengah hari
Dalam terik mentari
Pegun bayang menari

Engkaukah perawan itu
Membelah siku senja
Merobek awanan jingga
Kaku langkahku terpana

Engkaukah perawan itu
Mengulit di alam mimpi
Menjangkau alam fantasi
Tuntas segala imaginasi

Engkaukah perawan itu
Dalam bisu kau berbicara
Dalam kaku kau bersuara
Dalam pilu kau tertawa

Engkaukah perawan itu
Dalam sedih senyummu manis
Dalam kasih engkau menangis
Dalam pedih tuturmu puitis

Engkaukah perawan itu
Menyoal seribu tanya
Ke akal tidak terbina
Kekal aku terpesona.............

Quinara As-Safir Resort, 10 Mei 2014

Tiga pendekar haprak

Tiga pendekar haprak
Ingat mampu mencorak
Rupanya tinggal tengkorak
Kiri kanan tak bisa bergerak

Tiga pendekar haprak
Impi tinggi rasa bongkak
Niat dihati mencatur bidak
Tapi sayang tersilap petak

Tiga pendekar haprak
Niat melawan ombak
Rupa-rupanya takut digertak
Telur kecut kain pun koyak

Tiga pendekar haprak
Ingin menjadi wira khalayak
Baru nak menukar rentak
Fail keluar berkotak-kotak

Tiga pendekar haprak
Niat nak memberontak
Sekali wang ringgit diletak
Hati jernih jadi keladak......

Dalam bas Sani Ekspress. (KT - KL)
15 Mei 2014

Sepinggan nasi dagang itu

Sepinggan nasi dagang itu
Adalah rentetan satu warisan
Tanpa suara umpama lukisan
Menjadi rezeki seorang insan

Sepinggan nasi dagang itu
Ada cerita yang tidak tersurat
Ada derita yang masih tersirat
Senang, mudah, susah dan penat

Sepinggan nasi dagang itu
Ada berita yang tidak terkhabar
Ada hikayat yang tidak tersebar
Masam, pahit, manis dan tawar

Sepinggan nasi dagang itu
Ada menyimpan seribu kisah
Ada  tafsiran di sebalik wajah
Suka, gembira, duka dan gundah

Sepinggan nasi dagang itu
Dalam perutku selamat bersemadi
Alhamdulillah………………….

Chendering, 5 Mei 2014

Kau dan tujuanmu

Bila kau bermula
Dari  titik menjadi tangga
Tidak kau ragu tidak bertangguh
Kerna kau tahu tujuanmu

Bila kau melangkah
Antara mitos dan akal budi
Langkahmu ampuh jejakmu sungguh
Kerna kau tahu tujuanmu

Bila kau berlari
Antara garis-garis masa
Pecutmu laju cengkammu kukuh
Kerna kau tahu tujuanmu

Bila kau berdayung
Meredah ombak-ombak sengsara
Jiwamu teguh cekalmu angkuh
Kerna kau tahu tujuanmu

Bila kau marah
Dalam kalut rumit dan onar
Wajahmu keruh pandangmu teduh
Kerna kau tahu tujuanmu

Kerna tujuanmu
Menyusun batu-batuan
Mendaki ke Zenith

Pantai Batu Buruk, 15 April 2014

Monday, May 19, 2014

Aku tak kenal kamu

Aku tak kenal kamu
Walau aku dan kamu sering bersua
Walau aku dan kamu dulu sekata
Walau aku dan kamu dulu senada

Aku tak kenal kamu
Walau kurai setiap kemenanganmu
Walau kuratap setiap kekekalahanmu
Walau kutangis setiap kekecewaanmu

Aku tak kenal kamu
Dulu kau dan aku bersatu hati
Dalam setiap gerak dan tari
Bersama berjuang mencari erti

Aku tak kenal kamu
Kerna kau sering bermuka-muka……….


Kediaman Rasmi, 30 Mac 2014

Manusia dan kemanusiaan

Kusingkap tirai cerita-cerita insan
Kata-kata Schulz kujadikan satu bahan
Bila dia berkata, “aku suka kemanusiaan”
“Tapi manusia membuatkanku tak tahan”

Lantas aku bersetuju dengan beliau
Kerna dia bercerita yang bukan kalau
Satu ungkapan yang buat orang keriau
Pasti ada yang akan turut berkicau

Manusia sudah lari dari kemanusiaan
Bahkan ada yang bersifat kebinatangan
Bukan sekadar aku lemparkan tuduhan
Nah, bukalah akhbar kau kan lihat kenyataan

Binatang pun ada sayangkan anak sendiri
Bukan dilahir dan dibiar supaya mati
Bukan digigit dicucuh api rokok dan terus disakiti
Bukan diperguna untuk lampias nafsu dan nafsi

