Monday, August 17, 2015

Hujan Bulan November

Sekuntum mawar merah
Dan sebuah puisi

Mawar lambang cinta
Ah....itu kata mereka
Tapi terfikir juga kenapa

Puisi luahan hati
Rungkai cerita ilusi
Waima sekadar satu impi

Kerana...
Hujan bulan november telah berlalu pergi.....

Pekan, 2 Disember 2014

Aku Yang Hanyut

Terungkap dengan kata-kata
Dalam paksa, tanpa wujud sekelumit rela
Hanya ada sisa-sisa percaya
Sedang ikhlas sudah hampir tercela

Tersaksi oleh lagak laku
Sedang semangat makin kaku
Sedang kudrat jadi makin keliru
Dan jasad hampir kejung membatu

Adakah sinar itu cahaya
Atau sekadar kilauan cuma
Hadir sedetik umpama maya
Menghilang tanpa kilas rupa

Aku makin jauh, menjauh
Sedang yakinku makin rapuh
Pada usul yang akur dan patuh
Pada janji yang kemas dan sungguh

Aku makin hanyut , hanyut
Pada pegangan yang makin reput
Pada tekad nan kian susut
Dan laungan yang tiada bersambut

Adakah harap yang masih tersisa
Atau sekadar omongan belaka............

Leban Chondong, 7 Disember 2014

Sunday, August 16, 2015

Tiada Jalan Lain Bagimu

Kau menulis, skrip mu tidak cukup kuat
Kau mengarah, arahanmu buat orang meluat
Kau berlakon, lakonanmu sangat melarat
Kau menyanyi, sumbang jauh timur dan barat

Kau bercakap, cakapmu bersimpang siur
Kau berhujah, hujahmu lembik umpama sayur
Kau bertinta, ayat-ayatmu semuanya hancur
Kau berkata, hanya tutur yang sombong dan takbur

Kau bersilat, langkahmu sememangnya sumbang
Kau berlawan, gerak-gerimu semuanya pincang
Kau berkeris, keris pun tak betul kau pegang
Kau berpedang, tanpa kudrat untuk menentang

Kau berbohong, kerna itulah yang kau paling tahu
Kau berdusta, sorok kebenaran dedah yang palsu
Kau seleweng, tiada yang betul semuanya hanya tipu
Kau khianat, curang amanah yang terpikul di bahu

Kau terkepung, menyerahlah
Kau terdesak, akuilah

Cherok Paloh, 16 Ogos 2015

Aku Cuma Perlu Hidup

Aku tak peduli kau siapa
Aku tak hirau apa kau punya
Aku tak perlu tau kau orang kaya
Aku tak ingin sekali untuk bertanya
Aku cuma perlu hidup

Aku hanya sebahagian dari kisah
Aku hadir mungkin datangkan resah
Aku bertamu bukan mimpi yang indah
Aku nyata dalam seribu keluh kesah
Aku cuma perlu hidup

Aku melangkah tanpa kepastian
Aku bercerita tanpa kefahaman
Aku berlagu tanpa ada keyakinan
Aku bersyair, syairku tak kedengaran
Aku cuma perlu hidup

Aku bukan mimpi ngerimu
Aku bukan cerita silammu
Aku bukan siapapun padamu
Aku cuma seketika bertamu
Aku cuma perlu hidup

Sumbanglah seadamu
Tidak menjadi kudis bagimu

Pinggir Jalan, 16 Ogos 2015

Kerna Satu Adalah Empat

Kini satu sudah mencapai empat
Mungkin belum masa untuk melompat
Mungkin mencari andai ada manafaat
Atau menidak dengan seribu muslihat

Dulu satu adalah lebih sikit dari tiga
Itu sesuatu yang memang telah biasa
Sekarang nyata betul apa yang dijangka
Mustahil tiada apa dilakukan mereka

Hulur empat baru sekadar dapat satu
Dah begini pun mereka diam membatu
Berceritalah hal-hal yang tak membantu
Yang bercerita pun sekadar macam kelkatu

Ada kata situasi ini banyak akan menolong
Kerna katanya ramai kan datang melancong
Tapi sekadar umpan-umpan yang bohong
Banyak lagi sektor lain yang kan melopong

Bila satu dari tiga dah jadi sampai empat
Banyak urusan dah makin lama makin tak sihat
Bimbang akhirnya nak tahan pun tak sempat
Mereka cabut dan kita juga kan merempat

Satu jadi empat pun masih tak buat apa
Gebang kuat seolah takluk satu dunia.......

Batu 3 Kuantan-Gambang, 12 Ogos 2015

Demokrasi Telah Mati ?

Kau berkata pada hari ini
Bahawa demokrasi sudah mati
Sedang hakikatnya tak kau sedari
Bahawa ianya telah lama dikebumi

Kau bercerita tentang merdeka
Sedang kaulah yang mula sengketa
Kau belenggu segala jasad dan jiwa
Kekang semua jalan yang masih ada

Kau bicara tentang keadilan dan hak
Sedang kaulah yang mula merosak
Pelaksana kau paksa agar berpihak
Yang enggan kau ugut dan alih letak

Kau bicara tentang suap dan rasuah
Sedang kaulah yang mula mencambah
Hingga melekat terlalu sukar nak diubah
Nak dibendung pun dah terlalu payah

Kau bicara tentang menyalahguna
Sedang kaulah yang mulakan segala
Agensi kerajaan menjadi alat penguasa
Pelik, seolah kau ini baru hadir ke dunia

Kau bicara tentang ciri-ciri pemimpin
Sedang kaulah yang tak lihat cermin
Sungguh tak tampak umpama angin
Tapi hampir semuanya kau sapu licin

Kau bicara demokrasi telah mati
Sedang kau yang kuburkannya di Memali....

Sempadan kecewa, 10 Ogos 2015

Hikayat Yang Terselindung

Dari dulu telah ku kata namun kalian tak pernah percaya
Urusan putar belit memang telah jadi darah daging mereka
Atur, susun semua supaya kalian sentiasa terbuai dan terleka

Rembat, curi, samun bukan dalam gelap tapi dalam nyata
Itu pun kalian masih kata mana ada, tidak nampak apa-apa
Belasahlah segala jenis tabung dan juga harta yang ada
Untuk kalian tentang, sememangnya pasti harap dalam hampa

Eloklah sekarang kalian tengok dengan mata yang terbuka
Niat dalam hati untuk lihat, tenung dan kaji dengan minda
Akur saja angguk dan patuh tidak sedikit pun membawa makna
Merungut dalam diam tetap tak guna kerna tak jelas bersuara

Ratah segala isi yang sedap, kuahnya kalian ambil hanya sisa
Antara percaya atau tidak, kalian harus bukakan mata
Tolak segala janji, kerna yang dikata hanyalah sekadar auta
Umpan diberi bukan ikhlas, hanyalah untuk tutup fakta
Selagi kalian boleh dibeli, bebaslah mereka bermaharajalela

Jika kalian sedar, pasti kalian akan terkejut dan tak menyangka
Untuk mereka hampir semua, sedikit untuk kalian jadi gula-gula
Tuding jari sana sini, tak pernah mengaku sekiranya ditanya
Akhirnya tak boleh helah, pasti akan timbul cerita yang lain pula

Simpang Pelangkah, 6 Ogos 2015

Dua Ribu enam Ratus Juta

Kerna dua ribu nam ratus juta
Ramai sanggup jadi hamba
Tukang sokong bawa berita
Sedang sikitpun mereka tak rasa
Kalau ada pun mungkin sisa-sisa
Mula-mula bila timbul fakta
Ada yang pertahan kata mana ada
Bila lobang pecah tanpa diduga
Dari mulut bekas orang nombor dua
Maka hujah baru pun direka-reka
Dari tiada kini ada tapi orang derma
Semua kerna dua ribu nam ratus juta

Dua ribu enam ratus juta ceritanya
Dua ribu enam ratus juta kisahnya

Kerna dua ribu nam ratus juta
Ada sanggup jadi lembu hitam kepala
Suruh makan rumput makan saja
Suruh balik kandang lajunya menghala
Semua pelaksana terus jadi kuda
Tunggang kiri kanan sini juga sana
Dilapor tapi pelapor jadi mangsa
Disiasat tapi penyiasat yang kena
Sedikit pun tak sentuh si maling celaka
Masih segar bugar bermaharajalela
Pagar-pagar loceng dah jadi balacinya
Semua kerna dua ribu enam ratus juta

Dua ribu enam ratus juta ceritanya
Dua ribu enam ratus juta kisahnya

Kerna dua ribu nam ratus juta
Lakon pentas bukan di bumi yang nyata
Walau salah nampak sudah besar raksaksa
Walau jelas pincang sumbang depan mata
Masih ramai yang tak nampak macam buta
Sebab masih ramai yang kaki ampu dan puja
Pelaksana sudah terbelit jadi bersengketa
Aku tuduh kau dan kau menuduh aku pula
Sedang si maling senang lenang tiada rasa
Itulah hikayat generasi akan datang kan tertawa
Sejarah negara ini umpama sejarah yang gila
Semua kerna dua ribu enam ratus juta

Dua ribu enam ratus juta ceritanya
Dua ribu enam ratus juta kisahnya......

Jalan Teluk Sisek, 5 Ogos 2015

Warkah Buat Pejuang

Kita sering terlupa
Dalam sela-sela waktu yang ada
Bahawa hadhir kita ke dunia
Bukan sekadar wujud semata

Duhai pejuang-pejuang
Kalian bangkit dan terus menjulang
Segala panji dan gendang perang
Setiap yang bathil pasti ditentang

Duhai sekalian wira-wira
Mungkin masanya kita bersama
Dan ada masa kami hanya berdoa
Agar kalian terus kan berjaya

Mereka-mereka yang berkuasa
Pastikan lakukan apa saja
Demi selamatkan darjat dan harta
Bukan menegakkan keadilan yang mulia

Tapi jangan lupa kawan
Mereka berjuang, juang bertuan
Kita berjuang, juang bertuhan
Kerna kita harus tegak kebenaran

Percayalah,
Kerana selagi ada percaya dan iman
Selagi itu pasti ada harapan......

Sungai Isap Perdana, 5 Ogos 2015

Pelaksana Yang Durjana

Kau bertanggungjawab melaksanakan akta
Tapi kau seringkali mengakal berbalik cerita
Yang bersalah tak pernah dihukum penjara
Yang menuntut kau siksa dan ugut segala jiwa

Kau pelaksana yang amat dzalim durjana
Demi kepentingan pangkat dan harta dunia
Kau hukum yang terzalim dan yang membela
Demi menjilat punggung-punggung penguasa

Kau yang sepatutnya menegakkan keadilan
Tapi semuanya telah lama kau korbankan
Demi pangkat, kuasa dan semua imbalan
Kau tidak pernah peduli dan tiada belas kasihan

Duhai pelaksana durjana, untukmu sebaris kata
KALIAN MEMANG CELAKA!!!!!!!!!!!!!!

Seri Inderapura, 5 Ogos 2015

Sesal Nan Kelabu

Kau tidur berbumbung batu
Bantal yang lembut bukannya satu
Hawa nan dingin selembut bayu
Tanpa serangga yang sumbang lagu
Tapi lenakah tidurmu?

Kau hadap mungkin berpuluh pinggan
Laukmu daging, ayam dan ikan
Disulam kuih dan serba buahan
Dibilas segala rasa minuman
Tapi kenyangkah kau makan?

Kau punya segala harta yang mewah
Segalanya lengkap atas dan bawah
Itu dan ini hanya perlu kau arah
Tanpa perlu keringatmu tumpah
Tapi hidupmu tenteramkah?

Sesalan itu pasti kan mengekori
Berjalan pun diapit kanan dan kiri
Seramai itu pun takut tak terperi
Apatah lagi bila kau bersendiri
Adakah yang memerhati?

Cakapmu lantang umpama kuat
Tak mampu kau lari dari hakikat
Kau dalam ketakutan tak dibuat-buat
Terasa dirimu sedang laju dihambat
Nafasmu tersekat-sekat?

