Thursday, August 13, 2015

Khutbah

Aku menanti dengan separuh sabar
Sedang khatib membilang tangga mimbar
Berpegang tangga bertongkatkan cokmar
Di tengahari Jumaat, hari yang besar

Kuharapkan khatib kan jelas berkhutbah
Segarkan telinga dengan bahasa-bahasa indah
Membawa contoh iktibar dari kisah-kisah
Cerita sekarang ataupun petikan dari sirah

Kuingin mendengar ayat-ayat Tuhan
Untuk jiwa-jiwa kami sebagai santapan
Melekat di hati kami sebagai pedoman
Dan segala kebaikan kan menjadi amalan

Kuingin mendengar khatib mengupas
Kekeliruan dan maslahat kan bisa diulas
Dimana ruangya yang perlu dipertegas
Dan mana sudutnya lembut dan belas

Kuingin khatib memberikan nasihat
Antara pilihan yang baik dan jahat
Antara pilihan tingkat-tingkat mudharat
Yang manakah dihati yang perlu dekat

Malangnya kudengar sekadar bacaan
Sekadar membaca kertas dan tulisan
Tiada dari hati, kaku tanpa perasaan
Tiada yang ikhlas, seolah semuanya paksaan

Beginikah nasib di hujung dunia
Pabila khatib hanyalah pembaca
Bukan pengkhutbah seperti layaknya
Kaku, janggal, tiada rasa dan tiada jiwa

Ku rindu mendengar khatib berkhutbah
Yang selalu kujumpa kaset-kaset berjubah......

Sempadan masa, 24 April 2015

No comments:

Post a Comment