Thursday, August 13, 2015

Warkah Buat Sahabat

Sahabat,
Telah berlalu sekian ribuan kisah
Yang kita tinggalkan dalam sejarah
Suka duka dan segala keluh kesah
Kerna kita bersama mencari arah

Sahabat,
Telah kita tinggalkan sejuta kata
Yang kita kumpulkan menjadi cerita
Kisah-kisah hidup gembira dan derita
Kerna ini adalah sebahagian dari kita

Sahabat,
Telah kita anyam pelepah rindu
Dan kita tinggalkan diperdu kalbu
Agar kekal subur seiring pada waktu
Kerna kita mengejar masa yang berlalu

Sahabat,
Telah kita lipat helai-helai kasih
Bertulis pada imbasan yang jernih
Agar kekal rona-rona hitam putih
Kerna harap antara kita tiada tersisih

Sahabat,
Antara kita ada ikat yang terpatri
Dalam harap dan akur pada segala janji
Bahawa dalam hidup ini tiada yang pasti
Kerna kita akan terus berlari dan mencari

Sahabat,
Kita saling mengajar dan juga diajar
Bahawa dalam setiap apa yang kita kejar
Jatuh bangun akan membuat kita sedar
Ada tempat untuk harapan yang kita sandar

Sahabat,
Dalam pahit kelat kisah-kisah kehidupan
Ada cerita yang jangan kita lupakan.....

Terminal Sentral Kuantan, 16 Mac 2015

No comments:

Post a Comment