Hanya satu jalan iaitu beralah
Kau akui bahawa dirimu bersalah
Apa kau terima haruslah kau pasrah
Pohon kemaafan dan kau undurlah
Tiada jalan lain yang lebih mudah

Sementara pintu taubat masih terbuka
Gunalah peluang yang masih ada....

Gambang, 4 ogos 2015

Manusia-Manusia Durjana

Wahai jalang-jalang gilakan darjat
Kau gadai kehormatanmu demi pangkat
Supaya di dunia kau terlihat hebat
Walau jiwamu kosong muflis melarat

Wahai pondan-pondan pemegang amanah
Wajahmu polos punggungmu bernanah
Tunggangan penguasa tiada bermaruah
Kau lagak suci walau martabatmu punah

Wahai pelacur-pelacur beralas agama
Kau gadai akidahmu demi harta dunia
Pemimpin korup kau kelu tak berkata
Senyap bererti kau sokong mereka

Wahai abdi-abdi belenggu tak terikat
Kau jadi hamba dek kerna muslihat
Sedarlah engkau bangkit dan lihat
Merekalah sebenarnya segala musibat

Wahai pandir-pandir menyangka bijak
Kau sorong kepalamu untuk dipijak
Semakin tinggi mereka kan bertapak
Kau hanya tenggelam tak tinggal jejak

Mungkin hari ini kau bermegah
Tunggulah masanya kau pasti rebah...

Seri Inderapura, 4 Ogos 2014

Tiga Juta Itu

Katanya tiga juta itu
Masih setia dan kekal restu
Tiada marah dan tiada keliru
Tiada asing dan semua bersatu

Katanya tiga juta itu
Tetap angkat telunjuk satu
Telah fikir tiada yang terburu
Telah selidik tiada yang ragu

Katanya tiga juta itu
Teguh sokong bukannya ampu
Bukan sekadar harapan kelabu
Bukan sekadar angan yang palsu

Tiga juta itu
Mungkin melawan tetapi bisu.....

Jalan Pulang

Dulu kamilah yang teguh mendukung kalian
Sewaktu kita tiada jumpa apa selain kekalahan
Sekarang Allah uji kita dengan sedikit kemenangan
Kalian sudah lupa antara realiti dan angan-angan

Kami tahan menyarung jubah yang carik
Kalian bermegah dengan jubah bersulam manik
Kalian suap kami dengan janji-janji menarik
Terdiam kami walau hakikatnya cuma cakap politik

Kalian bercerita pada kami tentang walak
Tapi kalian tak bercerita sedikit pun tentang balak
Bila geruh melanda, kalian kata doa kami ditolak
Tapi belakang kami, dalam selesa kalian bergelak

Bukan kami menyalak-nyalak umpama anjing
Walau kadang suara kami jadi tegas dan nyaring
Kerna hakikatnya tiada yang tetap semuanya pusing
Tiada yang menambah yakin, semuanya kalut dan pening

Bukan kami orang yang senang tinggalkan kabilah
Tapi sekarang kabilah seperti sudah hilang arah
Mana mungkin kami sekadar menunggu dalam pasrah
Demi nyata, lebih baik kami usaha untuk bertukar wadah

Bukan kami orang yang tinggalkan kapal di lautan
Tapi kini kapal sudah seumpama hilang haluan
Ditegur salah, seperti tiada siapa pun yang perasan
Mungkin lebih baik kami tumpang kapal lain ke daratan

Kalian ini,
Hidup dengan menggunakan agama
Atau hidup mempergunakan agama ?

Jalan Rompin Lama,
13 Julai 2015

Idil Fitri

Idil fitri satu kemenangan
Setelah berpuasa di bulan Ramadhan
Menunaikan ibadah suruhan Tuhan
Menghadapi ujian dan segala dugaan

Idil fitri satu keinsafan
Merenung kembali dalam kehidupan
Dan kisah-kisah yang telah ditinggalkan
Menimbang kembali akan segala amalan

Idil fitri satu penghayatan
Menilai hitam dan putih cerita insan
Menolak yang keruh sebagai sempadan
Dan mengambil yang jernih jadi pedoman

Idil fitri satu pengkisahan
Pada nasib dan kisah kemanusiaan
Pada jutaan janji dan ribuan harapan
Dan rintih-rintih tagihkan kepedulian

Idil fitri satu kesedihan
Pada mereka yang telah kehilangan
Ruang ampun dan juga kemaafan
Yang tinggal cuma sejarah dan kenangan

Idil fitri satu permulaan
Untuk mengorak langkah dan jalan
Kabulkan segala impi dan juga angan
Tujui segala cita di masa hadapan

Idil fitri fitrah kehidupan
Ada perjalanan perlu diteruskan...

Jaya Cafe, Taman Tas
19 Julai 2015

Hari Ini dan Semalam

Hari ini kau berkata santun
Tetap ku tak lupa tika kau hamun
Hari ini kau menyerang si lanun
Tetap ku tak lupa kau juga penyamun

Hari ini kau menongkah lautan
Tetap ku tak lupa kau simbah daratan
Hari ini kau bising pada kepincangan
Tetap ku tak lupa kau jua yang mulakan

Kau bermuka-muka
Seolah kau mulia
Sedang tanganmu durjana
Kaulah perosak segala...

Seri Inderapura, 27 Julai 2015

Esok Ganti Lusa

Kau sisihkan sebilangan lanun
Tapi kau ganti dengan penyamun
Tetap licik parang pun tak hayun
Rampok sedetik makannya bertahun

Kau bilang ini lebih sempurna
Tapi ular kau ganti dengan naga
Bukan setakat takutkan bahaya
Habis tergadai jiwa dan raga

Kau usir mereka yang bercakap
Tapi kau simpan mereka yang bengap
Sebab senang untuk kau perangkap
Kau lempar tulang laju menangkap

Kau letak jiwa hanya di kulit
Tanpa sedar kebobrokan yang membelit
Segala kedurjanaan kukuh melilit
Sekandang semua habis kau palit

Kau bendung segala silap terlihat
Tanpa kau sedar makin terikat
Nanti kau sembunyi tak nampak kelibat
Sebelum luruh kulitmu disebat

Kau beraja di mata bersultan dihati
Umpama kau yakin kau takkan mati...

Seri Inderapura, 29 Julai 2015

Thursday, August 13, 2015

Apa Maksudmu

Niatmu ke timur, tapi hala mu ke barat
Tapi aku yang kau tuduh sesat

Kusantun si miskin, kau lihat saja si fakir
Tapi aku juga yang kau tuduh kafir

Ku cerita sebenar, sungguh kau yang merapik
Tapi tetap aku yang kau tuduh munafik

Aku gigih berusaha sedang kau bersandiwara
Tapi tetap aku juga yang kau tuduh gila

Ku luah harum hanyir, kau sembunyi yang kohong
Tapi tetap aku kau tuduh berbohong

Tuduhlah semahunya
Bukan kau yang memegang kunci syurga...

Pekan, 29 Julai 2015

Saudagar-Saudagar Itu

Saudagar-saudagar itu
Asal barang akan bertukar menjadi wang
Asal ada untung bisa di bawa pulang
Tertib dan etika takkan pernah dijulang
Janji pulang dalam senyum hati girang

Saudagar-saudagar itu
Lambakkan segalanya pada meja jualan
Halal haram makruh harus bersaingan
Nyata atau cipta bukan lagi ada sempadan
Niaga apa saja selagi bisa jadi tukaran

Saudagar-saudagar itu
Kembung poketnya tiada sedikitpun yang tertiris
Segala untung seperti yang telah tertulis
Kekayaan makin tambah tiada yang terhakis
Tapi sayang sekali jiwanya sudah langsung muflis

Saudagar-saudagar itu
Kejujuran sudah jauh diletak ketepi
Keikhlasan sudah lama lenyap dari hati
Ketakwaan juga telah terlalu lama menyepi
Yang tinggal hanya ujub dan bangga diri

Saudagar-saudagar itu
Andai yang diniagakan sudah tiada lagi
Mereka masih boleh menjual ilusi-ilusi
Walau hakikatnya tiada yang dapat dibukti
Kerana mereka adalah saudagar-saudagar mimpi....

Seri Inderapura, 24 Jun 2015

1,2,3 Satu Cerita

1,2,3 dan kau terus menghitung dan mengira
Menurun dan terus lari dari garis-garis normal tanpa wasangka
Dalam setiap darab dan tambahmu kau terus mencipta prasangka
Biarpun apa kau cerita, hakikatnya jauh, sangat jauh dari sempadan percaya

Setiap tingkah dan laku mencetus persoalan dan tanda tanya
Apa yang bilangmu laba hakikatnya adalah sebenarnya bala
Terus kau mengatur langkah-langkah sekadar pada apa yang kau rasa
Untuk apa dan apa natijahnya masih tidak terbaca difikir dan minda

Pada setiap waktu yang berlalu pasti ada cerita
Esok ada untaian kusut perlu rungkai, begitu juga hari-hari lusa
Meski dirungkai makin banyak kekusutan yang terus melanda
Bila sampai tika, kusut perlu dirungkai siapa atau apa kan menjadi mangsa
Otak yang berfikir pasti akan merasa ragu pada hujah dan fakta (auta)
Hanya yang dungu terus yakin tanpa usul dan tanpa periksa
Orang-orang yang disuapkan dengan kemanisan akan yakin tanpa rela
Namun yang cerdik akan melihat pada adanya sesuatu disebaliknya
Gerak-gerak tangan yang mengolah watak-watak pada boneka
Ada badut-badut yang melarikan pandangan dari pentas yang nyata
Natijahnya, ramai tidak sedar walau berlaku jelas dihadapan mata

Restoran Zaman, 15 Mei 2015

Mana Janjimu Pemimpin

Mana janjimu pemimpin
Seribu janji dan sejuta harap telah kau tabur
Seribu impi dan berjuta manis telah kau hambur
Kini segalanya umpama telah kian lama berkubur
Kau hadir dengan ungkap sombong dan takbur

Mana janjimu pemimpin
Dulu kau bilang dirimulah yang paling jujur dan amanah
Dulu kau tunjuk kau zuhud rendah diri mencecah tanah
Sekarang kau dipenuhi segala korupsi yang bernanah
Dan kau dipalit seribu satu noda yang kian lama kian parah

Mana janjimu pemimpin
Dulu kau bilang kau cakna pada setiap keadaan
Dulu kau bilang kau peduli pada setiap kepayahan
Tapi sekarang kau hanya gila pangkat dan jawatan
Bagimu yang utama adalah untuk dirimu mencari kesenangan

Mana janjimu pemimpin
Dulu kau yakinkan kami, kaulah pilihan yang terbaik
Dulu kau buat kami percaya, kau lah yang harus diangkat naik
Kenapa sekarang hakikatnya semua sudah terbalik
Bagaimana kami bisa yakin andai kau sering berdolak-dalik

Mana janjimu pemimpin
Dulu beriya kau bercerita tentang jaminan keselamatan
Dulu kaulah yang kata tentang menangani jenayah dan kejahatan
Kini kau suruh kami bersyukur dengan apa yang kau panggil keamanan
Yang katamu sudah cukup dengan tiadanya kereta kebal dijalanan

Mana janjimu pemimpin
Dulu lagakmu seolah kau lah paksi segala kebijaksanaan
Dulu tingkahmu umpama segala ilmu kemas dalam genggaman
Tapi kini kami dipamerkan dengan satu demi satu kebodohan
Hari ini kau berkata sesuatu, esok lusa kau sendiri yang nafikan

Mana janjimu pemimpin
Dulu katamu kalau susah sama-sama kita kongsi sekeping lempeng
Dulu katamu kalau senang sama-sama kita menggulai menggoreng
Tapi hakikatnya tiada kau hirau, semua kau pandang enteng
Bagaimana bisa kau bela, sedang sidang pun kau sering ponteng......