Sebahagian manusia lebih binatang dari binatang
Membina tembok-tembok dan juga jurang-jurang
Pisahkan antara miskin dan mereka yang senang
Hanya kerna kau punya darjat dan bintang

Ada sebilangan manusia yang rendah maruah
Binatang tidak ambil kesempatan untuk rasuah
Manusia boleh menjadi berbilang tingkah
Didepan menentang dibelakang korupsi subur dicambah

Jadi betulah kata Schulz itu
Kemanusiaan itu harus terus begitu
Dan manusia sebetulnya harus mengaku
Bahawa jiwa mereka sudah keras seperti batu

Kediaman Rasmi, Batu Buruk, 19 Mei 2014

Pemberontakan serban kuning

Zhang Jiao si abang yang tangkas
Rakyat diajak diseru untuk bingkas
Pemerintahan dzalim perlu dicantas
Kerana penyakit, Zhang Jiao pun tewas

Adik kedua bernama Zhang Liang
Ikut bangkit menyokong si abang
Diangkat pedang, kuda ditunggang
Dalam pertempuran dia pun tumbang

Zhang Bao si adik bongsu
Turut bangkit pabila diseru
Memimpin rakyat, musuh diburu
Tumbang di medan, maut bertamu

Serban kuning dililit, rakyat pun bangkit
Syair yang terbit,  semuanya diungkit
Semangat membukit,  tambah dari sedikit
Walaupun akhirnya sakit, musuh tersepit

Punca kalah , kerna terburu
Belum di arah , semua dah meluru
Jalan dilangkah, walau belum diseru
Akhirnya berpecah, diserang seteru

Walau pun kalah, menjadi punca
Dinasti Han berpecah kuasa
Berakhir kisah hujung cerita
Menjadi tauladan kepada kita

Kediaman Rasmi, Batu Buruk , 19 Mei 2014

Gerimis di Pekeliling

Dalam gerimis di Pekeliling
Si gadis manis buatku berpaling
Jiwa sadis hatiku runsing
Moga kalis takkan ku banding

Si gadis manis di Pekeliling
Dalam sinis cuba ku kerling
Sampai habis mataku juling
Tahan kuis umpama kucing

Usai gerimis kembali berpaling
Air dititis tekakku kering
Kerna si manis yang aku jeling
Dalam gerimis di Pekeliling.....


Hentian Pekeliling, 17 Mei 2014.

Pejuang-pejuang itu.......

Sebahagian pejuang-pejuang itu
Korbankan segala harta dan waktu
Dengan keluarga yang sama merestu
Bergerak seawal pagi yang syahdu

Mengorak langkah masuk ke kampung
Beras, gula, susu di bahunya ditanggung
Tak cukup pula dikelek dicempung
Bukan untuk meniaga mencari untung

Mereka masuk bukan bermain
Mereka masuk mencari marhain
Bawakan makanan, baju dan kain
Juga sedekah dari mereka yang lain

Mereka bukannya bangsawan politik
Mereka bergerak tak perlu dijentik
Cuba menyambung dari titik ke titik
Agar para marhain terus berkutik

Pejuang-pejuang yang tanpa nama
Berjuang bukan mengumpul piala
Mereka berjuang mencari makna
Pada kehidupan yang masih bersisa

Barisan pejuang-pejuang ini
Telah bertahun mereka kukenali
Lebih sedekad bersilih ganti
Masih tak mampu mereka kusertai

Pejuang terus mengorak langkah
Aku masih menyangkal helah……………

Kediaman Rasmi, 20 Mei 2014


Monolog pagi selasa

Kau pintal buih-buih muslihat lalu kau ikat menjadi hakikat
Ketat, erat, sehingga setiap yang lihat pasti akan terpikat
Kau susun batu-bata ilusi, kau atur seindah realiti
Erti, hakiki, semua tak kau peduli kau tolak jauh ketepi

Kau pinta semua percaya pada sandiwara yang engkau cipta
Kau pinta semua butakan mata pada cerita lara yang masih ada
Kau pinta semua tulikan telinga pada kisah sengsara yang masih tersisa
Kau pinta semua bisukan kata untuk bertanya bersoal apa dan siapa

Engkau bukan nostradamus handal meramal apa yang bakal
Engkau adalah mandeliar adu domba fitnah untuk yang menyangkal
Engkau takkan faham seribu ayat seribu perkataan bila disindir penuh sinikal
Engkau takkan mungkin  faham kerna di otakmu hanya ada akal yang dangkal

Dihatimu hanya ada hasad dengki dendam kesumat penuh gelemat
Dikalbumu hanya wujud niat untuk capai maksud dengan segala macam muslihat
Dibenakmu hanya wujud helah untuk halalkan cara bagi capai matlamat
Diakalmu hanya ada tipu daya kerna segalanya bagimu sangat singkat

