Monday, August 17, 2015

Hujan Bulan November

Sekuntum mawar merah
Dan sebuah puisi

Mawar lambang cinta
Ah....itu kata mereka
Tapi terfikir juga kenapa

Puisi luahan hati
Rungkai cerita ilusi
Waima sekadar satu impi

Kerana...
Hujan bulan november telah berlalu pergi.....

Pekan, 2 Disember 2014

Aku Yang Hanyut

Terungkap dengan kata-kata
Dalam paksa, tanpa wujud sekelumit rela
Hanya ada sisa-sisa percaya
Sedang ikhlas sudah hampir tercela

Tersaksi oleh lagak laku
Sedang semangat makin kaku
Sedang kudrat jadi makin keliru
Dan jasad hampir kejung membatu

Adakah sinar itu cahaya
Atau sekadar kilauan cuma
Hadir sedetik umpama maya
Menghilang tanpa kilas rupa

Aku makin jauh, menjauh
Sedang yakinku makin rapuh
Pada usul yang akur dan patuh
Pada janji yang kemas dan sungguh

Aku makin hanyut , hanyut
Pada pegangan yang makin reput
Pada tekad nan kian susut
Dan laungan yang tiada bersambut

Adakah harap yang masih tersisa
Atau sekadar omongan belaka............

Leban Chondong, 7 Disember 2014

Sunday, August 16, 2015

Tiada Jalan Lain Bagimu

Kau menulis, skrip mu tidak cukup kuat
Kau mengarah, arahanmu buat orang meluat
Kau berlakon, lakonanmu sangat melarat
Kau menyanyi, sumbang jauh timur dan barat

Kau bercakap, cakapmu bersimpang siur
Kau berhujah, hujahmu lembik umpama sayur
Kau bertinta, ayat-ayatmu semuanya hancur
Kau berkata, hanya tutur yang sombong dan takbur

Kau bersilat, langkahmu sememangnya sumbang
Kau berlawan, gerak-gerimu semuanya pincang
Kau berkeris, keris pun tak betul kau pegang
Kau berpedang, tanpa kudrat untuk menentang

Kau berbohong, kerna itulah yang kau paling tahu
Kau berdusta, sorok kebenaran dedah yang palsu
Kau seleweng, tiada yang betul semuanya hanya tipu
Kau khianat, curang amanah yang terpikul di bahu

Kau terkepung, menyerahlah
Kau terdesak, akuilah

Cherok Paloh, 16 Ogos 2015

Aku Cuma Perlu Hidup

Aku tak peduli kau siapa
Aku tak hirau apa kau punya
Aku tak perlu tau kau orang kaya
Aku tak ingin sekali untuk bertanya
Aku cuma perlu hidup

Aku hanya sebahagian dari kisah
Aku hadir mungkin datangkan resah
Aku bertamu bukan mimpi yang indah
Aku nyata dalam seribu keluh kesah
Aku cuma perlu hidup

Aku melangkah tanpa kepastian
Aku bercerita tanpa kefahaman
Aku berlagu tanpa ada keyakinan
Aku bersyair, syairku tak kedengaran
Aku cuma perlu hidup

Aku bukan mimpi ngerimu
Aku bukan cerita silammu
Aku bukan siapapun padamu
Aku cuma seketika bertamu
Aku cuma perlu hidup

Sumbanglah seadamu
Tidak menjadi kudis bagimu

Pinggir Jalan, 16 Ogos 2015

Kerna Satu Adalah Empat

Kini satu sudah mencapai empat
Mungkin belum masa untuk melompat
Mungkin mencari andai ada manafaat
Atau menidak dengan seribu muslihat

Dulu satu adalah lebih sikit dari tiga
Itu sesuatu yang memang telah biasa
Sekarang nyata betul apa yang dijangka
Mustahil tiada apa dilakukan mereka

Hulur empat baru sekadar dapat satu
Dah begini pun mereka diam membatu
Berceritalah hal-hal yang tak membantu
Yang bercerita pun sekadar macam kelkatu

Ada kata situasi ini banyak akan menolong
Kerna katanya ramai kan datang melancong
Tapi sekadar umpan-umpan yang bohong
Banyak lagi sektor lain yang kan melopong

Bila satu dari tiga dah jadi sampai empat
Banyak urusan dah makin lama makin tak sihat
Bimbang akhirnya nak tahan pun tak sempat
Mereka cabut dan kita juga kan merempat

Satu jadi empat pun masih tak buat apa
Gebang kuat seolah takluk satu dunia.......

Batu 3 Kuantan-Gambang, 12 Ogos 2015

Demokrasi Telah Mati ?

Kau berkata pada hari ini
Bahawa demokrasi sudah mati
Sedang hakikatnya tak kau sedari
Bahawa ianya telah lama dikebumi

Kau bercerita tentang merdeka
Sedang kaulah yang mula sengketa
Kau belenggu segala jasad dan jiwa
Kekang semua jalan yang masih ada

Kau bicara tentang keadilan dan hak
Sedang kaulah yang mula merosak
Pelaksana kau paksa agar berpihak
Yang enggan kau ugut dan alih letak

Kau bicara tentang suap dan rasuah
Sedang kaulah yang mula mencambah
Hingga melekat terlalu sukar nak diubah
Nak dibendung pun dah terlalu payah

Kau bicara tentang menyalahguna
Sedang kaulah yang mulakan segala
Agensi kerajaan menjadi alat penguasa
Pelik, seolah kau ini baru hadir ke dunia

Kau bicara tentang ciri-ciri pemimpin
Sedang kaulah yang tak lihat cermin
Sungguh tak tampak umpama angin
Tapi hampir semuanya kau sapu licin

Kau bicara demokrasi telah mati
Sedang kau yang kuburkannya di Memali....

Sempadan kecewa, 10 Ogos 2015

Hikayat Yang Terselindung

Dari dulu telah ku kata namun kalian tak pernah percaya
Urusan putar belit memang telah jadi darah daging mereka
Atur, susun semua supaya kalian sentiasa terbuai dan terleka

Rembat, curi, samun bukan dalam gelap tapi dalam nyata
Itu pun kalian masih kata mana ada, tidak nampak apa-apa
Belasahlah segala jenis tabung dan juga harta yang ada
Untuk kalian tentang, sememangnya pasti harap dalam hampa

Eloklah sekarang kalian tengok dengan mata yang terbuka
Niat dalam hati untuk lihat, tenung dan kaji dengan minda
Akur saja angguk dan patuh tidak sedikit pun membawa makna
Merungut dalam diam tetap tak guna kerna tak jelas bersuara

Ratah segala isi yang sedap, kuahnya kalian ambil hanya sisa
Antara percaya atau tidak, kalian harus bukakan mata
Tolak segala janji, kerna yang dikata hanyalah sekadar auta
Umpan diberi bukan ikhlas, hanyalah untuk tutup fakta
Selagi kalian boleh dibeli, bebaslah mereka bermaharajalela

Jika kalian sedar, pasti kalian akan terkejut dan tak menyangka
Untuk mereka hampir semua, sedikit untuk kalian jadi gula-gula
Tuding jari sana sini, tak pernah mengaku sekiranya ditanya
Akhirnya tak boleh helah, pasti akan timbul cerita yang lain pula

Simpang Pelangkah, 6 Ogos 2015