Hentian Bandar Kuantan, 19 Mei 2015
Ketidakpedulian membunuh rasa merdeka

Bagaimana Bisa Kau

Bagaimana bisa kau menjadi teraju
Sedang dirimu sendiri tiada hala tuju

Bagaimana bisa kau menjadi juragan
Sedang dirimu sendiri berpandu angan

Bagaimana bisa kau menunjuk contoh
Sedang segala ucapmu mempamer bodoh

Bagaimana bisa kau memimpin baris
Sedang jalanmu sendiri tak ikut garis

Bagaimana bisa kau huraikan lam alif ya
Sedang kau tergagap pada alif ba ta

Farouk Maju, 22 mei 2015

Duhai Warga-Warga Angguk

Duhai warga-warga angguk
Tegakah kalian di depan mereka kalian menunduk?
Relakah kalian sering mengikut telunjuk ?
Sabarkah kalian andai sering diinjak tengkuk?
Dan tahankah kalian pada segala rotan dan cambuk?

Duhai warga-warga angguk
Dongaklah sedikit untukmu tengok dan lihat
Renunglah dan kajilah segala isu dan maslahat
Bukan sekadar cukup impi dan juga sekadar niat
Kerna ternyata kalian dari asal yang sangat hebat

Duhai warga-warga angguk
Yang menyiksamu bukan kerna mereka bijak
Mereka cuma tahu menilai semua kehendak
Dan mereka cepat dan terlebih dulu bertindak
Kalian ikut mereka tanpa berani untuk berkata tidak

Duhai warga-warga angguk
Tiba masanya untuk kalian semua bangun
Tinggalkan semua impi, ini bukan masa ngelamun
Ada tugas yang perlu diatur, ada baris perlu disusun
Dan semua perlu bergerak , bukan hanya duduk terpegun

Duhai warga-warga angguk
Tiba masanya segala kata perlu diteliti
Tiba masanya segala fakta perlu diperhalusi
Supaya kalian semua tidak mungkin kan ditipu lagi
Kalian hanya dapat kuah, setelah mereka ratah segala isi

Dan kalian juga warga-warga angguk
Tahap kalian sama cuma berlainan kutub
Tiada apa yang perlu kalian rasa takjub
Mereka-mereka ini sekadar manusia ujub
Kenapa kalian menjadi tersangat taksub?

Duhai warga-warga angguk
Kalian harus sentiasa peduli dan cakna
Kalian harus guna segala deria yang ada
Kalian harus sedar, yakin dan percaya
Bahawa ketidakpedulian telah membunuh rasa merdeka

Jalan Teluk Sisek, 24 Mei 2015

Aku Tanya Apa Khabar

Sejenak telintas, berlegar dan terus bermain dalam fikiran
Teringat anak-anakku yang gembira bermain di laman
Berkejar riang setiap bersama-sama kawan dan teman
Dibibirku tersenyum tapi di hatiku sebenarnya tak keruan

Kerna di suatu tempat anak-anak tak bisa sedemikian
Keluar ke laman hanya ada debu-debu yang berterbangan
Setelah banjir surut, selut kering yang kering kepanasan
Debu yang bisa masuk kerongkong bersama ribuan kuman

Aku tanya apa khabar pada mangsa-mangsa banjir
Sedang aku sendiri tau apa yang sedang mereka fikir
Kenang segala rawan sedang Ramadhan makin hampir
Hanya khemah jadi bumbung, rumah tak kunjung hadir

Dikota kecil ada orang-orang berpangkat sedang menakir
Ada hukum-hukum yang katanya sangat perlu dizahir
Kalau kau tidak membantu, kau kan dituduh sebagai kafir
Sedang orang-orang ini menilai pada yang mereka sendiri tafsir

Aku tanya apa khabar pada politikus-politikus retorik
Buat satu-satu usul hanya untuk undi yang perlu ditarik
Katanya ini usaha bertahun-tahun yang tak bisa patah balik
Sedang ada marhain yang keyakinannya sudah kau carik-carik

Dalam khemah usang setelah lebih beratus-ratus hari
Hujan mula turun, tanah mula basah makin risaulah hati
Anak-anak kecil kesejukan, tangispun sukar untuk berhenti
Dan ibu-ibu terus mendodoi tanpa apa-apa yang bisa dijanji

Aku tanya apa khabar mereka-mereka yang dalam khemah
Walau dijanjikan sebelum Ramadhan mereka kan dapat rumah
Tapi kurang tiga puluh hari, punggung masih duduk atas tanah
Semangat pun makin kurang, hati kental pun sudah kian lemah

Dulu masa kalian janji, semuanya serba manis umpama gula
Tiada yang mustahil, tiada susah semuanya senang sahaja
Kalian kata demi rakyat, kalian boleh untuk bekerjasama
Tapi hakikat pahit kelat, kalian masih bertingkah pangkat kuasa

Aku tanya apa khabar pada pihak-pihak yang berkuasa
Bila kau kutip cukai dan zakat mukamu senyum sentiasa
Tapi untuk mencari mereka yang susah kau mula tiada masa
Sebab ini susah mereka bukan kau sendiri yang pernah merasa

Ada mereka-mereka yang tak sanggup dengan sekadar melihat
Mereka tiada daya cuma ada sedikit usaha dan jalan singkat
Mereka cuba usaha walau dengan jalan yang tersekat-sekat
Kalau tak dapat banyak yang sedikit mereka cuba berpakat

Aku tanya apa khabar pada mereka-mereka yang perihatin
Walau sesak satu jalan pasti mereka cuba cari jalan yang lain
Mereka sendiri tak punya apa cuma korban diri umpama lilin
Bakar diri sendiri untuk kuntumkan senyum dibibir marhain

Aku masih tertanya dan tertanya sampai entah bila
Kerna aku sendiri tiada pasti agamawan bisa menjawabnya
Antara dua kaedah yang masa sebenar yang mereka guna
Antara menggunakan agama atau sekadar mempergunakannya

Aku tanya apa khabar untuk semua
Walau aku cuma nampak khabar-khabar yang duka.....

Kampung Ketapang Tengah, 26 Mei 2015

Antara Cukai Dan Cuai

Kata mereka inilah cukai
Yang terbaik dari yang pandai
Setelah semua risiko diandai
Demi kejayaan yang ingin dicapai

Namun di minda tidak tergapai
Dek banyak barang ada dikedai
Samada nak makan atau nak pakai
Kuasa membeli semakin tergadai

Seolah semua ditimpa badai
Poket pun semua dah terburai
Hancur lebur musnah terbarai
Keperluan hidup yang tak pernah selesai

Hadirlah pemimpin berkata membuai
Segala kepincangan akan ditibai
Tapi jelas bimbang tak melandai
Kusut yang mudahpun tak bisa dirungkai

Dengarlah sini wahai sang keldai
Bilamana belanjamu sentiasa cuai
Tak mungkin hutang mampu kau langsai
Walau setinggi mana kau mencukai

Kedai Bai, 6 April 2015

Usah Kau Bertanya

Usah kau bertanya lagi
Tentang cerahnya sinar mentari
Kerna ia mungkin akan menyepi

Usah kau persoalkan
Tentang indahnya cahya rembulan
Kerna yang terlihat hanyalah kegelapan

Usah kat terus bertanya
Tentang sakitnya menanggung cinta
Sedang dihatimu terus bersalut dusta

Usah kat terus merayu
Untuk merasai tentang kasih dan rindu
Kerna semuanya telah lesu dan membeku

Usah kat ratapkan
Pada simpati dan belas kasihan
Kerna telah lama takku letak harapan

Ucapkanlah selamat tinggal
Walau dihatimu berjuta kesal.....

Pulau Jawa, 6 April 2015

Lena Yang Tertunggak

Terkebil-kebil mataku ini
Impikan lena di malam sunyi
Namun sedang jiwa lain menyepi
Masih terbaring memaksa diri

Lenaku masih tertunggak
Dek resah jiwa yang mendesak
Tentang persoalan bermain dibenak
Tentang mahu, impi dan kehendak

Mereka masih bersidang di kota
Membahas usul berlawan fakta
Mungkin juga banyak diselit auta
Demi menegak segala kata-kata

Ada aturan yang akan diperkenal
Yang kan merantai tanpa persoal
Walau kanunnya berlapis-lapis tebal
Tapi laksananya ditangan yang bebal

Cukuplah, hentikanlah ancaman
Berilah kami sedikit kebebasan
Bukan kami nak cetus kekacauan
Cuma sedikit rungut dan luahan

Bukan aturan yang kami takut
Tapi laksananya yang sering kalut
Di dahan adil tak pernah berpaut
Cakap sedikit pun kami diangkut

Bukan kami nak jadi pengganas
Bukan juga nak bikin panas
Cuma yang tak betul perlu dibahas
Tarungan biarlah buku dan ruas

Cukuplah kami dirantai disangga
Negara ini tanah air kami juga
Bukan sekadar sebahagian saja
Setiap rakyat harus bersuara

Kita hidup bukannya panjang
Di mahsyar kelak amal ditimbang
Ditanya segala cakap dan sembang
Segala laku pasti dibentang

Mampukah kita jawab segala
Dengan begini laku di dunia
Diberi pangkat salahgunakan kuasa
Yakinkah kita melangkah ke syurga?

Lenaku masih tak kunjungjelma
Walau kucuba pejamkan mata
Dan penaku ingin terus berkata
Demi hidup yang adil sejahtera

Pulau Jawa, 7 April 2015

Baru Kufaham

Baru kufaham lagak laku
Setelah lama fikirku buntu
Rupanya ada akal yg begitu
Diam bukan erti membisu

Kusangka dia tidak mengangguk
Pada aturan rantai dan cambuk
Menyekat segala cakar dan patuk
Didalam diam rupanya tunduk

Diharap kedepan umpama mudir
Tapi dirinya tak kunjung hadir
Persoalan kalbu tak bisa kuusir
Ada peluang tak bisa dizahir

Rupanya dia turut setuju
Kerna itulah dibiarkan berlalu
Nak terus angguk dirinya malu
Setelah lulus baru beritahu

Kumasih berasa tersangat pelik
Seolah ikan dah bertukar sisik
Selama ini lantang mengherdik
Sekarang diam tak bisa berkutik

Entah apa dalam fikiran
Apa matlamat dan apa tujuan
Sedang dah kenal siapa lawan
Jenis yang licik kalah haruan

Tapi mengapa masih percaya
Pada yang tipu akal berjela
Masuk perangkap ditebar jala
Kakulah langkah diam tak terkata

Sedang telah sering dipesan
Ular dilubang bukan mainan
Dipatuk sekali itu kesilapan
Kali kedua nyata kebodohan.....

Cendawan Corner, 10 April 2016

Apakah Kita Ini

Apakah kita ini
Sekadar bola-bola yang bisa disepak
Dilambung ditunjal mengikut kehendak
Tanpa rasa belas dan simpati yang tampak
Ambil sekejap namun terus lagi dicampak

Apakah kita ini
Sekadar bayang-bayang yang suram
Wujud tika terang dan hilang dalam kelam
Ada tidak bising tiada pun hanya diam
Hadir tanpa pamit usir tanpa salam

Apakah kita ini
Sekadar tunggul menunggu di rimba
Tersepak dimaki seolah terlalu hina
Tidak dipandang ada pun dianggap tiada
Sedang telah direnggut harta yang dipunya

Apakah kita ini
Sekadar sampah-sampah di gigi air
Hanyut mengikut arus yang mengalir
Singgah tersangkut tanpa dijemput hadir
Dan berlalu pergi tanpa halau serta usir

Apakah kita ini
Sekadar jasad-jasad muflis jiwa
Didesak ingin kuasa yang menggila
Gagal beza antara dosa dan pahala
Sukar memilih jalan syurga atau neraka

Apakah kita ini
Sekadar wujud antara ruang-ruang kosong
Hadir mendengar segala janji dan omong....