Kau bilang ini adalah nyata bukannya fatamorgana
Kau cuba yakinkan semua ini bukanlah fantasia

Kau anggap dirimu lah yang hebat
Sebenarnya engkaulah musibat…………

Chendering, 20 Mei 2014

Monolog pagi Isnin

Bila musuh-musuh berkata untuk menang dengan Islam tidak boleh lawan pedang
Tapi apa yang perlu adalah jauhkan mereka dari agama pastikan menang
Kita yakin percaya yang kita kuat hebat pasti lawan kalah kalau menentang
Tanpa sedar tanpa rasa kita lalai kita leka sewaktu mereka usul dan rancang

Kita tak perasan bila apa yang dulunya kita rasa tak betul dah mula jadi biasaan
Dulu bertudung kalau menyanyi kita hairan sekarang kita tak rasa apa masih sopan
Dulu kanak-kanak disuruh mengaji sekarang lebih bernyanyi masuk pertandingan
Sedikit demi sedikit diubah hingga kita tak sedar dari pelik jadi biasa lama-kelamaan

Dulu hanya ada satu dua pertandingan menyanyi sekarang semakin banyak lagi
Derma untuk masjid kita berkira tapi kalau untuk sms undi kita puluh-puluh sekali dibagi
Tak cukup minat dengan undi kita beli aksesori, “key chain” sebagai koleksi peribadi
Ke masjid kita rasa payah tak sungguh tapi ke auditorium berpuluh batu pun kita sudi

Kita bercakap berdentum dentam bahawa sifat musuh-musuh memang berdendam
Kita syarah ceramah tentang jahat nya mereka hulu hilir kiri kanan kita hentam
Tapi bila balik ke rumah kita leka hadap tivi dari pagi sampai tengah malam
Kita lupa asal usul kisah silam bila segala bentuk teknologi media buat kita tergamam

Bukan sekadar hiburan segala macam media mereka guna mereka manipulasi
Apa yang Rasul kita kata mereka percaya tapi mereka tukar supaya kita pun tak pasti
Asalnya kita makan dengan tangan kanan tapi sekarang kita lebih bangga makan dengan tangan kiri
Daging kambing kita tak suka banding daging lembu kerana kata mereka kolestrol lebih tinggi

Sekarang mereka gembira mereka ketawa berdekah-dekah sambil bergurau
Kita masih bertelegah siapa boleh masuk masjid siapa perlu dihalang masuk surau
Kita masih berbalah kenduri siapa kita boleh pergi dan siapa yang kita kena pulau
Alim ulama bercakap kita tak dengar sampai penat mereka bersyarah hingga suara garau

Kita yakin kita hebat walau sebenarnya dalam hakikat kita tak seberapa
Kita pecah rekod dalam negeri dan antarabangsa walau apa yang kita buat sia-sia
Kita tunduk pada kuasa asing sampai kapal terbang hilang pun kita tak boleh cakap apa
Kita sambut mereka datang walau kita tahu mereka bagaimana dan tahu maksudnya kenapa

Mereka sibuk bersedia dengan titanium mereka tanam berjuta pokok Qharqad
Sedang dipihak kita masih terkial-kial nak bercerita bab hukum hakam dan juga had
Tak sedar bahawa musuh kita telah bersedia segala benda selama berbelas abad
Kita masih juga lena buang masa dengan layan hiburan dekad demi dekad………….

Kediaman Rasmi, 19 Mei 2014 7.14 pagi
Anakku Ishqal demam panas di pagi ini. Sekarang baru dia tidur.

Antara pilih dan pilihan......

Dalam buku aku terbaca
Henry Ford pernah berkata
Kau pilihlah apa warna yang kau suka
Selagi hitam adalah warnanya

Bila mendengarnya kita ketawa
Mungkin itu sekadar jenaka atau senda
Tapi kita tidak tahu bahawa sebenarnya
Dalam diam itu adalah cerita kita

Memilih pada kita mesti ada pilihannya
Sedang tak sedar kita sering terlupa dan alpa
Mungkinkah pilihan itu hanya wujud tanpa nyata
Atau pilihan itu hanya sekadar bisu tanpa bahasa

Kita mungkin memilih tanpa kita tahu
Bahawa keputusannya telah ada penentu
Menjadikan apa yang kita pilih hanyalah palsu
Atau pilihan diatur supaya menjurus ke situ

Kerna kalau pilihanraya itu mampu membawa perubahan
Sudah lama ianya dihapuskan………………..

