Tuesday, August 11, 2015

Angkuh Dengan Keangkuhan

Kau membina tembok-tembok kukuh
Yang bahannya adalah penguasa-penguasa angkuh
Pertahankanmu dengan bersungguh-sungguh
Bersuara, pasti dihukum tanpa bertangguh
Kau membina robot-robot agama
Bersongkok, berjubah dan bertasbih segala
Angguk ampu dan menjadi alat untuk doa dibaca
Janji disuap, bisa halalkan segala jenis cara
Kau terus membela syaitan-syaitan kematu
Bila dikritik, bukalah segala kitab dan buku
Cuba sahihkan yang berkata hujjahnya palsu
Tak terlawan, sumbatkan di penjara batu
Kau pelihara dan biakkan unggas-unggas dungu
Kerjanya percaya bulat-bulat katamu tanpa ragu
Selindungkan maklumat, pastikan mereka tanpa ilmu
Hingga sumbang nak bezakan antara dahi dan dagu
Kau pertahankan macai-macai yang haprak
Walaupun mereka bercakap tak berfikir di otak
Hanya kerna mereka pandai menjilat segala jenis kerak
Sanggup menjadi abdi demi segala perlu dan kehendak
Kau bina mahligai dari keegoan
Kau hiasi dengan seribu jenis kedzaliman
Hingga kau lupa hidupmu pendek bukan berzaman
Lupa pada kubur yang kan jadi akhiran……….

Peramu Jaya, 12 Okt 2014

No comments:

Post a Comment