Thursday, August 13, 2015

Aku Tanya Apa Khabar

Sejenak telintas, berlegar dan terus bermain dalam fikiran
Teringat anak-anakku yang gembira bermain di laman
Berkejar riang setiap bersama-sama kawan dan teman
Dibibirku tersenyum tapi di hatiku sebenarnya tak keruan

Kerna di suatu tempat anak-anak tak bisa sedemikian
Keluar ke laman hanya ada debu-debu yang berterbangan
Setelah banjir surut, selut kering yang kering kepanasan
Debu yang bisa masuk kerongkong bersama ribuan kuman

Aku tanya apa khabar pada mangsa-mangsa banjir
Sedang aku sendiri tau apa yang sedang mereka fikir
Kenang segala rawan sedang Ramadhan makin hampir
Hanya khemah jadi bumbung, rumah tak kunjung hadir

Dikota kecil ada orang-orang berpangkat sedang menakir
Ada hukum-hukum yang katanya sangat perlu dizahir
Kalau kau tidak membantu, kau kan dituduh sebagai kafir
Sedang orang-orang ini menilai pada yang mereka sendiri tafsir

Aku tanya apa khabar pada politikus-politikus retorik
Buat satu-satu usul hanya untuk undi yang perlu ditarik
Katanya ini usaha bertahun-tahun yang tak bisa patah balik
Sedang ada marhain yang keyakinannya sudah kau carik-carik

Dalam khemah usang setelah lebih beratus-ratus hari
Hujan mula turun, tanah mula basah makin risaulah hati
Anak-anak kecil kesejukan, tangispun sukar untuk berhenti
Dan ibu-ibu terus mendodoi tanpa apa-apa yang bisa dijanji

Aku tanya apa khabar mereka-mereka yang dalam khemah
Walau dijanjikan sebelum Ramadhan mereka kan dapat rumah
Tapi kurang tiga puluh hari, punggung masih duduk atas tanah
Semangat pun makin kurang, hati kental pun sudah kian lemah

Dulu masa kalian janji, semuanya serba manis umpama gula
Tiada yang mustahil, tiada susah semuanya senang sahaja
Kalian kata demi rakyat, kalian boleh untuk bekerjasama
Tapi hakikat pahit kelat, kalian masih bertingkah pangkat kuasa

Aku tanya apa khabar pada pihak-pihak yang berkuasa
Bila kau kutip cukai dan zakat mukamu senyum sentiasa
Tapi untuk mencari mereka yang susah kau mula tiada masa
Sebab ini susah mereka bukan kau sendiri yang pernah merasa

Ada mereka-mereka yang tak sanggup dengan sekadar melihat
Mereka tiada daya cuma ada sedikit usaha dan jalan singkat
Mereka cuba usaha walau dengan jalan yang tersekat-sekat
Kalau tak dapat banyak yang sedikit mereka cuba berpakat

Aku tanya apa khabar pada mereka-mereka yang perihatin
Walau sesak satu jalan pasti mereka cuba cari jalan yang lain
Mereka sendiri tak punya apa cuma korban diri umpama lilin
Bakar diri sendiri untuk kuntumkan senyum dibibir marhain

Aku masih tertanya dan tertanya sampai entah bila
Kerna aku sendiri tiada pasti agamawan bisa menjawabnya
Antara dua kaedah yang masa sebenar yang mereka guna
Antara menggunakan agama atau sekadar mempergunakannya

Aku tanya apa khabar untuk semua
Walau aku cuma nampak khabar-khabar yang duka.....

Kampung Ketapang Tengah, 26 Mei 2015

No comments:

Post a Comment