Kediaman Rasmi, Batu Buruk. 18 Mei 2014

Seringgit lapan puluh sen (Bahagian 1)

Seringgit lapan puluh sen
Nak beli beras tak dapat pun sebesen
Nak naik bas mungkin tak sampai stesen
Nak beli baju pun tak berfesyen

Kurang sikit ke dua ringgit
Marhain menangis poketnya sakit
Kudrat ditagih sedari bangkit
Beri sedikit bertahun diungkit

Semua pihak sibuk politik
Masing-masing mencari titik
Di dewan besar berbaju batik
Cakap berdegar semuanya plastik

Marhain meratap lagu nan sayu
Bukan mengharap besi dan kayu
Bukan meminta permata batu
Sekadar lepas roti sebuku

Bila masanya kau janji segala
Hingga kini semua kau lupa
Diruang tinggi engkau bercerita
Dihujung kampung marhain derita

Mana dia segala pembelaan
Janjimu bila kau minta sokongan
Diangkat tinggi mereka kau lupakan
Sekadar dilempar sedikit sebagai umpan

Marhain merintih tak minta lesen
Tapi getahnya hanya bernilai seringgit lapan puluh sen......

Jalan Raja Laut, 17 Mei 2014

Nasi lemak City Garden

Nasi Lemak Kg Baru
City Garden masih terpacak disitu
Mengimbau selera kenangan lalu
Bilis sambal, daging dan paru

Pengunjung-pengunjung setia
Hadir mereka memenuhi meja
Merehatkan diri seusai bekerja
Sendiri, berkawan atau dengan keluarga

Dihiburkan penyanyi-penyanyi lorong
Kepada pengunjung suara disorong
Merdu dan serak lepas kerongkong
Seringgit dua irama diborong

Ada hadir untuk memilih
Ada coklat, merah, hitam dan putih
Dari wajah pandangan tak bisa dikalih
Impi hati untuk jadi kekasih

Ada datang dengan pasangan
Memupuk cinta membina ikatan
Dengan nasi lemak sebagai kenangan
Kelak bercerita sebagai warisan

Aku hadir sekadar bertamu
Dengan sahabat dah lama tak bertemu
Bercerita kisah satu persatu
Semoga kita kekal sekutu

City garden aku tinggalkan
Masih ramai menikmati hidangan
Entah bila dan entah kapan
Ke sini lagi bersamamu teman......

Nasi Lemak City Garden
Belakang Kelab Sultan Sulaiman
10:00 malam 16 Mei 2014

Selamat hari guru...

(Dedikasi untuk kakakku Allahyarham Wan NorFersuriani, 1971-2010 - seorang guru)

Selamat hari guru
Buat semua yang bergelar cikgu
Banyak sedikit tak pernah jemu
Senang dan susah berkongsi ilmu

Kaulah pengajar kaulah pendidik
Dari tak pandai menjadi cerdik
Kelaku liar hingga ke cantik
Dari nanar ke semakin baik

Tanpa guru tak wujud segala
Doktor arkitek dan jurutera
Kerna disekolah asas bermula
Begitulah guru, besar sumbangannya

Guru mengajar sentiasa ikhlas
Tidak mengharap murid membalas
Budimu guru sangatlah jelas
Sehingga dewasa dihati berbekas

Dulu ibubapa hidupnya susah
Tapi pendidikan tak pernah dimudah
Dirotan guru takkan mengadu dirumah
Kerna pasti lagi dimarah

Kini dah tak seperti dulu
Dimarah cikgu mak ayah meluru
Diserang diherdik pada guru
Tanpa mengira salah dan malu

Zaman sekarang makin berubah
Tugas guru semakin bertambah
Cabaran juga makin tak mudah
Harap semua guru-guru tabah

Stesen Komuter Sentral, 16 Mei 2014

Selamat hari guru untuk semua guru dan pensyarah yang pernah mengajar saya di Tadika Ladang (1979), S.K. Gong Kapas(1980-1985) Sek. Sultan Mahmud (1986-1990), Politeknik Kota Bharu (1991-1994) dan UUM (2008-2011). Budi kalian kukenang sepanjang hayat.

Seorang pejuang itu.....

Seorang pejuang itu
Matlamatnya satu
Tekadnya jitu
Cekalnya tentu

Geraknya tangkas
Langkahnya pantas
Terjahnya keras
Maksudnya tuntas

Dihunus dia mengelak
Dicari ruang untuk mendesak
Diberi peluang dia menetak
Lepas tangan siku dihentak

Pejuang itu akalnya cerdas
Memilih lawan buku dan ruas
Tidak mengalah walaupun kandas
Akan melawan selagi bernafas

Pejuang itu sentiasa yakin
Cekal hati jiwa dibikin
Tegas sedia untuk memimpin
Teraju ikutan kaya dan miskin

Pejuang itu mesti amanah
Dalam berjuang beristiqamah
Tanpa memandang pada khazanah
Terus bernaung dipayung hikmah

Pejuang itu mestilah pandai
Tepat mengagak apa diandai
Bukan takut melawan badai
Pasti jaya harus digapai

Pejuang itu kalanya duduk
Kepada Tuhan wajiblah tunduk
Dalam ibadah pastinya kusyuk
Kerjakan amal penuh tawadduk

Pejuang itu...
Layakkah aku.....

