Sunday, August 16, 2015

Esok Ganti Lusa

Kau sisihkan sebilangan lanun
Tapi kau ganti dengan penyamun
Tetap licik parang pun tak hayun
Rampok sedetik makannya bertahun

Kau bilang ini lebih sempurna
Tapi ular kau ganti dengan naga
Bukan setakat takutkan bahaya
Habis tergadai jiwa dan raga

Kau usir mereka yang bercakap
Tapi kau simpan mereka yang bengap
Sebab senang untuk kau perangkap
Kau lempar tulang laju menangkap

Kau letak jiwa hanya di kulit
Tanpa sedar kebobrokan yang membelit
Segala kedurjanaan kukuh melilit
Sekandang semua habis kau palit

Kau bendung segala silap terlihat
Tanpa kau sedar makin terikat
Nanti kau sembunyi tak nampak kelibat
Sebelum luruh kulitmu disebat

Kau beraja di mata bersultan dihati
Umpama kau yakin kau takkan mati...

Seri Inderapura, 29 Julai 2015

No comments:

Post a Comment