Pulau Jawa, 17 April 2015

Perhentian Ini

Di perhentian ini
Ada berbagai watak dan wajah
Riak senyum tawa hiba gundah
Ada duduk bangun lega dan resah
Ada berjuta cerita dan kisah

Di perhentian ini
Ada menuju kota mencari rezeki
Dicelah-celah rimba batu dan besi
Mencuba pada untung nasib sendiri
Moga pulang dengan kabul segala impi

Di perhentian ini
Ada anak-anak yang ingin ke kampus
Ada ujian-ujian yang mereka perlu lulus
Ilmu perlu ditimba, kejahilan perlu dihapus
Bekal untuk kehidupan yang perlu diterus

Di perhentian ini
Ada ke destinasi entah bagaimana
Lari dari kisah-kisah hidup yang lara
Membawa bersama harapan tersisa
Dan impi hidup lebih sejahtera

Di perhentian ini
Ada manusia-manusia seperti aku
Pada kepulangan yang sedang ditunggu
Wajah-wajah comel yang sering rindu
Keletah manja yang sentiasa dikalbu

Perhentian ini hanyalah sebahagian
Dari kehidupan yang perlu diteruskan....

Terminal Sentral Kuantan, 17 April 2015

Katakan Bagaimana Kami Harus Percaya

Katakan bagaimana kami harus percaya
Kalian juga menyebutkan cukai itu baik dan bagus
Kalian juga menyuruh agamawan berkata itu harus
Kalian juga kata tiada niat serong semuanya tulus
Tapi kalian juga ajarkan cara mengelak pada mereka-mereka yang lurus

Katakan bagaimana kami harus percaya
Kalian berhujah semua sepakat menyokong
Kalian berhujah ini realiti bukan sekadar omong
Kalian berkata bukan membeban tapi untuk menolong
Tapi hakikatnya semua resah, susah, terdiam dan terlopong

Lalu, katakan bagaimana kami harus percaya
Kalian janji untuk jaga kepentingan semua yang mencarum
Tapi kalian yang melompat bila ada yang mencucuk jarum
Kalian lepaskan khazanah selamatkan kapitalis yang merudum
Kalian tidak amanah, demi kepentingan perut dan halkum

Katakan bagaimana kami harus percaya
Kalian angkuh sombong bila duduk dipuncak kuasa
Kalian bebal, jumud seolah tidak langsung punya rasa
Kalian kami amanahkan, sebaliknya seolah kami ini hamba
Kalian tipu, seleweng, korup tanpa secalitpun rasa berdosa

Katakan bagaimana kami harus percaya
Kalian angkut segala mahsyul menjadi modal
Kalian kutip segalanya demi menjadikan poket kalian tebal
Kalian rampas semuanya hingga tiada apa pun yang tinggal
Kalian perah setiap titis tiada apa untuk kami sebagai bekal

Katakan bagaimana kami harus percaya
Kalian perniagakan semuanya demi sen dan ringgit
Kalian gadai semuanya walau kami bantah dan jerit
Kalian tidak pernah peduli dengan kesusahan yang menghimpit
Kalian tak pernah cakna pada ruang-ruang yang makin sempit

Justeru, katakan bagaimana kami harus percaya
Kalian bercerita pada kami tentang keamanan
Kalian berhujah pada kami tentang perpaduan
Tapi dikalangan kalian juga berpecah dan berantakan
Bukan sedikit, naik helikopter pun sekarang kalian tiada keberanian

Katakan bagaimana kami harus percaya
Kalian sokong segala akta, peraturan dan undang-undang
Kalian pilih untuk adakan segala rantai dan batas menghalang
Tapi bukan keadilan ditegakkan, hanya kepentingan menutup lubang
Kalian halang bilamana kami timbulkan apa yang kalian curang

Katakan bagaimana kami harus percaya
Kalian tegaskan nak bersuara perlu ikut saluran
Kalian kata untuk membangkang kena ikut cara dan ikut jalan
Tapi segalanya perlu ikut cara dan melalui kalian
Apa yang kami ujar kalian cuma bakulsampahkan

Katakan bagaimana kami harus percaya
Kalian pergunakan agamawan-agamawan angguk yang berjubah baldu
Kalian paksa mereka menyokong dengan dalil-dalil kelabu
Kalian biarkan kami tertanya-tanya dalam jahil serta penuh keliru
Kalian tidak pernah peduli janji tercapai matlamat dikalbu

Katakan bagaimana kami harus percaya
Kalian kata negara ini milik kita bersama
Kalian kata tanahair ini warisan untuk keturunan kita
Tapi kenapa hanya kalian yang punya hak untuk bersuara
Dan kenapa segala bentuk yang jadi hanya kalian yang tetapkan acuannya

Katakan bagaimana kami harus percaya
Kalian kata negara ini tentunya cara demokrasi
Kalian kata pemimpin adalah baik bukannya berkuku besi
Tapi yang kami lihat ialah tangan-tangan dicemar darah tirani
Dan yang kami nampak adalah penguasa-penguasa dibalut korupsi

Katakan bagaimana kami harus percaya
Kalian cerita tentang kesahihan setiap isu itu penting
Tapi sering kami dihidangkan fakta-fakta yang pening
Dari pemimpin yang cakapnya sering pusing-pusing
Dan juga ketidakpekaan seolah mereka ini makhluk asing

Katakan bagaimana kami harus percaya
Atau sekurang-kurangnya sesuatu yang kami bisa cerna di minda.....

Permatang Keledang 23 April 2015

Kebetulan-Kebetulan Itu

Ayuh nak..
Ambilkan aku minuman itu
Dan juga jagung tembak dan keropok
Kita bakal menonton, kita bakal saksikan
Pesta kebetulan akan bermula

Duduk nak..
Tontonan ini bukan hanya pada mata
Tapi perlu dilihat minda dihadam dari hati
Tirai pentas akan dibuka wayang akan bermula
Dan kebetulan-kebetulan itu akan kau sedari

Tengok nak..
Dewan sekolah ini perlu dibaiki
Surau ini sudah usang dan perlu dipulih
Jeti ini sudah reput dan perlu diganti
Balairaya ini sudah rusak perlu diperbetul

Tengok nak,
Orang-orang miskin perlu dibantu
Orang-orang fakir perlu ditolong
Orang-orang bodoh perlu ditunjuk ajar
Orang-orang sesat perlu dipimpin

Tengok nak,
Anak-anak yatim perlu pembelaan
Kanak-kanak perlu taman permainan
Orang muda mahu ini orang tua mahu itu
Seribu satu perlu dan seribu satu hendak

Lihat nak...
Mereka datang bawa segala uang
Mereka datang bawa peruntukan
Mereka datang bawa barangan
Mereka datang bawa umpan-umpan

Lihat juga nak...
Mereka hadir bawa janji
Mereka hadir tanam harapan
Mereka hadir tabur gula-gulaan
Mereka hadir bawa badut-badut bikin lawak lucu
(dan ramai tertawa tanpa sedar diri tertipu)

Kebetulan nak,
Kebetulan pada masa ini kawasan ini perlu dibantu
Kebetulan pada masa ini sekolah perlu dibina
Kebetulan pada masa ini orang-orang ini perlu dibela
Kebetulan pada masa ini orang-orang bodoh perlu diperguna

Kebetulan nak, kebetulan saja
Maka yang bodoh akan percaya
Maka yang bangang akan termakan
Maka yang mengharap akan terus dipermainkan
Maka yang terdesak akan berbuat apa saja

Kebetulan nak, kebetulan saja
Kebetulan ini mahal harganya
Seseorang perlu mati atau terpenjara
Atau menyangka hebat tapi rupanya gila
Sebelum kebetulan dapat bermaharajalela
Hidup ini pernuh dengan kebetulan...........

Pekan - Nenasi - Kuala Rompin 23 April 2015

Khutbah

Aku menanti dengan separuh sabar
Sedang khatib membilang tangga mimbar
Berpegang tangga bertongkatkan cokmar
Di tengahari Jumaat, hari yang besar

Kuharapkan khatib kan jelas berkhutbah
Segarkan telinga dengan bahasa-bahasa indah
Membawa contoh iktibar dari kisah-kisah
Cerita sekarang ataupun petikan dari sirah

Kuingin mendengar ayat-ayat Tuhan
Untuk jiwa-jiwa kami sebagai santapan
Melekat di hati kami sebagai pedoman
Dan segala kebaikan kan menjadi amalan

Kuingin mendengar khatib mengupas
Kekeliruan dan maslahat kan bisa diulas
Dimana ruangya yang perlu dipertegas
Dan mana sudutnya lembut dan belas

Kuingin khatib memberikan nasihat
Antara pilihan yang baik dan jahat
Antara pilihan tingkat-tingkat mudharat
Yang manakah dihati yang perlu dekat

Malangnya kudengar sekadar bacaan
Sekadar membaca kertas dan tulisan
Tiada dari hati, kaku tanpa perasaan
Tiada yang ikhlas, seolah semuanya paksaan

Beginikah nasib di hujung dunia
Pabila khatib hanyalah pembaca
Bukan pengkhutbah seperti layaknya
Kaku, janggal, tiada rasa dan tiada jiwa

Ku rindu mendengar khatib berkhutbah
Yang selalu kujumpa kaset-kaset berjubah......

Sempadan masa, 24 April 2015

Negara Tanpa Ketawa

Hahaha...opppssss
Jangan sesekali kalian tertawa
Lelucon itu perlu kalian telan saja
Kerna negara ini ada undang-undangnya
Semua perlu tegas, tiada ruang untuk gurau senda

Hihihihihi.....oppssss
Kalian semua dilarang menyindir
Walau kau geram dengan watak-watak yang pandir
Seandainya kau buat, ke lamanmu mereka kan hadir
Tanganmu digari, berkaki ayam kau menapak di pasir

Kahkahkah...oppssss
Kalian semua tak dibenarkan bergurau
Hiduplah dalam serius, walau terusan jiwamu galau
Andai ada badut-badut, cepatlah kalian menghalau
Agar tidak dicekup, katanya kan dibawa ke pulau

Kihkihkih....oppssss
Jangan sesekali kalian mempersenda
Diamkan saja walau kebodohan di depan mata
Anggap saja itulah yang terbaik dari mereka
Walau jelas, semuanya tak bisa diterima di minda

Negara ini adalah negara tanpa ketawa
Kerana ditadbir badut-badut yang menggila
Bukan setakat hasut dan tohmah yang ditakuti mereka
Lakaran kartun pun boleh buat mereka sakit jiwa

Bak kata Gus Mus, akukah yang gila
Atau negara ini yang gila..............

Diluar peta minda, 24 April 2015

Mereka-Mereka Di Pasar

Mereka-mereka di pasar
Wajah riang senyumnya lebar
Walau dihati sedikit gusar
Dek kerna bajet tersasar

Mereka-mereka yang membeli
Setiap satunya perlu diteliti
Bimbang tak berkenan rasa dihati
Bimbang dah beli terasa rugi

Mereka-mereka yang menjual
Ditimbang harga murah dan mahal
Bimbang untung tak bisa dianjal
Bimbang akhirnya kan pulang menyesal

Mereka-mereka yang melancong
Niat yang ikhlas jauh melencong
Terlihat gadis mulutnya terlopong
Nak tegur segan, mungkinkah sombong?

Mereka-mereka yang mengikut
Sambil berjalan tak henti merungut
Disini tersekat disana tersangkut
Muka pun masam, raut pun serabut

Mereka-mereka yang membuat polisi
Ah...mereka tak pernah ke pasar....

Pasar pagi Pekan, 25 April 2015

Bila Kiyai Dipertuhankan

Bila kiyai dipertuhankan
Arahnya hukum katanya firman
Andai tak akur terimalah hukuman
Andai kau tegur kau pinta cercaan
Andai kau lawan tunggulah hinaan

Bila kiyai dipertuhankan
Ia berkata perlu ditaat
Wala' dituntut setiap saat
Seolah semua tiada yang ralat
Bukan mukjizat tetapi hikmat

Bila kiyai dipertuhankan
Akal tak perlu untuk menilai
Fikir tak wujud, otak tak pakai
Hanya taat dan impi yang dibuai
Atau tak akur selamanya ditibai

Bila kiyai dipertuhankan
Bukan sekadar satu matlamat
Difaham akur segala hakikat
Tapi yang nyata empunya niat
Makhluk di keliling nak jadi malaikat

Bila kiyai dipertuhankan
Impi tauhid seiring ketaatan
Rupanya selamanya dalam kesesatan..