Seksyen 19 Shah Alam, 16 Mei 2014

Monolog di Kuala Lumpur

Kuala Lumpur dipagi Jumaat
Tibaku disambut hujan nan lebat
Membawa seribu rahmat
Membawa seribu berkat

Kuala Lumpur kau jauh berubah
Seumpama corak di setiap langkah
Merakam detik bangun dan rebah
Melihat ketika gagah dan goyah

Kuala Lumpur menyimpan berjuta sejarah
Didalamnya tersingkap jutaan kisah
Antara kemelut kaya, miskin dan susah
Antara hidup keliru, ragu ataupun mudah

Kuala Lumpur kota nan agung
Kota yang penuh terus dan lansung
Menyimpan suka dan duka untuk direnung
Merungkai masa dan ketika untuk ditenung

Kuala Lumpur sebahagian coretan
Kisah hidupku dalam kenangan
Bertahun kuhidup dalam rantauan
Mencari tujuan dalam kehidupan

Kuala Lumpur aku datang
Ada urusan perlu ku tatang
Sambil melihatmu diwaktu tenang
Harap kutemu waktu yang senang

Kuala Lumpur,
Terima kasih atas sambutanmu......

Jejantas PWTC dalam hujan pagi Jumaat
16 Mei 2014.

Di perhentian ini

Di Perhentian Ini
Terlihat pelbagai watak
Terlihat berbagai rentak

Apabila bas berhenti
Penumpang bangkit dari mimpi
Melunaskan kehendak diri
Atau untuk secawan kopi

Satu kisah juragan
Aku bawakan korbanan
Bawakan padaku makanan
Rokok dan juga minuman

Kapitalis mencari untung
Harga perlu dilambung
Agar poketnya kembung
Agar wang penuh dikantung

Ada yang tidak cakna
Menjadi terpinga-pinga
Waduh, bas ku dimana
Kerna tadi ku alpa

Ada yang tadi ke tandas
Mungkin hajatnya tak lepas
Bimbang kalau-kalau terbabas
Risau kalau tertinggal bas

Akhir sebuah perhentian
Bas bergerak menuju haluan
Perut sudah berisi kudapan
Mulut sudah lunas cemuhan

Bas bergerak ke Kuala Lumpur
Waktu untuk menyambung tidur
Letak duduk sudah diatur
Penumpang dibelakangku masih berdengkur...............

Hentian Rehat Cherating, 15 Mei 2014

Em Ech Tiga Tujuh Kosong (Bahagian 1)

Kau hilang sewaktu manusia lena
Tiada jejak, tiada cerita, tiada berita
Kau pergi dengan seribu misteri
Hilang, hilang tidak dapat dicari

Pelbagai tandatanya kau tinggalkan
Seribu persoalan tanpa jawaban
Entah dimana, entah bagaimana
Entah kenapa dan oleh siapa

Pergimu mengundang sejuta resah
Hilangmu hadirkan sejuta gelisah
Tiadamu ditangis umat manusia
Tiadamu dicari di merata samudera

Aku yakin ada permainan
Aku yakin ada peranan

Justeru, selesaikanlah segala urusanmu
Pulanglah, disini kami menantimu

Akanku bacakan bait-bait ini dihadapanmu
Akanku ritmakan lagu ini ditelingamu

Aku tidak akan mencari
Kerna ku yakin kau akan kembali..........

Kediaman Rasmi, Batu Buruk 12 Mei 2014

Monolog dalam perjalanan.....

(Aku, anakku, drebar bas, konduktor, beberapa penumpang)

Hari ini aku dalam perjalanan
dari destinasi ke destinasii
tanpa menyedari
aku akan diajar sesuatu

Dalam perjalanan ini aku melihat
sekumpulan manusia turun di simpang tandus
tiada rumah tiada kediaman
lorong seolah tiada penghujung
manusia-manusia ini mengusung barangan
menapak menuju kehidupan
Lantas aku sedar betapa beruntungnya aku
Tiba nanti keretaku di simpang
Tiada payah mengatur langkah

