Thursday, August 13, 2015

Kebetulan-Kebetulan Itu

Ayuh nak..
Ambilkan aku minuman itu
Dan juga jagung tembak dan keropok
Kita bakal menonton, kita bakal saksikan
Pesta kebetulan akan bermula

Duduk nak..
Tontonan ini bukan hanya pada mata
Tapi perlu dilihat minda dihadam dari hati
Tirai pentas akan dibuka wayang akan bermula
Dan kebetulan-kebetulan itu akan kau sedari

Tengok nak..
Dewan sekolah ini perlu dibaiki
Surau ini sudah usang dan perlu dipulih
Jeti ini sudah reput dan perlu diganti
Balairaya ini sudah rusak perlu diperbetul

Tengok nak,
Orang-orang miskin perlu dibantu
Orang-orang fakir perlu ditolong
Orang-orang bodoh perlu ditunjuk ajar
Orang-orang sesat perlu dipimpin

Tengok nak,
Anak-anak yatim perlu pembelaan
Kanak-kanak perlu taman permainan
Orang muda mahu ini orang tua mahu itu
Seribu satu perlu dan seribu satu hendak

Lihat nak...
Mereka datang bawa segala uang
Mereka datang bawa peruntukan
Mereka datang bawa barangan
Mereka datang bawa umpan-umpan

Lihat juga nak...
Mereka hadir bawa janji
Mereka hadir tanam harapan
Mereka hadir tabur gula-gulaan
Mereka hadir bawa badut-badut bikin lawak lucu
(dan ramai tertawa tanpa sedar diri tertipu)

Kebetulan nak,
Kebetulan pada masa ini kawasan ini perlu dibantu
Kebetulan pada masa ini sekolah perlu dibina
Kebetulan pada masa ini orang-orang ini perlu dibela
Kebetulan pada masa ini orang-orang bodoh perlu diperguna

Kebetulan nak, kebetulan saja
Maka yang bodoh akan percaya
Maka yang bangang akan termakan
Maka yang mengharap akan terus dipermainkan
Maka yang terdesak akan berbuat apa saja

Kebetulan nak, kebetulan saja
Kebetulan ini mahal harganya
Seseorang perlu mati atau terpenjara
Atau menyangka hebat tapi rupanya gila
Sebelum kebetulan dapat bermaharajalela
Hidup ini pernuh dengan kebetulan...........

Pekan - Nenasi - Kuala Rompin 23 April 2015

No comments:

Post a Comment