Jalan Budiman 30 April 2015

Aku Bukan Superman

Aku bukan Superman
Aku cuma terbang dalam khayalan
Dari satu kesilapan dan satu kealpaan
Dari satu kebingungan dan seribu kekeliruan
Hingga sedarku hanya sekadar satu lamunan

Aku bukan Superman
Melihat dari naluri yang sangat dalam
Melihat pada luka-luka palitan semalam
Menyaksi titik-titik yang main menghitam
Pandangku tulus kudus tanpa adu dendam

Aku bukan Superman
Melawan sosok-sosok yang keras dan kasar
Menegak tajuk-tajuk yang yakin mendasar
Tujah jiwa angkuh sombong yang melebar
Ikat hakikat yang makin jauh tersasar

Aku bukan Superman
Tidak pantas bingkas mencatur langkah
Tapi pintas bangkit dalam sahut dan hujah
Bukan keras laju nyata yang terjah
Tapi cekal jiwa tentang dan sanggah

Aku bukan Superman yang ilusi
Tapi akulah lawanmu yang hakiki............

Sempadan Khayalan, 2 Mac 2015

Aku Ingin Menulis

Aku ingin menulis
Tapi tentang apa?
Adakah tentang sikap-sikap manusia
Yang makin lama makin lalai dan alpa
Kian hari kian terasing dari fitrah dunia
Hingga akhirnya sesat walau bukan dalam gelita

Aku ingin menulis
Tapi tentang apa?
Adakah tentang jasad-jasad sengsara
Dirantai naluri walau tampak merdeka
Terpasung oleh faham yang mereka percaya
Sedang mereka lihat hanya sekadar dengan mata

Aku ingin menulis
Tapi tentang apa?
Adakah tentang jiwa-jiwa berdosa
Tersungkur pada akur tak bertanya
Tersadung pada langkah yang terleka
Kerna menilai dengan fikir yang sukar dibuka

Aku ingin menulis
Tapi tentang apa?
Adakah tentang nilai-nilai insan
Diracik pada sisa-sisa kemanusiaan
Leluhur yang padam tanpa dokongan
Dalam mengenal antara simpati dan belas kasihan

Aku ingin menulis
Tapi tentang apa?
Adakah tentang maruah yang lenyap
Kerna kebenaran disorok dalam senyap
Tahu sempadan tapi mulut terkunci kedap
Kerna habuan-habuan yang nikmat untuk dikecap

Aku ingin menulis
Tapi tentang apa?
Adakah tentang tipu-tipu yang nyata
Lahir dari lakonan tanpa kata-kata
Wajah tampak ceria tapi hati seribu luka
Persis primadona senyum sembunyikan tangis duka

Aku ingin menulis
Tapi tentang apa?
Adakah tentang percaya yang terhakis
Pada keyakinan yang semakin menipis
Angguk dalam angan tapi nyata menangkis
Tawa dalam khayal tapi realitinya sedang menangis

Aku ingin menulis
Tapi tajuknya terlalu menghiris........

Dalam Khayalan, 4 Mac 2015

Warung Ini

Di warung ini
Segelas teh tarik
Antara panas sejuk manis tawar
Antara pekat cair kecik besar

Di warung ini
Sebiji roti canai telur
Antara lunyai garing tebal nipis
Antara kering banjir kari sambal

Di warung ini
Ada pelbagai cerita
Antara suka duka tawa ria
Antara duka tangis sedih hiba
Dalam pelbagai cerita

Ada cerita tentang hidup
Tentang hadir tiba dan berlalu pergi
Tentang nyata realiti dan ilusi mimpi
Disebut tentang janji-janji yang dinanti
Disebut tentang impi-impi yang tak pasti
Disebut tentang ilusi-ilusi bayangan hati
Disebut tentang hujah-hujah hakiki yang dinafi

Warung ini adalah kita
Ada hadir dan meminta
Ada tiba dan memaksa
Ada duduk dan menista
Ada tunggu dan berpura

Warung ini seperti aku
Dalam sahih masih keliru
Dalam nyata masih celaru
Dalam menidak harapan kelabu
Dalam menafi janji yang palsu

Warung ini
Ada lakon yang tidak menjadi.....

Warung Lepak. 6 Mac 2015

Menangguh Lena

Aku disini
Berbaring di ranjang
Menangguh lena
Kerna fikir yang tiba
Merenggut selesa
Pada akal yang terpaksa

Saat demi saat
Lengan-lengan waktu
Terus meninggalkan aku
Sedang kelip-kelip mata
Terus menghambat setia
Dalam resah diperah rasa

Fikir terus berulang
Menderu sisa-sisa ingatan
Hadir umpama lakon-lakon
Seperti watak-watak pentas
Fasih setiap baris dan kata
Susun langkah dan lenggok

Aku bermonolog sendiri
Tanpa jawab yang pasti
Sahihkah segala soalan
Sungguhkah segala tanya
Yakinkah segala maksud
Dan benarkah segala janji

Diranjang ini
Aku masih mencari pasti.....

Ranjang Sepi 9 Mac 2015

Bicara Topeng-Topeng

Kau bisa bicara
Dengan topeng dimuka
Walau keruh dijiwa
Senyummu tiada umpama

Sarung topeng kebencian
Walau jiwa tak bisa menahan
Pada kilauan angan-angan
Dan rindu tak berkesudahan

Topengmu topeng ikhlas
Melirik maksud yang jelas
Dengan sinis dan kata berhias
Dalam lembut tuturmu pedas

Pakaikan topeng simpati
Walau kasihan tiada dihati
Bibirmu kuntum berseri
Pahitnya pendam di sanubari

Beralas topeng-topeng cakna
Kau tabur janji bergula
Pada jiwa-jiwa menderita
penuh harap dihati mereka

Dan topeng-topeng kasih
Menaruh impi jiwa merintih....

Kamar University Village, 14 Mac 2015

Warkah Buat Sahabat

Sahabat,
Telah berlalu sekian ribuan kisah
Yang kita tinggalkan dalam sejarah
Suka duka dan segala keluh kesah
Kerna kita bersama mencari arah

Sahabat,
Telah kita tinggalkan sejuta kata
Yang kita kumpulkan menjadi cerita
Kisah-kisah hidup gembira dan derita
Kerna ini adalah sebahagian dari kita

Sahabat,
Telah kita anyam pelepah rindu
Dan kita tinggalkan diperdu kalbu
Agar kekal subur seiring pada waktu
Kerna kita mengejar masa yang berlalu

Sahabat,
Telah kita lipat helai-helai kasih
Bertulis pada imbasan yang jernih
Agar kekal rona-rona hitam putih
Kerna harap antara kita tiada tersisih

Sahabat,
Antara kita ada ikat yang terpatri
Dalam harap dan akur pada segala janji
Bahawa dalam hidup ini tiada yang pasti
Kerna kita akan terus berlari dan mencari

Sahabat,
Kita saling mengajar dan juga diajar
Bahawa dalam setiap apa yang kita kejar
Jatuh bangun akan membuat kita sedar
Ada tempat untuk harapan yang kita sandar

Sahabat,
Dalam pahit kelat kisah-kisah kehidupan
Ada cerita yang jangan kita lupakan.....

Terminal Sentral Kuantan, 16 Mac 2015

Ku Cuba

Kucuba merindui rindu
Dalam tangis esak dan sedu
Dalam ingat tak henti bertamu
Dalam resah jiwa yang menderu

Kucuba mengasihi kasih
Walau seribu luka yang pedih
Walau berjuta ingat yang sedih
Walau hati sudah jauh berkalih

Kucuba mengingati ingat
Pada kenangan yang indah nikmat
Pada gelora cinta yang hangat
Pada sempadan jauh yang dekat

Kucuba menyayangi sayang
Untuk segala kisah dikenang
Untuk segala impi dibayang
Untuk segala janji dilayang

Kucuba mencintai cinta
Pada akhiran seribu kata
Pada ruangan berjuta kata
Pada rayuan yang kalis dusta

Dan cinta itu harus pergi
Kerna cinta bukan semestinya memiliki......

Batu Buruk, 19 Mac 2015

Ku Ingin Bertanya

Kuingin bertanya pada rembulan
Tiadakah pernah rasa kasihan
Pada si pungguk yang merindukan
Selama hayatnya dalam ingatan

Kuingin menyapa sang matahari
Bertanya kenapa masih mencari
Dalam sinaran yang tidak terperi
Terserlah kilauan memukau diri

Kuingin merasa bisikan bayu
Seiring nyamannya dikala berlalu
Tapi kutakut bila ia menderu
Terasa jasadku seperti tak tentu

Kuingin berbicara pada alam
Tentang segala sejarah silam
Marah yang tak pernah padam
Walau selaut janji disiram

Kuingin merasa dinginnya malam
Dan gelapnya yang pekat menghitam
Menutup wajah yang gundah muram
Seakan mimpi yang makin suram

Kuingin percaya pada janji-janji
Namun kutakut kan tertipu lagi......

Batu Buruk, 19 Mac 2015

Aku dan Ombak

Sepetang bermain di gigi ombak
Meluangkan masa bersama anak
Melihat segala alun dan riak
Berbagai persoalan bermain di benak

Seolah kudengar ombak berbicara
Setiap alunan sepertinya berkata
Ada sapaan dan ada berbagai cerita
Mungkinkah faham hadir di jiwa

Kudengar seperti ombak berkata
Tentang cerita di bawa bersama
Alam menjadi semakin tinggi suhunya
Dan mentari seolah tiada perantara

Kudengar seperti ombak mendesah
Pada jasad-jasad yang tak pernah endah
Hadir berlibur dan tinggalkan sampah
Berlalu pergi tanpa rasa bersalah

Kudengar seperti ombak merintih
Tentang pantai yang dulunya putih
Tentang air yang dulunya bersih
Yang tinggal kini hanyalah buih-buih

Kudengar seperti ombak menghentak
Mungkin marah pada sekalian khalayak
Punya nafsu penuhi segala kehendak
Dan ditinggalkan segala sisa dan mendak

Kudengar seperti ombak menangis
Pada pohonan yang semakin habis
Segala telukan yang makin terhakis
Dan juga awanan yang makin menipis

Kudengar seperti ombak mengeluh
Pada pantai yang makin tak kukuh
Dek kerna tindak tanduk yang angkuh
Segala lekukan telah habis direngkuh

Ombak terus bermain di kaki
Seolah merayu cakna dan peduli
Seakan pinta untukku mengerti
Dan seolah memohon untukku berjanji

Ah.... ku sangka alunan ombak berdikir
Rupanya benakku yang tak henti berfikir.........

Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu 21 Mac 2015

Siapa Pernah

Siapa pernah peduli tentang duri-duri jalanan
Menusuk jiwa-jiwa tersiksa tanpa kasihan
Hanya desah-desah tawar sebagai keluhan
Berpaling sejenak sudah lenyap dari ingatan

Siapa pernah simpati pada jiwa-jiwa merana
Dicengkam rantaian belenggu rasa merdeka
Hanya ada cetus-cetus cerita rintih hiba
Kian hilang dari pandangan lesap dari minda

Siapa pernah cakna pada erti simpati
Melihat belas pada hati-hati seakan mati
Hanya kelumit rasa belas disudut hati
Lenyap dari minda, hilang bagai sekadar mimpi

Siapa pernah tahu tentang kalbu yang risau
Merenung pada laku yang keliru dan galau
Hanya coret-coret kenangan yang mengimbau
Tiada bekas dijiwa hanya umpama senda gurau

Siapa pernah bertanya pada sejuta realiti
Pastikan bertemu benar yang hakiki....