Dalam perjalanan ini aku melihat
Satu keluarga balik dari pasar
Si ayah menjinjit seplastik ikan
Si ibu mendukung anak
Titis-titis air ikan mengundang bau yang kurang enak
Aduh...getus hatiku.....
Namun aku sedar betapa beruntungnya aku
Aku ke pasar berkenderaan sendiri
Sedang mereka tiada pilihan

Dalam perjalanan ini aku melihat
Sekeluarga dengan anak-anak kecil
Bermain dalam bas membuat bunyi bising
Ketawa sesama sendiri tanpa henti
Seolah tiada orang lain di dalam bas
Seolah semua ini mereka yang punya
Lantas aku sedar betapa jahatnya fikiran aku
Anak aku girang dapat menaiki bas
Sedang mereka girang dapat menaiki kenderaan

Sedemikian destinasi ke destinasi
Bas lagi bergerak dan berhenti
Dan di setiap hentian ada ceritanya
Akhirnya aku tiba ke destinasi
Menunaikan janjiku untuk membawa anak menaiki bas
Dan aku sedari perjalanan ini bukan sekadar satu perjalanan

Terima kasih Tuhan
kerana mengirim anakku
kerana mengirim hamba-hambaMu
kerana mengirim perjalanan ini
untuk mengajarku erti kesyukuran......

Dungun - Batu Buruk, 2 Mac 2014

Garis-garis masa.....

Aku melihat garis-garis masa
Mengeluh dan kecewa
Melihat pelbagai cerita
Khabar ceria, khabar duka

Kerna status menjadi raja
Anganmu menjadi bandaraya
Marhain menjadi mangsa
Uftimu berkali ganda

Kerna nafsu berleluasa
Syaitan pun bermaharajalela
Lagikan binatang sayang anaknya
Manusia gila membuangnya

Kerna akal tidak setara
Tapi pangkat kau berada
Tuturmu mencerminkan minda
Bila teh tarik kau campur gula

Bila ilmu tak cukup di dada
Hukum Allah kau tak percaya
Justeru kau bermuka-muka
Malahan sanggup kau persenda

Bila pangkat menjadi tanda
Syaitan bisu kau jadinya
Satu pihak kau bingkas mencela
Satu lagi kau diam tak berkata

Bila kuasa menjadi punca
Semua pihak menjadi sama
Kau bilang tak kejar takhta
Tapi pemilihan pun kau tipu juga

Bila pemimpin menjadi barua
Baik dan buruk tidak berbeza
Dulu kau sebut jahat mereka
Bila datang ber’selfie’ dengannya

Bila peluang datang menerpa
Tidak peduli perasaan manusia
Di sidang media kau bercerita
Berbelit-belit menyimpan rahsia

Melihat garis-garis masa
Aku menjadi semakin kecewa
Melihat dunia ditipu manusia
Mencari ruang membina kuasa

Melihat garis-garis masa
Entah esok apa pula
Bukan dunia semakin gila
Tapi manusia semakin alpa

Lihatlah manusia
Pangkatmu panjang berjela
Pingatmu berbelas bilangnya
Kau susun sejuta piala
Kau himpun arca-arca berharga
Kau pahat namamu di persada
Kau mewah wang berjuta
Rumah mewah dan segala harta

Tapi akhirnya……….
Akan kau ke mana ?
Akhirnya hanya dua
Antara syurga dan neraka……………….

Wahai jiwa-jiwa yang tenang (tenteram),
Kembalilah kepada tuhanmu dengan redha dan diredhai,
Masuklah kedalam golongan hamba-hambaKu,
dan masuklah kedalam syurgaKu (Surah Al-Fajr, ayat 27-30)

Kediaman Rasmi, Batu Buruk, 12 Mei 2014

Hujanlah.........

Guruh dilangit telah berbunyi
Hujanlah....hujanlah.....
Agar airmu membasah bumi

Petir dilangit sudah berdentum
Hujanlah...hujanlah.....
Agar mawar mampu berkuntum

Awan dilangit telahpun mendung
Hujanlah.....hujanlah.......
Agar hangatnya mampu dibendung

Gumpalan awan telah memupuk
Hujanlah.....hujanlah.....
Agar cuaca menjadi sejuk

Hujan,
Titismu adalah berkat
Turunmu adalah rahmat

Kediaman Rasmi, Batu Buruk, 13 Mei 2014

Maafkan aku teman.....

Maafkan aku teman
Andai senyumku senyum yang tawar
Andai lawakku jenakanya hambar
Andai agakku jauh tersasar

Maafkan aku teman
Andai tuturku tutur yang pincang
Andai tariku tari yang tempang
Andai laguku iramanya sumbang

Maafkan aku teman
Andai apa yang aku tulis
Bukannya lirik indah puitis
Hanyalah kata sindiran kritis

Maafkan aku teman
Aku bukannya seorang pendita
Aku bukannya seorang pujangga
Aku cuma belajar bertinta

Maafkan aku teman
Kerna aku harus menulis
Walau dengan nada yang sinis
Walau dalam jiwaku tangis

Maafkan aku teman
Andai kegembiraan yang kita cari
Andai kebahagiaan yang kita impi
Tidak mungkin kita temui

Maafkan aku teman.....


