Thursday, August 13, 2015

Saudagar-Saudagar Itu

Saudagar-saudagar itu
Asal barang akan bertukar menjadi wang
Asal ada untung bisa di bawa pulang
Tertib dan etika takkan pernah dijulang
Janji pulang dalam senyum hati girang

Saudagar-saudagar itu
Lambakkan segalanya pada meja jualan
Halal haram makruh harus bersaingan
Nyata atau cipta bukan lagi ada sempadan
Niaga apa saja selagi bisa jadi tukaran

Saudagar-saudagar itu
Kembung poketnya tiada sedikitpun yang tertiris
Segala untung seperti yang telah tertulis
Kekayaan makin tambah tiada yang terhakis
Tapi sayang sekali jiwanya sudah langsung muflis

Saudagar-saudagar itu
Kejujuran sudah jauh diletak ketepi
Keikhlasan sudah lama lenyap dari hati
Ketakwaan juga telah terlalu lama menyepi
Yang tinggal hanya ujub dan bangga diri

Saudagar-saudagar itu
Andai yang diniagakan sudah tiada lagi
Mereka masih boleh menjual ilusi-ilusi
Walau hakikatnya tiada yang dapat dibukti
Kerana mereka adalah saudagar-saudagar mimpi....

Seri Inderapura, 24 Jun 2015

No comments:

Post a Comment