Dalam bas Maraliner KT - Pekan. 29 mac 2015

Kekalutan Membunuh Ketengangan

Ya, kita sering kalut
Dek kerna kesempitan yang serabut
Dan kerna timbul satu demi satu kemelut
Akhirnya tanpa fikir, ramai buat kita pun terikut

Ya, kita sering ditipu
Dek kerna bunga-bunga manis kita diseru
Dan kerna memang kita dibiarkan keliru
Akhirnya tanpa rela, kita terima walaupun palsu

Ya, kita sering tewas
Dek kerna ungkitan sejarah yang lepas
Dan kerna langkah-langkah yang makin terbatas
Akhirnya tanpa tentu, kita pun turut sama terbabas

Ya, kita sering mundur
Dek kerna segala janji-janji yang kabur
Dan kerna segala impian yang terkubur
Akhirnya tanpa angguk, kita terima dan kita akur

Kita perlu bangkit dan terus melawan
Kerna kekalutan kan membunuh ketenangan
Dan segalanya kita terima tanpa alasan
Bukan kita tahu tapi hanya ikut-ikutan

Kita perlu bangun dan terus menentang
Kerna segala penipuan dan khianat dirancang
Agar kita lalai dengan lagu-lagu didendang
Dan kita terima tanpa jelas kita memandang

Kita perlu sedar dan mendesak
Kerna ketewasan itu untuk penuhi kehendak
Mereka-mereka yang nafsunya bergelojak
Kita menjadi mangsa kerna gagal menjadi bijak

Kita perlu lawan dan tentang mereka
Kerna kemunduran menjadi helah dan senjata
Mereka biarkan kita susah dan sengsara
Agar kita sokong mereka terus berkuasa

Kita perlu lawan, kita perlu lawan
Kerna kemunduran adalah senjata kekuasaan.....

Tuesday, August 11, 2015

Memilih Lawan

Berkata Sun Tzu
Masuklah pertempuran yang kau boleh menang

Dari situ ramai yang terfikir
Pilihlah lawan-lawan yang lemah
Supaya berlawan mereka kan kalah
Supaya senang mereka dimusnah
Menang kan tercapai secara mudah

Sedang apa yang perlu difikir
Bukan itu yang menjadi makna
Maksudnya nak berlawan perlu sedia
Untuk bertempur perlu waspada
Penuhkan dulu segala ilmu di dada

Tidakkah kita terfikir
Bila sedia, siapapun mendatang
Kita kan maju tak dapat dihalang
Musuh bagaimanapun mudah ditentang
Lawan tersungkur kita kan menang

Malangnya sering difikir
Bukan menilai kekuatan diri
Kelemahan lawan yang kita cari
Sehingga lupa kemampuan sendiri
Tersungkur layu walaupun berduri………….

Rujukan : Sun Tzu Art of Wars...

Peramu Jaya, 2 Februari 2015

Perjuangan Ini

Antara jerit
Pada keadilan yang sempit
Pada satu penafian yang perit
Yang membelit

Antara sedar
Pada keyakinan yang pudar
Pada kedzaliman yang tegar
Yang tersasar

Jiwa-jiwa itu perlu tahu
Bahawa perjuangan ini
Bukannya tentang susuk
Tapi tentang tajuk

Kau bunuh jasad
Kau sangga jiwa
Kau kuburkan naluri
Namun tajuknya tetap utuh

Kau tersenyum pahit
Walau hari ini dipihakmu
Kerna kau tahu akhirnya
Tajuk ini akan memusnahkanmu....

Peramu jaya, 10 Februari 2015

Kau Telah Lama Tertipu

Kau bertempik
Keadilan telah musnah
Sedang aku bertanya
Wujudkah keadilan itu?

Kau berteriak
Mana perginya kemanusiaan
Sedang aku terpinga
Pernahkah ada kemanusiaan?

Keadilan hanya ilusi
Kemanusiaan hanyalah mimpi
Sedang kau leka dibuai
Watak-watak lakonan

Kedzaliman berwajah adil
Dan kedzaliman bertopeng manusia
Menyanyi lagu fantasi
Mengulit pada lena-lenamu

Kau harus sedar
Kau telah lama tertipu....

Peramu jaya, 10 Februari 2015

Rindu

Kurebahkan sendu
Terlena diperdu rindu
Sedang nyaman sang bayu
Membisik lagu yang syahdu

Kuungkap cerita ilusi
Mengolah pada mimpi-mimpi
Walau juta kasih yang nafi
Wujud cinta sesepi realiti

Kuseru tangis yang sedih
Mengimbau ingat yang pedih
Melambai wajah-wajah yang kasih
Walau pandang tidak berkalih

Aku terbang dalam sepi malam
Gelap dan sinar yang berbalam
Merungkah segala derita silam
Mencari sisa cinta yang lama padam

Aku renangi lautan pilu
Mencari ombak duka yang menderu
Sedang jiwa semakin membeku
Pada kasih yang telah berlalu

Aku pasrah
Jiwa kosong tidak berarah
Naluri sakit yang parah
Mengingat titik dalam sejarah....

Peramu jaya, 10 Februari 2015

Seusai Wayang Itu

Layar telah digulung ketepi
Kilir pun lenyap dimamah api
Boneka-boneka disimpan rapi
Dalang pun mula rebahkan diri

Inikah akhiran sebuah cerita
Atau mulanya satu yang nyata
Minda berputar mencari makna
Pada sisa-sisa yakin yang ada

Lenakah dalang dalam khayalan
Setelah ceritera dilagukan
Atau merenung beralas lengan
Mencari ilham untuk sambungan

Boneka mana yang kan dilayang
Di mata khalayak akan ditayang
Sebagai umpan cerita dihidang
Dan kisah apa yang kan ditatang

Gendang manakah yang akan dipalu
Irama manakah yang akan dilagu
Ilham manakah yang akan diseru
Dan khalayak mana yang akan ditipu.....

Peramu jaya, 10 Februari 2015

Boneka Berbayar

Hari ini kau tertawa
Tawamu, jelas dan nyata
Kerna ceritera yang dicipta
Laku dijual sebagai cerita

Kau tidak sedar
Kau hanya boneka berbayar
Diupah untuk tontonan dilayar
Dan ceritamu merata disebar

Dan kau bernasib baik
Walau kau cantum cebisan carik
Dan skripmu tunggang terbalik
Masih ada penonton tertarik

Kau pasti leka dan lupa
Pasti nanti di satu masa
Bila dikaji seluruh cerita
Banyak yang auta dari yang fakta

Keturunanmu pasti kan malu
Kau sekadar boneka dungu
Demi habuan ringgit di saku
Sanggup kau gadaikan maruahmu.....

Peramu jaya, 11 Februari 2015

Kau Tidak Tahu

Kau pasti tidak menyangka
Gerak caturku dah lama bermula
Kau memerhati geraknya sang raja
Sedang bidak ku dah seru melata

Kau pasti tak pernah peduli
Akan caturan segala gerak geri
Pasti kau terkejut tergamam naluri
Bagaimana caturku buat kau terhenti

Kau rasa caramu terhebat
Dan kau merasa gerakmu kuat
Lihat aturku mesti kau tersekat
Dalam diam ku menyulam hajat

Nah sekarang kau sudah tertekan
Sedang kau diserang kiri dan kanan
Aku tergelak walau cuba kutahan
Melihat tingkahmu yang tak keruan

Nah sekarang kau terbelenggu
Jasad terpenjara jiwa termanggu
Hampir tiba saat yang aku tunggu
Terlihat jelas akan segala niatku

Bicara sudah mula ku susun
Bidakku sudah mulakan pantun
Cuma sedikit baru ku santun
Sebelum maksud hajat kan ku lantun

Bidak-bidak ini hanyalah hamba
Yang berkhidmat untuk sang raja
Menyusun atur untuk ke takhta
Menyanggah rakus segala yang ada

Dulu akulah yang kau kata setia
Sedang padamu ku hanya bermuka
Didepanmu ku tangis dusta semata
Sedang di hati sinis ku tertawa

Akulah raja catur berduri
Diamku atur tangga kudaki……

Kg Ubai, 11 Februari 2015

Adakah Kau Lupa?

Kau telah lupa
Bilamana Uncle Sam membiaya
Satu susuk di Mesopotamia
Untuk mencetuskan luka-luka
Dimana akhirannya
Susuk itu sendiri diseksa
Dan sudahnya tergadai nyawa

Kau juga terlupa
Bila gerakan-gerakan itu disokong
Seolah seperti agama di dokong
Walau hakikatnya janji yang kosong
Hingga kini dunia terlopong
Melihat lakonan yang diomong
Dan segala tipu yang hanyir dan kohong

Dan pasti kau terlupa
Di sini juga Uncle Sam ada
Sifatnya sama nama berbeda
Terlalu mudah engkau percaya
Hingga angkuhmu tidak berpunca
Tunggulah paku terakhir di keranda
Dah terlalu lambat untuk kau tanya....

Bilamana musuh menyokong pendapatmu,
Ternyata ada sesuatu yang tak kena.........

Paloh Hinai, 11 Februari 2015

Berkata Dari Syurga?

Sekelompok yang mengaku tahu segala
Angkuh diri angkat semahunya
Pasti tak ingin berganding usaha
Kerna takkan sama kamu dan dia

Aku bukannya menari domba
Cuma kubenci jenis mengada
Ilmu cetek secangkir cuma
Tapi angkuh mendabik dada

Semua yang lain seakan berdosa
Bila berkata yang tak senada
Hanya katanya yang harus diterima
Walau pun nista berulam dusta

Ah…bagi mereka semua pasti berbeza
Pasti kalah hujahmu ditertawa
Kerana mereka seolah berkata-kata
Sambil memandang dari jendela syurga…..

Indera Sempurna, 11 Februari 2015

Adakah Ombak Akan Mengerti?

Terasing sendirian dalam sela-sela waktu
Termenung sendiri di bangku batu
Dalam segar nikmat hembusan bayu
Merenung kosong ke laut yang membiru

Sambil terdetik sekilas dalam hati
Ah…kalaulah ombak laut bisa mengerti
Akan segala yang terbuku dalam diri
Dan yang sekian lama dipendam dalam naluri

Ombak-ombak laut terus mendesah
Pada pantai yang sekian lama pasrah
Fahamkah dia pada hati-hati yang gundah
Mengertikah dia pada jiwa-jiwa yang resah

Ombak laut ulang membawa cerita
Pada sejuta kisah-kisah lalu yang ada
Suka dan duka, gembira dan lara
Seperti mimpi-mimpi membuai leka

Mungkin ombak laut tidak pernah mengerti
Namun ombak itu membayang pada hakiki
Sejarah lalu yang nyata bukan ilusi
Lantas hadir tenang setelah lama menyepi

Mungkin ombak laut tidak pernah faham
Akan kisah-kisah duka sejarah silam
Atau memori yang hadir berbalam
Dari luka-luka cinta yang telah terpadam

Namun ombak itu juga membuai rindu
Pada wajah-wajah kasih yang hadir bertamu
Pada sayang yang pasti tanpa ragu
Pada cinta hangat, yang tak pernah beku

Ombak dan pantai akan kekal setia
Dan ada kehidupan yang masih tersisa…………

Kuala Pahang, 12 Februari 2015

Gila

Mereka berkata aku gila
Hanya kerna tingkah berbeza
Sedang aku yakin percaya
Yang sakit adalah mereka

Mereka kata aku gila
Hanya kerna apa ku kata
Dan juga apa ku percaya
Dengan mereka tidak senada

Mereka kata tuturku dusta
Apa bicara omong semata
Tiada benar hanya sia-sia
Seperti otakku bukan dikepala

Antara aku dan mereka
Siapa yang lebih gila
Bilamana mereka berkata
Tuhan itu mereka yang empunya....

Sempadan Pekan/Kuantan, 12 Februari 2015

Segelas Teh Tarik Sebuah Cerita

Di warung ini
Ada berbagai rupa
Ada berbagai watak
Dan berbagai cerita

Segelas teh tarik
Manis tawar hambar
Pekat cair pahit
Derai hilai tawa

Setiap hero ada sejarah
Setiap hero ada kisah
Antagonis malu bercerita
Segan membuka rahsia

Kita semeja
Tapi lain cerita
Kita senada
Tapi lain irama

Namun hilai kita seritma
Dan derai kita sekata

Segelas teh tarik sebuah cerita
Tanpa wajah plastik tanpa wasangka...

Warung cendawan, 13 Februari 2015

Hari Cinta?