Pantai Rusila, 15 May 2014

Baldi di atas tangga

"Baldi diatas tangga"
Ujar isteriku bersahaja
Tiada kufaham maksud kenapa
Mungkin isinya pelikat dan tuala

"Baldi di atas tangga"
Tegas isteriku pula
Masih tercegat tak tahu kenapa
Isteriku melihat geleng kepala

"Bang, nampak tak baldi?"
Tanya isteriku lagi
Di depan tangga masihku berdiri
Tidak bergerak kanan ke kiri

"Baldi, ke atas tangga"
Baldi merah itu kusapa
Isteri melihat tak kata apa
Lantas dia menaiki tangga

"Ni ha baldi, tak nampak?"
Pada wajahnya pandang ku campak
Seperti keliru wajahnya tampak
Turun tangga dia menapak

Baldi di atas tangga
Umpan modalku membuang masa
Tiada kufaham maksud kenapa
Masih buatku terpinga-pinga

Baldi di atas tangga
Dan mesin basuh itu terus berputar.....

Kediaman Rasmi, Batu Buruk, 19 Mei 2014

Apakah hak kita.......

Apakah hak kita cuma resah gelisah tak kunjung sudah
Menjenguk ke laman harta kurnia segala yang serba indah
Memandang lewat tingkap bingkai pangkat darjat yang kemas tak goyah
Menunduk ke lantai jerih fakir yang penuh sisa-sisa ludah

Apakah hak kita cuma sendu titis tangis yang takkan habis
Melihat tingkat-tingkat kuasa mabuk dalam kekangan kapitalis
Membilang anak-anak tangga kepayahan hidup yang tak pernah menipis
Menyeret langkah-langkah tempang dinilai hina dipandang sinis

Apakah hak kita cuma kata hina sumpah nista berulam dusta
Menjeling hujung mata pada tangan-tangan angkuh rebutkan kuasa
Melirik pada rasuk-rasuk ampu angkat sokong dokong tanpa rasa
Melutut pada rasa harus percaya kerna yakin masih bersisa

Apakah hak kita cuma perca-perca keadilan yang hampir mati
Mengangkat hakim-hakim yang buta matanya telingapun tuli
Menjulang akal-akal kayu yang menjengkal tanpa rasa peduli
Mengheret tongkat-tongkat kaku mengumpan garis-garis simpati

Apakah hak kita cuma cebis-cebis pimpin urus yang makin pupus
Menghitung pada bilang-bilang susuk yang masih tulus
Mencongak wujud jati diri harga warga yang masih kudus
Melapik tumit percaya pada pacak-pacak yang kian haus

Apakah hak kita cuma akur membabi buta meluru melulu
Menggantung harap nasib pada janji-janji omong-omong palsu
Menumpang hinggap pada tiang-tiang hakikat yang tak mampu
Menggali liang-liang semadikan jasad-jasad harap yang telah kaku

Apakah hak kita cuma sebagai hamba ditindas meminta belas
Atau sebagai tuan empunya pada harapan yang makin jelas

Kediaman Rasmi, Batu Buruk 18 Mei 2014

Malaikat-malaikat palsu

Engkau bertopeng dengan agama
Dan kau menggelar dirimu ulama
Padahal hakiki tiada seumpama
Kerna hanya kau mengejar nama

Engkaulah malaikat-malaikat palsu
Hujahmu helah hajatmu nafsu
Inginnya engkau pada sesuatu
Sanggup kau robek yakin dan malu

Kau minta wala’ semua patuh
Sedang engkau akibatkan jauh
Bersama sekutu pakatmu rapuh
Dalam selimut engkaulah musuh

Dalam gelap engkau berbincang
Dengan lawanmu yang makin pincang
Kau namakan nya “perpaduang”
Sedang keyakinan hancur kau cincang

Engkau sendiri mencatur langkah
Apa dipakat tidak kau endah
Kau hina mandat kau tipu watikah
Dicampur menang diasing kalah

Engkau mengaku dirimu malaikat
Sedang hakikat, kaulah musibat……….

