Sunday, August 16, 2015

Sesal Nan Kelabu

Kau tidur berbumbung batu
Bantal yang lembut bukannya satu
Hawa nan dingin selembut bayu
Tanpa serangga yang sumbang lagu
Tapi lenakah tidurmu?

Kau hadap mungkin berpuluh pinggan
Laukmu daging, ayam dan ikan
Disulam kuih dan serba buahan
Dibilas segala rasa minuman
Tapi kenyangkah kau makan?

Kau punya segala harta yang mewah
Segalanya lengkap atas dan bawah
Itu dan ini hanya perlu kau arah
Tanpa perlu keringatmu tumpah
Tapi hidupmu tenteramkah?

Sesalan itu pasti kan mengekori
Berjalan pun diapit kanan dan kiri
Seramai itu pun takut tak terperi
Apatah lagi bila kau bersendiri
Adakah yang memerhati?

Cakapmu lantang umpama kuat
Tak mampu kau lari dari hakikat
Kau dalam ketakutan tak dibuat-buat
Terasa dirimu sedang laju dihambat
Nafasmu tersekat-sekat?

Hanya satu jalan iaitu beralah
Kau akui bahawa dirimu bersalah
Apa kau terima haruslah kau pasrah
Pohon kemaafan dan kau undurlah
Tiada jalan lain yang lebih mudah

Sementara pintu taubat masih terbuka
Gunalah peluang yang masih ada....

Gambang, 4 ogos 2015

No comments:

Post a Comment