Mereka berkata
Hari ini hari cinta
Aku yakin mereka terlupa
Kerna cinta sentiasa ada

Mereka berhujah
Perlu dirai cinta yang indah
Rasa itu perlu diluah
Dengan bunga dan seribu madah

Nah kalau begitu
Adakah cinta sekadar waktu?
Di tika lain hatimu beku
Sayangmu kelu jiwamu kaku?

Cinta itu tak pernah bermasa
Cinta seharusnya hadir sentiasa
Diluah atau tidak mungkin berbeza
Bukan dilihat tapi dirasa

Apa perlu bertarikhnya cinta
Jika dihatimu kekal berbunga
Kau siram kasih, sayang kau baja
Tentu subur di dalam jiwa

Yang kau rai bukannya cinta
Hanya sandaran sebuah cerita
Yang barang tentu lain budaya
Begitu senang dirimu percaya

Kau harus renung dalam sejarah
Persoalan juga berkait akidah
Kau harus lihat apa natijah
Jangan diikut secara mudah

Telah berulang kau dikhabarkan
Dalam hidup ada sempadan
Jangan kerana ikut perasaan
Pegangan hidup engkau korbankan

Andai sehari cinta kau rai
Kau pinta ruang hadirnya benci....

Kempadang Makmur, 14 Februari 2015

Angin

Ada angin
Bikin kepala pusing
Buat otak pening
Tak senang baring
Tak selesa mengiring

Ada angin
Bikin perut kembung
Buat usus kejung
Sakit tak berhujung
Dilepas bau sebar sekampung

Ada angin
Bikin hati jadi baran
Buat jiwa jadi rawan
Habis lari semua kawan
Orang tengok pun boleh sawan

Ada angin
Bikin urat pasang
Buat kantung kembang
Senak bukan kepalang
Ngilu tak dapat dibayang

Tapi tiada angin
Bikin badan berpeluh
Buat rimas tubuh
Baju basah bagai dibasuh
Mulut mula mengeluh

Angin juga buktinya
Tiada kejadian yang sia-sia

Nikmatnya angin
Suasana yang dingin
Buat aku teringin......

University Village, 15 Februari 2015

Keliru

Aku keliru
Antara resah yang menderu
Antara hilai tawa yang bertamu
Antara sedih tangis yang merayu
Antara hingar bingar yang mengganggu

Aku keliru
Bagaimana untuk ku menentu
Bagaimana untuk memilih yang satu
Bagaimana untuk memisah yang palsu
Bagaimana untuk memihak pada yang jitu

Aku keliru
Antara hitam, putih dan kelabu
Antara benar, kabur dan palsu
Antara riang, gundah dan pilu
Antara mudah, getir dan berliku

Aku keliru
Kerana gagal untukku mengadu
Kerana tidak kurujuk sang guru
Kerana tidak ku tilik kitab dan buku
Kerana ku lupa jalan yang satu

Aku keliru
Jalan itu telah ada disitu
Ruang telah tersedia buatku
Tapi aku gagal mencari waktu
Untukku hadir mencari ilmu............

Lebuhraya Tun Abdul Razak, Pekan 16 Februari 2015

Aku Di Sini

Aku disini untuk sahabat
Juga mencari kaum kerabat
Bukannya hadir menunjuk hebat
Bukannya menunjuk apa yang kuat

Aku disini mencari diri
Yang mana nyata mana ilusi
Apa yang silap perlu insafi
Apa yang betul untukku kongsi

Ku bukan hadir mencari cinta
Bukan mengenang kisah yang luka
Sekadar berkongsi secebis cerita
Kisah realiti di alam yang nyata

Ku bukan hadir mencetus benci
Memisah antara kasih dan iri
Memilih antara akur dan nafi
Agar ku kenal yang mana hakiki

Aku hadir sebahagian riwayat
Dalam mengejar erti hakikat.....

Warung Cendawan, 16 Februari 2015

Hari Ini

Hari ini aku rasa tersepit
Antara kepercayaan yang menghimpit
Antara watak-watak hidup jiwanya sakit
Antara sosok-sosok tegap berotak sempit
Dan keinginan hidup yang sering mengungkit

Hari ini aku rasa tertekan
Oleh mereka yang mengaku wakil-wakil tuhan
Oleh jiwa-jiwa yang bebas tanpa pegangan
Oleh sistem-sistem yang atur dengan paksaan
Oleh hukum-hukum yang akur tanpa soalan

Hari ini aku bungkam
Dengan calit-calit dosa waktu silam
Dengan bayang-bayang hati makin hitam
Dan luka-luka kehinaan yang masih dalam
Dan kesempitan yang tak henti mencengkam

Hari ini aku pasrah
Bukan maksudnya kuterima dengan mudah
Pada sisa-sisa keyakinan yang kian parah
Tapi aku harus bangkit mencari arah
Dengan harap doa rayu minta yang aku tadah

Aku harus kembali
Pada satu titik yang pasti.........

Cherok Paloh, 17 Februari 2015

Tersesat Dalam Keliru

Benarlah kata PK
Bagi mereka ada dua tuhan
Satu tuhan yang sebenar

Yang menciptakan kita
Dan juga seluruh alam
Tuhan sebenar yang wajib disembah

Satu lagi adalah tuhan palsu
Yang diwujudkan oleh agamawan
Sebagai modal pada perniagaan
Mereka menjual ketakutan

Jumud, taksub dan ikut
Adalah jalan cerita
Pahala dosa syurga neraka
Adalah "produk" mereka

Andai Husin Lempoyang masih ada
Pasti berganda wow nya
Kerna menjual agama
Lagi untung dari unta dan manusia....

Tersesat dalam keliru., 19 Feb 2015

Dalam Perjalanan

Takdir menentukan perjalanan ini
Hadir melalui daerah yang asing
Tiba dalam hening pagi yg sepi
Dan menunggu perjalanan ke destinasi

Mengajar aku bila tiba saatnya
Walau punya segala yg dimiliki
Atau ada gelar yang mengulit
Sesekali tercampak merempat sunyi

Aku rebahkan badan
Beralaskan bangku simen
Berbumbungkan langit
Berselimutkan kedinginan
Dan bertemankan suara alam

Perjalanan ini
Mengajar aku untuk lebih kuat
Mengajar aku untuk lebih tabah
Mengajar aku untuk lebih tahu

Terima kasih Tuhan
Atas perjalanan-perjalanan ini
Untuk aku mengenal diri
Untuk mencari jiwa yg hakiki

Kuala Rompin, 5 Januari 2015

Masihkah Ada Harapan

Terungkap dengan kata-kata
Dalam paksa, tanpa wujud sekelumit rela
Hanya ada sisa-sisa percaya
Sedang ikhlas sudah hampir tercela

Tersaksi oleh lagak laku
Sedang semangat makin kaku
Sedang kudrat jadi makin keliru
Dan jasad hampir kejung membatu

Adakah sinar itu cahaya
Atau sekadar kilauan cuma
Hadir sedetik umpama maya
Menghilang tanpa kilas rupa

Aku makin jauh, menjauh
Sedang yakinku makin rapuh
Pada usul yang akur dan patuh
Pada janji yang kemas dan sungguh

Aku makin hanyut , hanyut
Pada pegangan yang makin reput
Pada tekad nan kian susut
Dan laungan yang tiada bersambut

Adakah harap yang masih tersisa
Atau sekadar omongan belaka............

Pekan, 7 Disember 2014

Aku Mencari

Aku mencari
Mana mereka yg bercakap lebat
Kemana mereka yg mengaku hebat
Yang faham denyut nadi rakyat
Yang melalak seumpama jebat

Aku mencari
Dihari lahir terakhir nampak
Memberi gelar pada yang mintak
Tiada ku pasti apakah yang layak
Atau terlibat ringgit dan balak

Aku mencari
Yang mengutip sekian ufti
Samada zakat atau apapun lagi
Bukan diukur bangunan tinggi
Perlu dinilai banyaknya yang diberi

Aku mencari
Si jubah rapi dan serban lilit
Dihukum sekalian banyak dan sikit
Bantulah marhain yang sedang terhimpit
Bukan sekadar lagak dan jerit

Marhain merintih
Rumahnya banjir
Anaknya sakit
Dan harapannya kian hanyut....

Pelangkah, 23 Disember 2014

Kau dan Lakonanmu

Hari ini kau mula marah-marah
Bila makhluk asing masuk umpama bah
Saban hari makin bertambah-tambah
Orang tengok pun, hati jadi makin resah

Sedang kau seolah-olah buat lupa
Yang masuk halal bukankah kau kutip uftinya
Mustahil tak kau bilang dan kira setiap kepala
Hari ni kau terkejut, lakon mu tak nampak nyata

Yang masuk haram pun dari sempadan
Mesti ada yang jaga setiap kiri dan kanan
Tapi bocor juga takkan kau tak hairan
Atau kau tau tapi sama-sama cari makan

Semua lakonmu kayu nampak tak menjadi
Sudah terlalu parah berlaga gigi dan gusi
Tak boleh tipu sebab semua dah sangsi
Kau buat-buat terkejut macam mayat pucat lesi

Sudah-sudahlah menjadi umpama kaldai
Antara kotor dan bersih tak dapat kau nilai
Tak dapat beza antara hidup juga bangkai
Sudahlah, belajarlah jadi pandai…………

Kuala Pahang, 12 Nov 2014

Belajar Menjadi Kurang Ajar

Bila berkata perlu pandang dengar kerna ada yang sensitif
Buat semua perlu ikut adat, jangan cuba untuk lebih kreatif
Kerna apa yang kau kan dapat semuanya adalah negatif
Hasilnya semakin lama kau kan menjadi semakin pasif

Bila kantungmu dikorek dalam paksa kau harus rela
Kau ditunjuk laba tapi hakikatnya semuanya bala
Sedang kau ditipu kau tak tahu kau terus gembira
Kantungmu bocor habis tiris bocor segala apa yang ada

Bila tanahmu dikaut kau tak mampu menghalang
Kerna yang meluluskan adalah mereka yang kau julang
Didepanmu mereka janji, tapi tak sama bila dibelakang
Sebenarnya, mereka lah yang menjadi bapak segala dalang

Melihat istanamu diroboh menyembah bumi
Kononnya untuk pembangunan bukannya peribadi
Sedang kapitalis itu yang menguasai setiap inci
Dan politikus yang kau sanjung sekadar tersenyum di sisi

Melihat hasil di kolam rakusnya mereka tangguk
Apa yang kau mampu hanyalah senyum dan mengangguk
Nak ditegur ramai kan bersuara kata kau ni menyibuk
Umpama parang berkilat sudah mencecah di tengkuk

Jangan sesekali kalian cuba untuk mendongak
Nanti ada bersuara dikata kau ni angkuh dan bongkak
Walaupun pada tika kalian nak menyuarakan kehendak
Ataupun memperbetulkan antara yang sahih dan yang tidak

Kedurjanaan semakin parah dan melebar
Kuasa jadi angkuh dek ringgit yang mereka tebar
Betullah kata Sang Sasterawan besar
Kita perlu belajar untuk jadi kurang ajar…..

Sempadan Masa, 14 November 2014

Warkah Untuk Kakak

Kak,
Kami rindu pada guraumu
Kami ingin lihat tawamu

Engkaulah kakak, engkaulah abang
Hanya yang ku ada, engkau seorang
Untuk berkongsi tawa nan senang
Untuk ku adu resah dan bimbang

Pernah ku buat hatimu terguris
Namun kasih mu tak pernah kau hiris
Dengan ku sentiasa kau senyum manis
Walaupun mungkin di hatimu tangis

Hatimu kekar jiwamu besar
Kasih sayangmu tak pernah pudar
Berkorban semua tanpa kau sedar
Untuk dirimu tak pernah kau gusar

5 Disember 2010
Di awal pagi sebelum subuh
Di riba ibu jasadmu jatuh
Dan kau terus pergi jauh....sangat jauh...

Kak,
Selamat Ulangtahun Kelahiran Untukmu
Moga kau tenang di sisiNya

Terima kasih Allah, kerena meminjamkan dia untuk kami............