Kediaman Rasmi, Batu Buruk 19 Mei 2014


Syaitan-syaitan bisu (Bahagian 2)

Syaitan-syaitan bisu
Jubahmu pandangan kelabu
Serbanmu serban keliru
Ucapmu tak bersandar wahyu
Tanggapmu kerap melulu

Syaitan-syaitan bisu
Bila salah yang engkau pihak
Engkau bisu tidak menyorak
Mulut terkunci terpasang selak
Jubahmu baldu dipunggungmu koyak

Bila salah yang engkau seteru
Cepat betul engkau meluru
Kau hujan semua tombak peluru
Hujahmu lengkap waqaf dan sabdu

Syaitan-syaitan bisu
Walau tasbih lekat di jari
Namun dek pangkat yang engkau cari
Benar hakikat tidak kau peduli
Segala pendapat kau buat tuli

Dalam jelas engkau menipu
Dalam terang hujahmu palsu
Hilang kusam segala ilmu
Bukan tiada tapi celaru

Di depan khalayak engkau lah bintang
Tapi yang jelas lakumu binatang………..


Kediaman Rasmi, Batu Buruk 19 Mei 2014

Seorang wartawan itu


Kau bilang profesimu wartawan
Sahih dan benar jadi sandaran
Tapi semua tak kau pedulikan
Asalkan bagimu ada habuan

Aku benci lihat wajahmu
Aku meluat dengar suaramu
Apa kau tutur sahih tak tentu
Tapi tak kisah khalayak keliru

Tintamu berkarat diasah kesumat
Dengan penguasa engkau berpakat
Manipulasi segala jenis maklumat
Kau butakan mata pada hakikat

Mana timbangan dalam mindamu
Mana inbangan dalam akalmu
Hingga engkau sanggup menipu
Tiadakah sesal dalam hatimu

Apa sangat yang engkau kejar
Pangkat dan harta adakah wajar
Hingga hujungnya engkau tersasar
Buku amalmu dicampak kasar

Syaitan-Syaitan Bisu (Bahagian 1)

Syaitan-syaitan bisu
Melilit serban-serban darjat
Menyarung jubah-jubah pangkat
Sedang kau lupa mana hakikat
Sedang kau alpa pada akhirat

Syaitan-syaitan bisu
Bila mana pada marhain
Marahmu bukan main
Pedasnya lain dari yang lain
Kau singkap semua baju dan kain

Bila pada orang berada
Bibir kelu tidak bersabda
Kalau adapun hanya berpada
Seumpama sambal tidak berlada

Syaitan-syaitan bisu
Tumpumu pada nama
Tujumu kaut harta

Syaitan-syaitan bisu
Dihadapan manusia kaulah warisan
Dihadapan Allah, kaulah syaitan………..

Puisi untuk si isteri

Telah kutuliskan bait-bait puisi
Untuk ku dedikasikan pada sang isteri
Bertahun lamanya dirimu disisi
Menemaniku riang dan sepi

Telah kuluahkan kata-kata
Bukan dengan intan permata
Kerna ku tahu bukan kau pinta
Kerna kau tahu apa ku ada

Telah ku curahkan segala sayang
Di alam nyata bukan di kayang
Kerna dirimu bukan sebarang
Sepenuh hati rindu bersarang

Sabarlah isteriku,
Masa kita belum muncul lagi
Sabarlah isteriku,
Pasti disuatu hari nanti
Impi kita akan jadi kata
Harap kita akan jadi nyata


Kediaman Rasmi, Batu Buruk 10 Mei 2014
Sempena Hari Ulangtahun Kelahiran Isteriku

Apa lagi yang masih bersisa


Apa lagi yang masih harum
Kolam hati jatuh merudum
Harimau tak bisa mengaum
Sang penyu belum boleh tersenyum
Titans jugak masih tak berkuntum

Apa lagi yang masih manis
Cerita politik semakin hamis
Cerita jenayah semakin sadis
Duit rakyat semakin tipis
Mereka belasah makan tak abis

Apa lagi yang masih segar
Ufti berganda perlu dibayar
Ji-es-ti datang menguji sabar
Kata mereka tak boleh dicabar
Rakyat juga yang gulung tikar

Apa lagi yang masih diharap
Bencana timbul semakin kerap
Tak sedar masih nak makan suap
Nafsu dunia meluap-luap
Terkena nanti jatuh tertiarap

Apa lagi yang masih ampuh
Nampak macam bersungguh-sungguh
Tapi putar cerita tak kukuh
Jawab berbelit alasan rapuh
Hanya menangguk di air keruh

Apa lagi yang masih ada
Nampak gagah mendabik dada
Bila diacah sembunyi kepala
Tiada memberi sebarang tanda
Hanya berkata bukan budaya

Hentian Putra, 17 Mei 2014

Pembuka kata

Salam,

Ku wujudkan sebuah blog untuk kukumpulkan segala tulisanku (nak kata puisi bukan puisi, nak kata syair bukan syair). Semoga kewujudan blog ini menjadi medan untuk aku berkarya