Wan Nor Fersuryani binti Ferzana
22 November 1971 - 5 Disember 2010

Korban Sebelum Korban

Aduh manisnya kata
Madah membeli jiwa
Senyum dan terus menyapa
Wayang penuhi suasana

Tanpa sedikit kau perasan
Semua dalam satu rancangan
Ada sesuatu sebalik pandangan
Sebelum korban telah dikorbankan

Hari ini kau masih terleka
Kerna bagimu tempias cuma
Sedang sudah kuyup lainnya
Kau melihat sambil kau tertawa

Esok mungkinkah gilirmu
Namun adakah tika itu
Dibibirmu senyum masih bertamu?
Atau jelingmu kelat seribu?

Mungkin nasib sebahagian
Menjadi korban sebelum korban............

Peramu Jaya, 1 Oktober 2014

Niat dan Kehendak

Suatu waktu di hujung dunia
Berlumba-lumba masjid dibina
Semua dihala kepada kiblat yang sama
Cuma berbeza maksud dan niatnya

Dalam tak sedar tentang hal niat
Yang kan menentukan amal disukat
Kalau ikhlas, tentu banyaklah hikmat
Kalau tidak, tak tercapailah matlamat

Yang mendirikan masjid-masjid itu
Berbeza niat bukannya semuanya satu
Sebahagian mencari akhirat yang tentu
Ada yang lain mengejar maksud tertentu

Golongan pertama biasanya dermawan
Sebagian dari harta mereka infakkan
Membina masjid ibadat diutamakan
Yang paling dikejar adalah keredhaan

Golongan kedua biasanya hartawan
Membina masjid mengejar sanjungan
Nama yang gah dan dapat penghormatan
Walau tak kisah untuk dapat keberkatan

Golongan ketiga penanggung amanah
Membina masjid satu padukan ummah
Supaya senang mengerjakan ibadah
Amanah disempurnakan hati pun tak resah

Golongan keempat diamanahkan juga
Dirikan masjid untuk mendapat laba
Kontrak dihulur komisyen jadi miliknya
Akhirat tak peduli, yang penting harta dunia

Golongan terakhir yang paling hancing
Dirikan masjid, niatnya undi dipancing
Ramai yang tak sedar di kepala mereka dikencing
Nawaitu nya cuma menang jawatan ditanding

Duhai mereka-mereka yang terlibat
Pandanglah pada segala sebab dan akibat
Yang penting bukan di dunia ni kau hebat
Tapi yang utama bagaimana mizan mu di akhirat…………

Pekan, Pahang 23 November 2014

Kalut dan Ribut



Dalam kalut akan ada kesempitan
Dalam ribut pasti kan wujud keperitan
Mencari jernih yang tak kesampaian
Mengharap reda yang tak tentu tujuan
Terus bertapak pada ribuan fantasi
Sembil memeluk erat tiang-tiang ilusi
Dan ribuan kisah semalam terus menghantui
Antara sekadar mimpi ngeri ataukah realiti
Ironinya, yang lemah akan terus melara
Tanpa semangat, jasad hanyalah patung bernyawa
Namun, yang kukuh pasti akan terus mara
Dek kerna jiwa yang kental dan kalis kecewa
Dan patung-patung itu akan terus bernyawa
Walau sekadar hidup tanpa fungsi dan bicara
Cukup dengan lambaian-lambaian yang melewa
Dari pentas-pentas yang yakin tapi fatamorgana
Berkalihlah dari kehidupan yang palsu
Kembaralah ke arah alam yang lebih tentu
Tinggalkanlah mimpi dari akal yang buntu
Redahlah dengan kekuatan dan segala ilmu
Moga di sana kita lebih percaya
Bahawa hidup ini akan lebih bermakna………..
Peramu Jaya, 7 Oktober 2014

Bicara Ji-Es-Ti

Kau bilang ini belanja terbaik rakyat
Segala kebaikan dan faedah telah kau surat
Tapi tak banyak yang memberi manafaat
Kau belanja seringgit, lebihnya kau lipat
Kau bilang sekarang kau ikat perut
Dek kerna kesempitan yang mencerut
Tapi lihat cara hidupmu, sah kau mengarut
Kau seolah mohon untuk dirimu dicarut
Kau tak pernah peduli pada masa, waktu dan tempoh
Kau masih terus ingat rakyat ini bodoh
Sedang kau tak sedar kau yang nampak hodoh
Mungkin dirimu dan kebebalan adalah jodoh
Kau terus dan terus menjadi alat-alat kapitalis
Demi kepentingan mereka, kau biar rakyat mengemis
Segalanya untuk mereka dalam apa yang kau tulis
Sedang apa yang diamanahkan kau terus biarkan berkudis
Kau bilang rakyat jangan jadi hamba subsidi
Tapi kau yang terus mencatur dan mengutip ufti
Untuk rakyat kau hadiahkan dengan ji-es-ti
Beri harapan kelabu, untukmu untung yang pasti
Untungmu kau masih punya sokongan
Dari mereka-mereka yang telah kau bagi umpan
Seringgit darimu umpama mereka bisa hidup sezaman
Kau utamakan mereka kerana kau pinta dokongan
Sedang yang perlu terus kau sisihkan
Yang merintih perlu bantuan kau terus lupakan
Yang hasil buminya kau rampas dan kau larikan
Dan sumpah-sumpahmu terus kau nafikan…………………..
Peramu Jaya , 11 Oktober 2014

Susah Yang Perit

Ahh….kau bilang semuanya mudah
Bagimu tiada satu pun yang susah
Dunia bagimu semuanya tampak indah
Cakapmu tak memandang atas dan bawah
Kau bilang caranya begini begitu
Tapi kau tak selidiknya terlebih dahulu
Sesuaikah untuk semua caramu itu
Bukan sekadar hanya cocok bagimu
Kau sekadar menegak yang basah
Sedang realitinya telah kau sanggah
Turunlah dari kerusi mu yang mewah
Lihatlah sendiri segala lumpur dan tanah
Marhain ini bukan makhluk yang bebal
Marhain ini punya otak yang berakal
Ternyata kamu yang punya fikir yang dangkal
Bercakap pada akal yang panjang sejengkal
Marhain ini tidak pinta kemewahan
Cuma sekadar perihatin dan rasa kasihan
Marhain ini hidup menunggu cukupnya bulan
Supaya poket berisi untuk miliki keperluan
Kau rampas punya mereka yang sedikit
Kau bilang untuk mengelak rasa sakit
Tapi hakikatnya kau menambah luka yang perit
Tiada peduli segala rintih, tangis dan jerit
Sedang terusan tirisnya kantung yang kau jaga
Kau tahu kisahnya tapi kau tidak berbuat apa
Sudahnya poket marhain yang tipis yang jadi mangsa
Tambahkan sulit pada kesusahan yang telah lama
Kau ternyata penjaga amanah yang gagal
Tapi kau sembunyi di balik egomu yang menebal
Tiada kau akui silapmu dan tak kau menyesal
Kerna bagimu tiada kesusahan yang pernah kau kenal
Marhain terus merintih tangis minta simpati
Tapi kau terus menekan tanpa rasa peduli………….
Peramu Jaya, 11 Oktober 2014

Masih Ada Harapan

Dikanan rakus umpama jembalang
Semua disapu tak ada yang kurang
Mampu dilihat sakit hati tak hilang
Kalau ditegur terus dicop penghalang
Dikiri pula kanak-kanak bebal
Buat sesuatu tak fikir dek akal
Mungkin cuma guna akal yang dangkal
Mana tercapai fikir nan sejengkal
Ditengah melihat dalam gelisah
Kerna sempitnya hidup yang susah
Dulu dan kini tak banyak berubah
Naik tiada lagi jauh ke bawah
Pada siapa nak kita berharap
Sedang semuanya macam sampah sarap
Kalau ditegur semua darah menyirap
Tapi tak tegur makin teruk berkurap
Teringat kata seorang sahabat
Cakapnya ringkas maksudnya hebat
Pedulikan pada semua musibat
Kepada Allah doa kita angkat
Kata sahabat
" Andai tiada bahu untuk kita tumpang menangis, ingatlah kita masih ada lantai untuk kita bersujud"
Peramu Jaya 12 Oktoberfest 2014

Angkuh Dengan Keangkuhan

Kau membina tembok-tembok kukuh
Yang bahannya adalah penguasa-penguasa angkuh
Pertahankanmu dengan bersungguh-sungguh
Bersuara, pasti dihukum tanpa bertangguh
Kau membina robot-robot agama
Bersongkok, berjubah dan bertasbih segala
Angguk ampu dan menjadi alat untuk doa dibaca
Janji disuap, bisa halalkan segala jenis cara
Kau terus membela syaitan-syaitan kematu
Bila dikritik, bukalah segala kitab dan buku
Cuba sahihkan yang berkata hujjahnya palsu
Tak terlawan, sumbatkan di penjara batu
Kau pelihara dan biakkan unggas-unggas dungu
Kerjanya percaya bulat-bulat katamu tanpa ragu
Selindungkan maklumat, pastikan mereka tanpa ilmu
Hingga sumbang nak bezakan antara dahi dan dagu
Kau pertahankan macai-macai yang haprak
Walaupun mereka bercakap tak berfikir di otak
Hanya kerna mereka pandai menjilat segala jenis kerak
Sanggup menjadi abdi demi segala perlu dan kehendak
Kau bina mahligai dari keegoan
Kau hiasi dengan seribu jenis kedzaliman
Hingga kau lupa hidupmu pendek bukan berzaman
Lupa pada kubur yang kan jadi akhiran……….

Peramu Jaya, 12 Okt 2014

Antara Anjing dan Menganjing

Antara anjing dan menganjing
Manakah perginya suara nyaring
Bila sekarang mereka melenting
Tapi diam tentang judi di genting
Antara makhruh dan haram
Untuk sebahagian suaranya ke dalam
Sebahagian lagi cakapnya berbalam
Dan dengan yang lain senyap terdiam
Antara tikus dan menikus
Sekarang hebat mereka merengus
Bila berhadapan mereka yang rakus
Kelu lidah tak bersuara terus
Bila anjing dipegang dipeluk
Terus mereka bangun dari duduk
Serban dililit bak ular senduk
Terus sedia untuk mematuk
Bila rasuah bermaharajalela
Diam tak berkutik, seolah tak apa
Lidah membisu, langsung tak bersuara
Semua berlalu seolah mereka lupa
Yang anjing terus menganjing
Dan yang lupa terus lara.............
Kuantan, 22 Oktober 2014

Peduli

Kita sedang khusyuk menghantar sms untuk mengundi
Untuk memilih siapa kan jadi juara fantasi
Sedang rumah-rumah di Chubadak menyembah bumi
Diroboh kapitalis yang tak pernah cakna dan peduli
Mana pergi semua yang mengaku pejuang rakyat
Di pentas kau berhujah bersyarah penuh hebat
Tapi di mana kalian sekarang tak nampak kelibat
Adakah sedang menikmati sejuk nyaman dalam pejabat?
Mana pergi semua yang menghunus keris
Katanya rakyat takkan dibiarkan menangis
Tapi sekarang hanya memandang sinis
Sedang yang membantu hanyalah mereka yang kau gelar komunis........

Kuala Lumpur, 30 Okt 2014

Hidup Dalam Perjalanan

Hidup dalam perjalanan
Melihat pada yang kiri dan kanan
Melihat antara impi dan kenyataan
Merasai belenggu-belenggu kebebasan
Hidup dalam satu kembara
Antara mimpi dan alam nyata
Antara sentuh dan jiwa merasa
Menilai yang intan dan yang kaca
Hidup dalam menuju destinasi
Mencari batas-batas untuk meniti
Mencari nisbah kebenaran hakiki
Mencari ruh kejujuran yang telah mati
Dalam perjalanan aku berfikir
Dunia senang tapi jiwaku fakir
Ruangnya luas tapi makin terpinggir
Mungkinkah dek kerna silap ditafsir?
Ah....
Mana bisa untukku mengerti
Walau sejauh manapun aku mencari
Kerna kusedari hidup itu sendiri
Adalah satu perjalanan yang tak pasti
Dungun, 13 September 2014